Followers

Tuesday 15 November 2011

Karnival Kerjaya Pemuda BN - Lagi Usaha BN Untuk Rakyat


KARNIVAL Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) 2011 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula 18 hingga 20 November ini akan menawarkan pelbagai kelainan baru.

Tanggapan golongan muda bahawa mereka hanya berpeluang mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan oleh majikan pada program berkenaan sudah tentu akan meleset kerana karnival terbabit menawarkan lebih daripada itu.

Bagi belia yang masih lagi tercari-cari matlamat hidup, kehadiran ke karnival selama tiga hari itu sudah pasti akan membuka minda mereka apabila berpeluang mendengar ceramah yang akan disampaikan oleh pakar perunding potensi diri, Dr. Azizan Osman.



Pengerusi program itu, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, Azizan yang lebih dikenali sebagai 'lelaki tarikh lahir' kerana sering berceramah mengenai rahsia tarikh lahir seseorang itu dijadualkan akan menyampaikan ceramah pada dua sesi yang boleh dihadiri secara percuma.

''Sesi pertama pada Jumaat adalah mengenai transformasi minda untuk membina kehidupan yang lebih baik dan sesi kedua pada Ahad, pukul 10 pagi mengenai bagaimana untuk mengenali potensi diri," kata kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, kelainan lain pada karnival yang akan diadakan di Dewan Tun Razak 1, PWTC bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang adalah ia menawarkan peluang bagi memulakan perniagaan kepada golongan muda yang berminat untuk berdikari.

''Wakil-wakil daripada agensi dan jabatan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan hadir bagi membantu golongan muda yang berminat mendapat bimbingan dan pinjaman bagi menceburi bidang perniagaan termasuk sebagai usahawan tani.

''Terdapat juga wakil daripada 30 syarikat francais terkemuka yang akan turut berada di PWTC bagi memberi penerangan kepada golongan muda yang berminat untuk terlibat dalam perniagaan sedemikian," katanya.

Dalam pada itu, Nazir Hussin turut menjelaskan, golongan muda yang tidak mempunyai kelulusan tinggi tetapi berminat menceburi sektor industri tertentu seperti penyelenggaraan kapal terbang juga boleh mendaftar untuk mengikuti program latihan khusus.

''Kalau orang itu hendak bekerja tetapi dia tiada kemahiran, dia mungkin belajar setakat tingkatan tiga ataupun langsung tak ada apa-apa, dia akan dihantar mengikuti kursus dengan elaun diberikan syarikat terbabit sebelum diserapkan ke sektor pekerjaan,'' ujarnya.

Nazir Hussin yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, segala kelainan yang dibuat adalah hasil maklum balas daripada enam edisi karnival sebelum ini yang mendapati terdapat di kalangan pengunjung yang inginkan penambahbaikan dalam kerjaya mereka.

Jelas beliau, karnival di Kuala Lumpur kali ini merupakan destinasi ketujuh selepas kali pertama diadakan di ibu negara diikuti Kedah, Pahang, Melaka, Sabah dan baru-baru ini di Perak.

Rentetan kejayaan sebelum ini, Pemuda BN sekali lagi tampil menganjurkannya di PWTC dengan penyertaan lebih 400 syarikat dari seluruh negara.


Menyentuh mengenai peluang pekerjaan yang ditawarkan pada karnival kali ini, katanya, sebanyak 30,000 jawatan kosong menunggu untuk diisi oleh pengunjung.

Selain swasta, jelasnya, karnival kali ini akan disertai pelbagai syarikat milik kerajaan (GLC). Antaranya, Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Maybank, Kumpulan Nadi, JCorp, Kumpulan Sapura, Boustead Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Kuwait Finance House (M) Berhad dan Wesports Malaysia Sdn. Bhd.

Katanya, Proton Holdings Berhad menawarkan 200 peluang pekerjaan bagi peringkat pengurusan termasuk mencari calon kakitangan yang boleh dihantar bertugas di luar negara termasuk Iran dan China.

Menurutnya, Felda turut menawarkan 60 kekosongan jawatan, manakala Pantai Holdings Berhad memerlukan 2,000 jururawat baru.

''Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bomba turut terlibat dalam karnival ini bagi merekrut anggota baru,'' katanya.
Tambah beliau, karnival terbabit bukan sahaja untuk golongan penganggur, malahan mereka yang mahu menukar kerja juga dialu-alukan mengunjunginya.

''Kita tahu daripada ramai-ramai yang datang ini, bukan semuanya penganggur. Terdapat juga yang datang sebenarnya sudah bekerja dan hanya hendak mencari peluang kerja yang baru.

''Kita galakkan mereka datang selaras dengan matlamat Pemuda BN untuk membantu golongan muda supaya berjaya dalam kerjaya masing-masing.

''Apabila telah berjaya nanti kita berharap mereka dapat kembali memberi sokongan kepada BN dan juga bersama-sama untuk membangunkan negara ini,'' ujarnya.

Beliau juga melahirkan keyakinan karnival berkenaan akan mendapat sambutan hangat susulan penganjuran di enam negeri sejak Mac lalu yang telah menyaksikan sebanyak 24,000 jawatan sudah diisi.

Jelas beliau, majlis perasmian penutup karnival berkenaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Ahad, pukul 11.30 pagi.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dijadual menghadiri karnival pada hari pertama dengan disusuli dengan beberapa orang menteri Kabinet pada hari kedua.



Beliau yakin karnival kali ini akan mendapat sambutan menggalakkan sama seperti majlis di tempat sama pada Mac lalu yang menyaksikan kehadiran 500,000 pengunjung.

Bagi sesiapa yang ingin menyertai serta berminat mengetahui perkembangan karnival kerjaya berkenaan boleh melayari laman web www.bnyouthjobfair.my.

Kepada majikan yang berminat turut serta dalam karnival terbabit boleh menghubungi pihak sekretariat di talian 03-41427777.

Bravo Pemuda BN.

MMI.

1 comment:

  1. Assalamualaikum
    Minta dilink blog saya disini
    http://kerispusakabangsa.blogspot.com/
    Terima kasih

    ReplyDelete

Labels