Followers

Wednesday 14 November 2012

AES Antara Sikap & Undang-Undang


Sebelum anda meneruskan pembacaan di entri kali ini , MMI ingin mengingatkan sekali lagi bahawa kenyataan pada entri di bawah adalah kenyataan dan pandangan daripada MMI sendiri tanpa melibatkan mana-mana pihak di luar sana.

Seperti ramai yang sudah sedia maklum sistem AES bagi mengawal had laju kenderaan sudah pun menjadi isu yang agak panas malah kehangatannya bertambah lagi apabila ianya turut dijadikan modal politik oleh parti-parti pembangkang dalam Pakatan Haprak.

MMI tidak menafikan bahawa terdapat pandangan pihak-pihak diluar sana yang mahu supaya sistem ini dikaji semula.Malahan terdapat juga pihak yang menganggap pelaksanaan sistem ini merugikan negara malah memperkayakan pihak-pihak tertentu.

Namun bagi MMI , pelaksanaan sistem ini sebenarnya merupakan satu alternatif terbaik yang seharusnya dilihat sebagai medium kerajaan dan rakyat seluruhnya dalam usaha kita menghadapi dan menjadi sebuah negara maju.

Majunya sesebuah negara itu bererti rakyatnya juga harus turut maju dalam semua konteks termasuklah dari segi undang-undang jalanrayanya kerana sedikit sebanyak jalanraya merupakan penyumbang utama kepada kemajuan satu-satu kawasan bahkan negara.

Apakah mentaliti rakyat Malaysia masih lemah dan suka mengikut hati dan emosi dalam sesuatu perkara ? Cuba kita lihat negara-negara maju lain di dunia adakah mereka sering menjadikan sikap merungut sebagai intipati utama dalam menyelesaikan satu-satu masalah ? Ya mungkin ada sesetengahnya namun pada hakikatnya majoriti mereka menerima sebarang bentuk pelaksanaan baru demi menjadikan sebuah negara itu maju malah ianya turut menjadikan rakyat sesebuah negara itu maju bukan saja dari segi ekonomi kehidupan bahkan maju dari inteleknya.

Apakah kita sebagai rakyat Malaysia masih mahu menyokong usaha supaya AES dimansuhkan ? Bukankah dengan memansuhkan sistem AES ianya bakal menyebabkan kita kerugian dari segi kos sebelumnya ? 

Dalam soal ini , jangan pula kita meletakkan kepentingan diri terlalu tinggi dengan mempertikaikan mengapa kerajaan tidak mahu mendapatkan pandangan rakyat terlebih dahulu sebelum satu-satu tindakan itu di ambil.

Sebagai rakyat sebuah negara berdaulat lagi merdeka kita seharusnya menunjukkan kematangan kerana sesebuah kerajaan yang dipilih dalam pilihan raya sebenarnya adalah sebuah kerajaan yang sah dan dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal negara dalam semua segi.

Maka oleh kerana itu sudah tentu pihak kerajaan juga mempunyai barisan panel pemikir terbaik dalam mencari jalan bagi menangani masalah kemalangan yang melibatkan rakyat khususnya di jalanraya.

Bagi MMI seharusnya kita sebagai rakyat harus memikirkan tentang bagaimana mengatasi masalah yang mungkin ada dan mungkin berlaku dengan terlaksananya sistem AES ini.Bukannya dengan mencari pelbagai alasan seperti merugikan duit rakyat,kerajaan zalim dan lain-lainnya.

Seharusnya dari pandangan MMI , rakyat Malaysia mestilah mencari kaedah paling baik contohnya dengan terlaksananya sistem AES di seluruh negara maka had kelajuan di setiap laluan mestilah dikaji semula.

Ini adalah langkah yang paling baik daripada kita terlalu emosi sehinggakan ada pihak-pihak tertentu menjadikannya sebagai bahan kempen politik murahan.

Adakah ini mentaliti rakyat Malaysia ? 
Berbalik kepada AES , sekiranya kita melihat dari jumlah kenderaan dan kapasiti enjin yang terdapat di Malaysia sudah pasti laluan yang menghadkan kelajuan hanya 50km sejam adalah satu perkara yang mungkin tidak masuk akal.Malah di lebuhraya had kelajuan 110km sejam dirasakan boleh dinaikkan mungkin tidak melebihi 140km sejam.

MMI bukan mahu melihat semua kenderaan bergerak laju dan seterusnya mengundang kemalangan tetapi dengan kapasiti enjin yang dimiliki oleh kebanyakkan kenderaan di Malaysia rasanya had kelajuan yang tidak melebihi 140km sejam di lebuhraya adalah relevan.

Begitu juga dengan laluan-lauan lain yang MMI yakin sekiranya perkara ini dilakukan pastinya AES tidak akan menjadi masalah kepada pengguna jalanraya.

Persoalan yang MMI mahu ajukan kepada anda adalah , Apa yang anda mahukan dalam soal pelaksanaan sistem AES ini ?  Adakah rungutan anda kerana undang-undang itu sendiri atau ianya kerana sikap diri kita sendiri ?

Barangkali akan ada yang tidak bersetuju dengan pandangan MMI namun itulah hakikatnya rakyat Malaysia hari ini kerana kita sering kali mencari jalan mudah bagi menyelesaikan sesuatu perkara tanpa mahu melakukan sedikit kajian yang sebenarnya boleh membantu bukan saja diri kita malah seluruh rakyat dan negara Malaysia.

Baru-baru ini MMI ke Selangor atas urusan peribadi dan kerja dan sepanjang perjalanan pergi dan balik termasuk ketika berada di bumi Kuala Lumpur dan Selangor tidak ada satu pun lampu dari AES yang menangkap kereta MMI.

Apa rahsianya ?? Cukup mudah hanya dengan mematuhi undang-undang MMI bebas dari AES setakat hari ini.

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels