Followers

Wednesday 18 June 2014

Kenapa DAP Kalut Tentang Isu MALAYSIA Negara ISLAM


Isu negara Islam dan negara sekular yang kini menjadi topik paling panas di kalangan pembangkang dan kerajaan memasuki fasa baru apabila DAP secara terang-terangan masih lagi menunjukkan sikap penentangan mereka terhadap sebarang usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Mereka bukan sahaja menjadikan perkara dalam perlembagaan sebagai asas kepada penentangan tersebut malah turut mempertikaikan kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana menjelaskan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Penentangan itu berlaku setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom membuat kenyataan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam baru-baru ini.Serentak dengan itu DAP menerusi wakilnya mahu Perdana Menteri menyatakan pendirian dan mengambil tindakan terhadap Jamil Khir yang didakwa mereka mengelirukan rakyat.

Dalam masa yang sama Lim Kit Siang turut mahu Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara sekular walaupun Islam menjadi agama rasmi di negara ini.

Sebagai sebuah negara yang telah meletakkan Islam dikedudukan tertinggi dan mengamalkan sistem Raja berperlembagaan seharusnya tidak perlu ada mana-mana pihak yang mempertikaikan tentang status negara Malaysia.Secara logiknya kedudukan itu sudah pun mengesahkan Malaysia adalah sebuah negara Islam yang mempunyai penduduk dari kalangan pelbagai bangsa dan agama.

Malah Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam penjelasannya tetap bertegas dan menyanggah tuduhan pihak-pihak tertentu bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sekular.

Merujuk ulasan beliau yang dikeluarkan oleh bernama , Jamil Khir menyatakan bahawa berdasarkan fakta sejarah jelas menunjukkan bahawa negara ini ditubuhkan berasaskan Kerajaan Islam Kesultanan Melayu, dan Raja-Raja merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perkara itu diperkukuh dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan.

“Kedudukan ini dizahirkan lagi dengan adanya peruntukan-peruntukan lain yang menjaminnya, antaranya Fasal (4) Perkara 11 berkenaan penyekatan pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan penganut agama lain oleh undang-undang negeri atau persekutuan.

“Fasal (2) Perkara 12 mengenai hak berkenaan pendidikan, apabila sah bagi persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan institusi Islam, membantu atau mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan yang perlu,” katanya.

Jamil Khir berkata perkara itu juga diperkukuh lagi dengan Fasal (1A) Perkara 121 yang menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Ssyariah.

Katanya keadaan itu jelas berbeza dengan negara sekular yang tidak menetapkan sesuatu agama sebagai agama negara tetapi rakyatnya dibenar untuk mengamalkan agama mereka masing-masing.

Walau bagaimanapun penjelasan itu tetap tidak diterima oleh kepimpinan DAP apabila mempertikaikan kedudukan Datuk Seri Jamil Khir dan kapasitinya untuk menjawab persoalan tersebut.

Malah dalam masa yang sama Kit Siang membuat pula tuduhan kononnya jawapan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberikan kesan besar dan berisiko yang boleh memecahkan persekutuan Malaysia.

Bagi banyak pihak di luar sana tindakan ini sebenarnya merupakan rentetan daripada usaha DAP untuk menolak sebarang cadangan mahupun perlaksanaan undang-undang hudud yang sebelum ini telah menjadi isu panas khususnya melibatkan parti PAS dan Pakatan Rakyat sendiri.

Kit Siang tahu sekiranya apa yang diungkapkan oleh Datuk Seri Jamil itu benar dan dipersetujui oleh kerajaan melalui keputusan di Dewan Rakyat , sudah tentu perlaksanaan undang-undang hudud bakal menjadi kenyataan.

DAP adalah parti yang sentiasa menentang usaha ke arah itu !

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels