Followers

Monday, 30 July 2012

Benarkah Hadi Awang Mula Terpinggir ??


Bukan satu rahsia lagi, kedudukan Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS sejak akhir-akhir ini kelihatan semakin goyah dan kurang mendapat penghormatan sewajarnya dari kalangan penyokong dan ahli PAS sendiri.

Dalam banyak perkara melibatkan perjalanan parti, seringkali Hadi dipaksa mengikut lenggok tari Mursyidul Am PAS sebelum menentukan keputusan untuk sesuatu perkara berbangkit – sesuatu yang jarang berlaku semasa PAS dibawah pimpinan Allahyarham Fadhil Noor mahupun Presiden sebelumnya.

Walaupun struktur organisasi PAS meletakkan kedudukan Mursyidul Am lebih tinggi berbanding Presiden, namun bukannya satu kelaziman bagi PAS meletakkan taraf Presidennya hanya sekadar pak turut kepada Mursyidul Am semata-mata.

Keadaan ini dilihat kian menonjol terutama semenjak kebangkitan puak Anwarinas ataupun dikenali juga dengan gelaran Erdogan yang mula menggandakan penentangan secara besar-besaran terhadap konsep Kerajaan Perpaduan (UG) yang diilhamkan oleh Hadi Awang.

Rentetan dari situ, satu demi satu pemimpin PAS yang pro kepada konsep UG serta mempunyai hubungan rapat dengan Hadi Awang tersingkir atau terpinggir dari arus PAS Pusat dan negeri. Sekaligus menyebabkan cengkaman pengaruh Hadi terhadap PAS kian longgar dan imejnya pula kian tercalar.

Manakala imej Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS pula diangkat setinggi-tingginya sehinggakan urusan parti yang biasa dilaksanakan oleh Presiden kini seringkali diambil alih oleh Nik Aziz.

Malah bila Hadi membuat kenyataan tertentu atau tindak tanduknya dilihat tidak mengikut kehendak kumpulan Anwarinas dalam PAS, tidak semena-mena Nik Aziz akan segera memotong dengan membuat kenyataan sebaliknya sehingga memaksa Hadi menarik handbrake dan mengubah semula kenyataan asal.

Contohnya dalam isu muzakarah dan kerajaan perpaduan, Hadi yang membuat tawaran dan mencetuskan idea namun bila ramai geng Anwarinas tampil membantahnya maka Nik Azizlah yang akan jadi perisai depan untuk memastikan bantahan puak Anwarinas tercapai.

Impak kemudiannya, Hadi terpaksa menanggung malu dan terpaksa bersilat lidah untuk menenangkan penyokong PAS yang semakin ramai berpayung di belakang kumpulan Anwarinas yang disokong oleh Nik Aziz.

Dalam konteks lain pula, kebiasaannya Presiden parti adalah penghubung utama sekiranya membabitkan pertemuan politik dengan pemimpin dari parti rakan sepakatan mahupun pemimpin parti di luar pakatan.

Namun disebabkan wujudnya usaha berterusan untuk menenggelamkan pengaruh Hadi, acapkali kumpulan Anwarinas akan segera mengaturkan sesuatu pertemuan politik itu dengan melibatkan Nik Aziz tanpa membabitkan Hadi.

Demikianlah yang berlaku baru-baru ini apabila bekas pemimpin UMNO Sabah, Lajim Ukim tiba-tiba diuruskan kedatangannya ke Kelantan untuk bertemu Nik Aziz sedangkan sedari awal sepatutnya pertemuan tersebut hanya melibatkan perbincangan soal taktikal politik antara Lajim dengan Hadi Awang.

Sudahlah begitu, isi utama perjumpaan tersebut pula hanya sekadar untuk menyampaikan hasrat Lajim mahu menyertai PKR disamping meminta restu Nik Aziz.

Entah sejak bila Nik Aziz jadi pemimpin PKR agaknya sehingga restunya diperlukan sebelum dapat menjadi ahli PKR? Kelihatan seperti mahu memperlihatkan PAS lebih kuat berbanding PKR, namun hakikatnya itu hanyalah sebahagian usaha kumpulan Anwarinas untuk mengkelabu asapkan imej Hadi di mata ahli dan penyokong PAS.

Di kalangan ramai pemimpin PAS yang berada di kem Hadi dan juga beberapa orang yang tiada kem, walaupun kerap terganggu dengan penonjolan berlebihan Nik Aziz seolah-olah diktator PAS, namun mereka seakan hilang kekuatan untuk mempertikaikannya secara lebih terbuka dan terpaksa redha selagi geng Anwarinas masih menguasai PAS.

Paling mereka bimbangi dalam beberapa jangka masa terdekat atau paling lambat selepas PRU 13, Hadi awang akan terus terpinggir dari arena kepimpinan PAS dan tempatnya bakal menjadi miliki salah seorang pemimpin bukan aliran agama yang pro Anwar Ibrahim.

Tanda-tanda ke arah itu sudah banyak kelihatan. Menjelang PRU 13, PAS bukan sahaja akan berentap dengan UMNO di masa yang sama pertempuran antara kem dalam PAS akan lebih menonjol terutama sekali melibatkan perebutan untuk calon yang akan bertanding.

Lebih ramai pemimpin pro Anwar berjaya menempatkan diri sebagai calon pilihanraya bermakna berakhirnya zaman kepimpinan Hadi dan akan meninggalkan tampuk kepimpinan PAS dalam keadaan malu dan terhina sama seperti pernah dialami oleh arwah Asri Muda.

Sumber suaragenerasibaru.com

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels