Followers

Friday 26 December 2014

Misi Bantuan Terus Di Gerakkan #BanjirMove @RRafizal @dzainalabidin @NajibRazak @DrNovandri


Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang sudah pun menggerakkan Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa-Mangsa Banjir yang akan mula bergerak ke kawasan bencana pada 27 Disember 2015 Sabtu.MMI difahamkan misi bantuan ini akan ke Perak bersama-sama dengan barangan bantuan untuk membantu serta meringankan beban mangsa-mangsa banjir di sana.

Sehingga artikel ini ditulis , kesemua 13 bahagian Pemuda UMNO di seluruh negeri Pulau Pinang sudah pun menggerakkan gerak kerja masing-masing mengumpul serta mempersiapkan barangan bantuan yang akan turut sama dibawa dalam misi bantuan yang akan berlepas esok.

Sementara itu semua pihak termasuk agensi kerajaan , parti-parti politik , NGO dan lain-lain telah pun menggerakkan usaha masing-masing bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang kini amat-amat memerlukan bantuan.

Seperti semua pihak sedia maklum , Malaysia sedang menghadapi bencana banjir terbesar dalam sejarah melibatkan beberapa negeri dan terbaru dilaporkan Kuala Lumpur , Kedah  serta Johor turut sama dilanda banjir.

Merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh astroawani , Johor menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila dua daerah di negeri berkenaan mula terjejas, manakala keadaan di Pahang, Terengganu, Kedah dan Perak tidak banyak berubah, setakat tengah hari ini.

Di JOHOR, daerah Kluang dan Muar mula terjejas banjir dengan sebanyak 214 mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan mulai hari ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor berkata di Kluang, sejumlah 201 orang termasuk empat bayi daripada 46 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan manakala 13 penduduk di Bukit Kepong, Muar dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan.

"Kesemua mangsa di Kluang ditempatkan di Balai Raya Kampung Paya Palembang, Balai Raya Mardi, Mukim Renggam, Balai Raya Kampung Mengkibol dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kencana. Penduduk di Bukit Kepong pula dipindahkan ke balai raya kampung berkenaan," katanya.

Beliau berkata paras air di lokasi terjejas banjir semakin meningkat.

Di KELANTAN, keadaan banjir yang semakin buruk menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turun padang ke negeri itu bagi meninjau situasi semasa bencana tersebut.

Muhyiddin mengarahkan aset air, udara dan darat dipertingkatkan dalam usaha membantu serta menyelamatkan mangsa banjir di Kelantan yang kini melebihi 32,000 orang.

Beliau turut mengarahkan agar bekalan barangan keperluan seperti makanan ditambah di semua pusat pemindahan sementara (PPS) daripada tiga hari kepada seminggu, antaranya bagi mengelak masalah kekurangan bekalan.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 31,001 orang berbanding 30,147 pada sebelah pagi tadi. Kesemua mangsa ditempatkan di 98 pusat pemindahan banjir di empat daerah.

Kebanyakan mangsa dari daerah Kemaman yang kini mencecah 21,381 orang, diikuti Dungun (7,979), Kuala Terengganu (1,369) dan Hulu Terengganu (272).

Besut merupakan daerah terbaharu pulih daripada banjir hari ini apabila baki 317 mangsa di dua pusat pemindahan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini, beberapa jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan termasuk Jalan Chukai ke Air Putih, Cheneh Mak Lagam dan Jalan Chukai Utama.

Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 35,736 orang dengan kebanyakan mereka di daerah Kuantan yang merekodkan sejumlah 19,924 mangsa, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,119 orang berbanding 5,530 mangsa pagi tadi, membabitkan tiga kawasan di Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Perak Tengah.

Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir kini 2,914 orang, Kuala Kangsar (2,579) dan Hulu Perak (626).

Malah YAB Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak juga diberitakan sudah pun dalam perjalanan kembali ke Malaysia dan dilaporkan akan terus ke Kota Bharu Kelantan bagi meninjau situasi banjir yang sedang melanda negara.

Untuk rekod walaupun YAB PM perlu menyelesaikan tugasannya di luar sebelum ini , barisan kepimpinan dan agensi kerajaan telah sedia berada di kawasan bagi membantu mangsa-mangsa banjir khususnya di kawasan-kawasan yang teruk terjejas.







Gambar-gambar atas adalah sebahagian daripada semua usaha dan gerak kerja yang telah dilakukan oleh mereka-mereka yang kini sedang berjuang untuk membantu mangsa-mangsa banjir.Walaupun ada dikalangan kita yang masih lagi menjadikan bencana banjir ini sebagai modal politik untuk hentam menghentam sesama sendiri , MMI rasa adalah wajar sama sekali tindakan sedemikian dihentikan.

Lagi gambar dan berita di blog sahabat GPB  

MMI ucapkan TAHNIAH dan SYABAS kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan , sesungguhnya usaha murni ini tidak akan mampu untuk mengubat duka semua mangsa banjir namun kerjasama semua pihak akan dapat meringankan beban yang terpaksa mereka tanggung.

Sebagai seorang insan , MMI juga turut merasakan kesedihan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh semua mangsa banjir dan untuk itu sebagai penulis blog ... MMI akan hentikan seketika penulisan berkaitan politik sebagai tanda SOLIDARITI MMI kepada kesemua mangsa banjir.

Sehingga keadaan kembali seperti sedia kala , MMI hanya akan menyiarkan laporan-laporan mahupun gambar berkaitan usaha bantuan kepada mangsa banjir.

Mungkin tidak seberapa tetapi ini yang mampu MMI sumbangkan.

#BanjirMove

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels