Followers

Wednesday 26 February 2014

Refresh Kejatuhan Mata Wang 1997


Sempena dengan PRK Kajang yang akan diadakan dalam masa terdekat ni , MMI ambil keputusan untuk berkongsi cerita tentang politik negara yang pernah mengungguli kedudukan tertinggi dalam carta isu-isu panas di Malaysia.

Harapannya agar beberapa siri ini akan memberikan kita satu peringatan yang cukup berguna supaya kita lebih berhati-hati selepas ini.

Berpegang kepada prinsip ingat mengingati sesama kita rasanya 2 cerita ini mampu memberikan kita kesedaran betapa pentingnya kepimpinan negara yang selama ini menabur jasa kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pada Mei tahun itu (1997), saya mengambil keputusan untuk bercuti selama dua bulan dan menyerahkan tanggungjawab kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pemangku Perdana Menteri. Saya menganggap ini sebagai satu peluang baik untuk memerhati bagaimana beliau menjalankan tugas kerana saya sudah pun berfikir untuk bersara pada tahun berikutnya. Saya mahu pastikan yang apabila Anwar mengambil alih, beliau mampu mentadbir negara dengan baik.

Ketika berada di Bledisloe dalam daerah Cotswolds, England, saya menerima berita mengenai serangan ke atas baht Thailand oleh peniaga mata wang. Apa yang berlaku adalah ahli perniagaan Thai telah meminjam sejumlah besar mata wang asing pada kadar faedah yang rendah berbanding pinjaman dalam mata wang baht.

Mereka boleh membuat keuntungan segera daripada perbezaan dua kadar faedah itu dengan syarat nilai baht stabil. Peniaga mata wang antarabangsa adalah orang yang mencari keuntungan dengan memerhati dan mengambil kesempatan daripada ketidakwajaran dan kelemahan seperti yang berlaku di Thailand ketika itu. Ia diibarat pucuk dicita ulam mendatang kepada kegiatan mereka.

Mereka menyebarkan berita kononnya nilai baht terlalu tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara itu mustahil dapat dipertahankan. Mereka kemudian menjual sejumlah besar baht menyebabkan nilainya merosot berbanding dolar Amerika. Kejatuhan nilai baht menyebabkan orang Thai yang meminjam dolar menghadapi kesulitan.

Mereka terpaksa mendapatkan lebih banyak baht bagi membayar balik pinjaman mata wang asing mereka kerana kalau keuntungan perniagaan mereka tidak mencukupi, mereka mungkin tidak dapat membayar balik pinjaman.

Sekiranya mereka gagal membayar balik hutang maka terbukti benarlah dakwaan peniaga mata wang bahawa ekonomi Thai lemah.

Kemudian mereka melambakkan lebih banyak baht menyebabkan nilainya merudum lagi. Maka semakin ramailah orang Thai yang meminjam mata wang asing gagal membayar balik hutang mereka. Sementara itu, peniaga tersebut kelihatan seolah-olah mereka tidak ada kaitan langsung dengan krisis berkenaan. Apa yang mereka lakukan hanyalah sekadar bertindak balas. Hakikatnya, merekalah yang mencetuskan malapetaka itu.

Kitaran tindakan kejam (vicious cycle) ini pantas merebak. Lebih teruk nilai baht menyusut, lebih ramai peminjam yang gagal membayar balik hutang dan semakin lemah pula ekonomi Thailand.

Kerajaan Thai cuba membeli baht bagi mempertahankan nilainya dengan menggunakan rizab dolar. Bagaimanapun, peniaga mata wang nampaknya memiliki bekalan baht yang tidak terbatas untuk terus dilambakkan dalam pasaran.

Akhirnya, kerajaan Thai dibebani rizab baht yang banyak, tetapi bernilai rendah manakala simpanan mata wang asingnya merosot teruk. Ini mencetuskan satu lagi pusingan penjualan baht apabila ia menjadi lebih lemah akibat tanggapan bahawa ia tidak disokong oleh rizab mata wang asing yang secukupnya.

Apabila saya pulang daripada bercuti pada bulan Ogos, di Thailand sangat teruk. Kita mengambil keputusan untuk meminjamkan mata wang utama bagi memperkuatkan rizab antarabangsanya, tetapi tidak berhasil. Nilai baht terus jatuh.

Kewangan Malaysia berada dalam keadaan baik pada masa itu kerana kerajaan dan peniaga tidak perlu meminjam dengan banyak mata wang asing. Kadar faedah kita sentiasa rendah dan pinjaman mata wang asing tidak akan memberikan apa-apa kelebihan. Rizab mata wang asing Bank Negara juga mencukupi, setidak-tidaknya cukup untuk menyokong ringgit kalau diserang. Namun, itu hanyalah andaian.

Kita juga tidak membuatkan diri kita terdedah seperti orang Thai dengan meminjam mata wang asing dan berurus niaga dengan peniaga mata wang, jadi apa yang harus kita bimbangkan?

Kemudian kita mula mendengar mengenai jangkitan kewangan, iaitu bagaimana masalah jiran kita mungkin menjangkiti kita. Walaupun ekonomi dan kewangan kita nampak sihat, ringgit mungkin akan diserang juga.

Kalau peniaga mata wang mencetuskan kehilangan keyakinan terhadap Malaysia, nilai ringgit akan turut jatuh. Saya langsung tidak faham mengapa hal seperti ini harus berlaku, tetapi pakar ekonomi pasti ia akan terjadi.

Mereka betul. Peniaga mata wang mula menjual ringgit secara besar-besaran menyebabkan nilainya merosot. Sebelum serangan itu bermula pada pertengahan 1997, kadar mata wang kita ialah RM2.50 bagi satu dolar Amerika. Bagaimanapun, menjelang hujung tahun nilai ringgit tinggal separuh sahaja. Kita tidak tahu siapa yang menjual ringgit atau kepada siapa mereka menjualnya.

Saya diberitahu mengenai seorang lelaki bernama George Soros yang pernah menyerang paun British dan lira Itali. Kedua-dua buah negara itu menghadapi saat genting mempertahankan mata wang mereka yang disusutkan nilainya secara paksa.

Tanpa mengetahui peniaga mana yang terbabit, saya mengandaikan bahawa Soros adalah salah seorang daripadanya. Tidak kira siapa mereka, saya amat marah.

Bagaimanakah orang luar boleh dengan sewenang-wenangnya memiskinkan negara dan rakyat kita? Bagaimanakah mereka tergamak berbuat demikian secara sedar dan sengaja? Sekalipun itu bukan tujuan utama mereka, mengapakah mereka memilih untuk menjahanamkan kita sebagai produk sampingan strategi perniagaan mata wang mereka? Semua ini tidak masuk akal kepada saya, sama ada dari segi ekonomi mahupun moral.

Bersambung

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels