Berikutan beberapa tindakan dan kejadian sebelum ini yang di lihat mampu mengeruhkan lagi keadaan khususnya kemakmuran antara kaum , UMNO Pulau Pinang telah mengeluarkan kenyataan rasminya semalam.
Kenyataan yang menyentuh tentang beberapa perkara itu di lihat sebagai satu usaha UMNO untuk terus melihat perpaduan sesama kaum dan agama terus di pertahankan selain semua pihak kembali mengamalkan sikap hormat menghormati sesama sendiri.
KENYATAAN MEDIA
oleh
YBHG. DATO’ ZAINAL ABIDIN OSMAN
PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI PULAU PINANG
DEMO BANTAHAN TERHADAP YB ADUN MACHANG BUBUK
1. UMNO Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa UMNO Pulau Pinang bukan penganjur perhimpunan dan perarakan ' Menyokong YAB Perdana Menteri' yang diadakan di Seberang Jaya pada 18 hb. Januari dan demo yang diadakan di Alma pada 19 hb. Januari lalu. Kedua-duanya merupakan bantahan orang ramai dan NGO-NGO yang merasakan tindakan YB ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon mengadakan ‘flash mob ' dengan menyumbat kangkung ke mulut effigy YAB PM Najib suatu tindakan biadab dan menghina pemimpin No 1 negara.
2. Kehadiran beberapa pemimpin UMNO Pulau Pinang dalam kedua-dua acara tersebut adalah atas kapasiti mereka sebagai pemimpin tempatan. Adalah tidak wajar sekiranya mereka tidak hadir bersama rakyat dan NGO-NGO yang berhimpun untuk menunjukkan sokongan kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri.
3. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO juga ada hak dan kebebasan untuk bersuara; dalam menyatakan pandangan dan pendapat mereka. Kebebasan bersuara dan memberi pendapat bukan hak eksklusif pemimpin-pemimpin DAP, PKR dan PAS serta NGO-NGO pro mereka sahaja. Sejak dulu pemimpin-pemimpin UMNO menyuarakan pandangan serta bantahan apabila kepentingan Melayu dan Islam dicabar dan apabila parti dan pemimpin negara dicaci dan dihina.
4. Pihak polis sudah pun memulakan siasatan ke atas kedua-dua perhimpunan berkenaan. Beberapa pemimpin UMNO Pulau Pinang juga sudah dipanggil polis untuk diambil keterangan. Mereka telah dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk membantu siasatan. UMNO Pulau Pinang amat yakin pihak polis akan berlaku adil dan professional dalam menjalankan siasatan mereka.
5. UMNO Pulau Pinang berpendirian perhimpunan-perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak tertentu pada 18 & 19 Januari lalu adalah tindakan balas kepada 'flash mob' yang dilakukan oleh YB Machang Bubuk dan dua lagi perhimpunan di Bulatan Bayan Baru dan Bulatan Seberang Jaya sebelum 18 hb. Januari. UMNO Pulau Pinang tegas menyatakan perhimpunan pada 18 dan 19 Januari tidak akan berlaku sekiranya YB Adun Machang Bubuk tidak melakukan penghinaan ke atas YAB Perdana Menteri. Ia adalah tindakan provokasi yang mengundang tindak balas.
6. UMNO Pulau Pinang ingin menyatakan dengan tegas bahawa sepanduk “ Kerana Mulut DAP, 13 Mei 1969 berlaku, mahu lagi ? “ dan sepanduk-sepanduk lain bukan lah sepanduk yang dibuat dan dipamer oleh UMNO Pulau Pinang. Oleh kerana UMNO bukan penganjur ,kita tiada kuasa untuk menurunkan sebarang poster atau sepanduk dalam perhimpunan tersebut. UMNO Pulau Pinang faham luahan perasaan dan rintihan mereka yang membawa sepanduk tersebut disebabkan bertahun-tahun mereka tertekan kerana diasak, dihina, diperlekeh, ditindas dan merasa tidak dibela dan dilayan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang yang dipilih oleh rakyat.
7. Negara kita aman disepanjang pemerintahan Barisan Nasional . Sejak tahun 1974 hingga 2008 , selama 34 tahun dibawah Kerajaan BN Pulau Pinang, rakyat telah menikmati kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dalam suasana aman sentosa. Hubungan antara kaum sangat baik dan saling hormat menghormati. Oleh itu UMNO Pulau Pinang membantah sebarang usaha untuk mencetuskan ketegangan diantara kaum seperti yang sering diapi-apikan tanpa henti-henti sejak tahun 2008 hingga kini oleh kepimpinan DAP dan Pakatan Rakyat.
8. UMNO Pulau Pinang bertanggungjawab untuk sama-sama memastikan keamanan dan ketenteraman Negeri Pulau Pinang kekal ditahap yang paling baik dan sempurna seperti yang di inginkan oleh rakyat di negeri ini. Oleh yang demikian UMNO Pulau Pinang yang mempunyai hampir 200 ribu ahli UMNO yang merupakan rakyat di Negeri Pulau Pinang ingin menyuarakan agar pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak terus meracuni fikiran rakyat dengan sentiasa menanam perasaan kebencian berterusan ditahap maksima terhadap parti UMNO yang akan mengakibatkan hubungan antara rakyat menjadi tegang dan dibimbangkan boleh membawa kepada keadaan yang tidak terkawal.
POLITIK SAMSENG
1. UMNO Pulau Pinang ingin menegaskan bahawa UMNO tidak mengamalkan politik samseng dalam perjuangan membela dan berkhidmat kepada rakyat dan dalam mentadbir dan membangunkan negara.
2. Perbuatan Wong Tak dan Himpunan Hijau yang menceroboh Majlis Hari Australia baru-baru ini di KLCC merupakan tindakan samseng. Wong Tak adalah calon DAP bagi kawasan Parlimen Bentong pada PRU lalu. Apakah DAP merestui perbuatan tersebut ? Bukankah DAP mengamalkan politik samseng?
3. Dalam beberapa siri demo Bersih, ramai pemimpin PKR, DAP dan PAS terlibat sama, dan berlaku banyak insiden kekasaran, memukul pihak polis, merosakkan harta awam dan 'ala samseng' dalam setiap himpunan ini. Bukankah mereka ini terlibat dalam politik samseng ?
4. Terbaru, YB Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR dijatuhkan hukuman penjara sebulan oleh mahkamah kerana melanggar arahan polis. Beliau juga pernah mengepalai sekumpulan penyokongnya merempuh sekatan polis pada demo Bersih. Malah, Ketua Umum dan Timbalan Presiden PKR juga terlibat dalam rempuhan sekatan polis. Bukankah ini semua perbuatan politik samseng ?
5. Apakah rakyat Pulau Pinang sudah lupa tindakan samseng oleh bekas ADUN Komtar, Ng Wei Aik yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dalam kes rampasan barangan oleh MPPP ke atas sebuah restoran India Muslim beberapa tahun lalu ?
6. UMNO Pulau Pinang amat kesal dengan sikap double-standard yang diamalkan oleh beberapa pihak terhadap UMNO. Adalah tidak adil menyalahkan UMNO secara kesuluruhannya sebagai sebuah parti dan menuduh UMNO mengamalkan politik samseng kerana beberapa orang individu yang ada kaitan dengan UMNO terlibat dalam tindakan yang kasar.
ISU SURAT BANTAHAN PENJUALAN DAGING BABI SECARA TERBUKA KEPADA MPPP
1. UMNO Pulau Pinang ingin memaklumkan bahawa tindakan menghantar surat bantahan itu dibuat oleh NGO yang tiada kaitan dengan UMNO Pulau Pinang. Kehadiran Naib Ketua Pemuda UMNO Tanjong adalah dalam kapasiti peribadi beliau sendiri.
2. UMNO Pulau Pinang berpegang kepada pendirian sejak dulu bahawa penjualan daging babi hendaklah dibuat secara tertutup yakni ‘ partition ‘ dan tidak bercampur dengan gerai-gerai lain secara terbuka. Kaedah ini telah diguna pakai dan dipraktik dimerata tempat sejak dulu lagi. Semua kaum menerima baik cara ini atas dasar saling hormat menghormati antara budaya / makanan kaum Cina dan prinsip / pegangan umat Islam.
3. UMNO Pulau Pinang berpendapat sekiranya penjualan daging babi di buat secara terbuka dan mungkin menyalahi mana-mana Peraturan dan Undang-Undang Kecil MPPP, maka adalah diharap pihak berkuasa dapat berunding dengan peniaga-peniaga terbabit dan menyelesaikan perkara ini dengan baik dan teratur dengan mengambilkira sensitiviti semua pihak.
4. UMNO Pulau Pinang ingin menegaskan tindakan terpencil oleh mana-mana individu yang ada kaitan dengan UMNO tidak patut dan tidak adil disalah tafsir sebagai menggambarkan pendirian sebenar UMNO. Keahlian UMNO adalah daripada pelbagai latar belakang. Ramai ahli UMNO juga terlibat dengan NGO-NGO yang pelbagai matlamat penubuhannya. Tindakan oleh mana-mana NGO juga tidak boleh dianggap sebagai sebagai tindakan dan pendirian UMNO hanya kerana beberapa individu ahli UMNO terlibat sama dengan NGO berkenaan.
PENCEROBOHAN GERAI-GERAI PENIAGA MELAYU
1. UMNO Pulau Pinang sekali lagi menegaskan bahawa UMNO tidak terlibat menganjurkan bantahan-bantahan tersebut atau mengarahkan mana-mana individu untuk menghalang pegawai-pegawai kerajaan dalam melaksanakan tugas mereka.
2. UMNO Pulau Pinang maklum bahawa pihak polis sudah mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat dalam kekacuan semasa perobohan gerai di Teluk Bahang.
3. UMNO Negeri Pulau Pinang telah mengenalpasti dan menyenaraikan 22 kawasan gerai-gerai milik peniaga bumiputra yang telah dirobohkan dan diberi notis untuk dirobohkan di Pulau Pinang sejak tahun 2010.
4. UMNO Pulau Pinang berpendirian agar kerajaan negeri dibawah pimpinan DAP mengutamakan rundingan untuk menempatkan semua peniaga-peniaga ini ketempat yang lebih sesuai disediakan oleh kerajaan negeri. UMNO Pulau Pinang akan berusaha memohon mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan ini, sekiranya Kerajaan Negeri ini dapat menyediakan tapak tanah untuk tujuan tersebut.
5. UMNO Pulau Pinang sekali lagi meminta agar Kerajaan Negeri lebih peka dan bertimbang rasa dalam merobohkan gerai-gerai milik peniaga-peniaga kecil di negeri ini. Pengusaha-pengusaha gerai bergantung hidup dengan perniagaan mereka. Tindakan Kerajaan Negeri merobohkan gerai-gerai tersebut akan tentunya menyusahkan rakyat mencari pendapatan menyara kehidupan mereka dan keluarga. Adalah diharapkan Kerajaan Negeri terus mencari jalan untuk menambahbaik kehidupan dan pendapatan rakyat termasuk peniaga kecil di gerai yang telah lama beroperasi dan tidak menggangu lalulintas.
MMI
No comments:
Post a Comment