Followers

Thursday 8 March 2012

Bukti Pas Gagal Mentadbir - Azizan Jadi Mangsa


Sejak akhir-akhir ini kesian pula MMI tengok Menteri Besar yang sorang ni siapa lagi kalau bukan Azizan Razak.Beliau merupakan wakil Pas yang hari ini memegang jawatan sebagai Menteri Besar bagi negeri Kedah.

Kesian bukan apa,semua sudah maklum bahawa isu lantikan exco negeri saja sudah memeningkan kepala beliau apabila 2 orang ahli exco tidak mahu menerima lantikan kononnya atas beberapa alasan sehinggakan mengeluarkan kenyataan sekiranya mahu dilantik maka kepimpinan negeri dan Pas Pusat juga perlu mendengar syarat-syarat daripada individu tersebut.

Hebat sungguh exco ini sampaikan kerajaan negeri dan Pas Pusat pun perlu mendengar syarat-syarat beliau.Namun apa yang MMI perhatikan Azizan Razak konsisten dengan kepimpinan beliau dalam menangani permasalahan tersebut.

Inilah hakikatnya kemelut politik yang berlaku di negeri Kedah.Yang pasti apa yang berlaku itu merupakan kelemahan pentadbiran daripada kerajaan Pas walaupun Azizan Razak masih dilihat mampu mengawalnya.

Namun semuanya apabila satu pertemuan diantara Pas Pusat dan kerajaan negeri Kedah termasuklah mereka-mereka yang menimbulkan masalah ini diadakan maka kemelut yang berlaku akhirnya selesai.


Tetapi agak pelik penyelesaiannya apabila satu jawatankuasa pemantau pula diwujudkan oleh Pas Pusat untuk memantau pentadbiran negeri Kedah yang dipimpin oleh Azizan Razak.Bagi MMI ini merupakan satu tindakan yang cukup memalukan kepada Azizan Razak selaku Menteri Besar kerana tindakan yang diambil seolah-olah tiada lagi kepercayaan terhadap Menteri Besar dalam mentadbir negeri dan ianya dilihat seolah-olah Azizan Razak gagal dalam mentadbir Kedah.

Kemudiannya timbul pula isu berkenaan Penubuhan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau pentadbiran kerajaan Kedah oleh Pas Pusat bertentangan dengan undang-undang tubuh kerajaan negeri malah tidak menghormati Sultan, mengikut kata pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew.

Katanya undang-undang tubuh kerajaan negeri meletakkan Menteri Besar serta barisan exconya pada kedudukan paling tinggi dalam pentadbiran negeri bagi membuat keputusan dan tidak perlu dirujuk kepada satu jawatankuasa lain.

"Penubuhan sebuah jawatankuasa yang mempunyai kuasa mengatasi kuasa Menteri Besar dan exco boleh dianggap tidak menghormati Sultan yang memberi perkenan pelantikan mereka.

"Jadi semua perkara perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pemandu sebelum boleh diluluskan oleh mesyuarat exco,” kata Itt Chew, yang juga bekas anggota exco kerajaan negeri ketika Datuk Seri Syed Razak Syed Zain menjadi Menteri Besar.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, mengumumkan baru-baru ini Pas Pusat akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau pentadbiran kerajaan Kedah sebagai penyelesaian kemuncak kemelut Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan dua bekas exconya, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh.


Itulah realitinya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abd Razak kini menempuh hari-hari penuh dramatik macam dalam filem James Bond 007 dengan tidak ketahui kerjaya politiknya berstatus “esok masih ada” atau “tiada esok bagi mu”.

Namun Azizan bukanlah ejen perisik M15 bergelar Double O-Seven, tapi seorang ulama yang cuba mencorakkan politik Kedah mengikut kaedahnya atau fahaman Islam berpandukan ilmu dipungut hasil pengajian di pelbagai universiti.

Pas tak mahu kalah dalam PRU 13 kerana kalah bermakna mereka hilang kuasa mentadbir Kedah. Kemenangan hanya boleh dicapai jika Pas Kedah seia dan sekata dengan DAP dan PKR serta perpaduan dalam Pas itu sendiri tidak menghala ke arah perpecahan.

Pada peringkat ini, Pas Kedah gagal bendung krisis dari melimpah ke kedai-kedai kopi mengakibatkan sarapan rakyat sejak kebelakangan ini dihidangkan dengan senario panas.

Pada mulanya mengikut cerita, dua Exco menolak kepimpinan Azizan selaku Menteri Besar kemudian dengar ada dua lagi mengikut yang dua itu kerana keempat-empat konon mahukan seorang Menteri Besar yang baru.

Walaupun DAP dan PKR cuba menyembunyikan tangan dalam hal ini, namun bagi mereka yang arif kedua-dua parti politik ini juga suka melihat Kedah mempunyai Menteri Besar lain. Azizan dilihat terlalu kemelayuan dan tak sesuai sebagai bos Pakatan Rakyat di Kedah.

Banyak lagi isu yang disebut sebagai faktor kepimpinan Azizan sudah tidak releven. Beberapa tahun lalu Azizan berkeras kekalkan syarat 50 peratus kuota rumah di Kedah harus dimiliki Melayu. DAP dan masyarakat Cina bantah, tapi Menteri Besar yang mendapat sokongan orang Melayu itu tak ambil peduli.

Kedah juga satu-satunya negeri “pembangkang” yang guna kereta Proton Perdana bagi jemaah Exconya berbanding Perak (masa PR berkuasa) menukar kepada Toyota Camry setelah mereka berkuasa. Terbaru, Azizan guna kuasanya selaku Menteri Besar bertindak terhadap enam pelajar Kuin yang berdemonstrasi terhadap Auku - lima digantung pengajian dan seorang dipaksa bayar denda. Kes ini mengheret Azizan berseteru dengan Aziz Bari dan Pakatan Rakyat di peringkat pusat yang perjuangkan pemansuhan Auku.

Azizan tak peduli pandangan PR atau Anwar Ibrahim, malah secara sinis menempelak Pas yang terbawa-bawa dengan buku jingga. Katanya buku jingga bukanlah al-Quran. Sehingga rencana ini ditulis, Pas Pusat secara unprecedented campur tangan dengan membawa Salehudin Ayub sebagai perantara, konon bagi mendamai puak-puak bertelagah. Maknanya krisis kali ini serius.

Campur tangan Pas Pusat beri isyarat bahawa Azizan kini tidak lagi boleh bermaharajalela menentukan siapa dia suka menjadi Exco atau siapa bakal dipecat. Pas mahukan status quo - maksudnya semua Exco terdahulu dikekalkan semula.

Justeru jika dilihat politik Kedah, jawatan Menteri Besar dan nasib malang yang membelenggu penyandangnya mengingatkan kita kepada kisah legenda Mahsuri. Kini di tengah-tengah gelombang dan pukulan arus laut dari Pulau Mutiara, Azizan seperti lemas dipukul bayu - mungkin tempias daripada sumpahan zaman silam.

Sesetengah pihak mengandaikan masa depannya semakin kabur sehingga ada merasakan bosnya Datuk Seri Haji Hadi Awang pun sukar memanipulasi agar kedudukannya khusus selaku Menteri Besar selepas PRU 13 selamat.

Kini timbul pula cakap-cakap mengatakan timbulnya permasalahan ini adalah kerana projek jalan yang tidak diberikan kepada individu tertentu dan telah pun dinafikan oleh pihak Azizan sendiri Klik Sini

Kesan daripada kedudukan Azizan dan dari krisis itu sendiri menunjukkan bahawa ulama dalam Pas semakin dipinggirkan. Azizan dianggap seperti the last mohiccan mempertahankan kedudukan ulama daripada diranap oleh pengaruh Erdogan. Sebelum ini Pas Selangor juga berdepan krisis melibatkan Hasan Ali dengan Menteri Besar sehingga Pas terpaksa memecatnya dari parti itu kerana tidak sehaluan dengan dasar liberal PKR Selangor di bawah Khalid Ibrahim.

Dalam konteks ini, PKR dan DAP nampak orang macam Nizar Jamaluddin, mantan Menteri Besar Perak sebagai pemimpin liberal yang serasi dengan mereka. Dewan ulama yang dianggotai ulama-ulama hebat kadangkala lebih berani berdialog dalam media dari mengambil pendirian tegas. Kerana itu dan juga dipengaruhi faktor lain, ulama yang dilihat sebagai pewaris nabi sudah tidak lagi dihormati oleh sebahagian besar ahli-ahli Pas apatah lagi DAP dan PKR.

Kemenangan Erdogan dalam Pas sehingga Pas tergelincir dari wadah perjuangan asal adalah kerana kelemahan ulama itu sendiri. Mereka tidak berani berdepan parasit dalam parti.

Dilihat sejarah kebangkitan ulama dalam Pas sejak revolusi Islam Iran dalam tahun 1970-an bakal menjadi sebahagian daripada sejarah sedih.

Kalau ulama sendiri membenarkan Azizan dikorbankan maka apalah opsyen Azizan pada ketika dia hampir menjadi seorang lagi kambing korban percaturan politik daripada tangan ghaib?

Ramai pemimpin terkorban kerana mempertahankan prinsip sama seperti lebih ramai pula yang mengorbankan prinsip kerana mengejar cita-cita politik dan impian ke Putrajaya.

Azizan berjaya buktikan bahawa beliau bukanlah ulama berserban kerana songkok pun mampu memperlihatkan imej alimnya. Tetapi itu dulu sewaktu Azizan seorang ahli politik belum berjawatan. Cabaran sewaktu menjadi Menteri Besar rupa-rupanya lebih besar daripada cabaran yang mencabarnya sebagai ulama selama ini.

Nampaknya sumpah Mahsuri dan sumpahan kepada penyandang jawatan Menteri Besar Kedah bukanlah cerita yang dibuai oleh tok selampit, rupa-rupanya ramai sudah pun menjadi mangsa.

Pssst Dengar kata Azizan masuk hospital..

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels