Followers

Wednesday, 3 July 2019

Mampukah KITA Bersama Atas Nama Perjuangan ?


Hampir beberapa bulan MMI tidak menulis, semestinya kerana keputusan PRU14 yang lalu dimana BN dan UMNO hilang kuasa secara mengejut. 

Keadaan pada ketika itu pelbagai, macam-macam cerita dan tanggapan bermain di benak hati setiap rakyat Malaysia khususnya mereka-mereka yang mengikuti perjalanan politik tanahair. Begitulah juga MMI mengambil keputusan untuk berehat dari menulis dan menjadi pemerhati kepada keadaan dan suasana selepas keputusan drastik rakyat Malaysia yang kononnya dahagakan perubahan.

Pemerhatian MMI bukan hanya terarah kepada kedudukan Pakatan Harapan selaku parti pemerintah tetapi juga terarah kepada parti UMNO dan Barisan Nasional. Melalui pengamatan MMI, sesuatu pasti berlaku kerana ada 2 perkara yang menjadi permulaan kepada kedua-dua parti yang bertanding dalam PRU14 yang lalu.

1.Pakatan Harapan buat pertama kalinya menjadi kerajaan persekutuan sudah tentunya dengan pengalaman sebegini akan menguji sejauh mana kebenaran yang dijanjikan walaupun kehadiran nama-nama besar seperti Mahathir, Muhyiddin dan Anwar sekalipun.

2.UMNO dan Barisan Nasional pula buat pertama kalinya juga berubah iklim menjadi pembangkang dan hanya mampu menguasai 2 kerajaan negeri iaitu Perlis dan Pahang.

Makanya 'story board' kali ini memang menarik ...

Macam-macam cerita !
Macam-macam perangai !
Macam-macam 'statement' !
Macam-macam aksi !

Cumanya artikel kali ni tak akan menyentuh tentang keadaan gila babi di Malaysia apabila di tadbir oleh kerajaan Pakatan Harapan sebab rasanya ramai rakyat yang sedang memerhati dan faham bahawa keputusan PRU14 yang lalu sebolehnya mahu diubah !

Ini realitinya yang dapat dikongsikan sebab sepanjang tempoh rehat dari menulis, MMI dah bertemu dengan ramai orang dan semuanya dari kumpulan yang berbeza. Perlu diingatkan juga dalam ramai-ramai tu ada juga yang dulunya begitu taksub kononnya PH bakal membawa perubahan yang jauh lebih baik daripada zaman BN.

Ya hasrat dan impian mereka sememangnya tercapai tetapi perubahan yang jauh lebih teruk dari zaman BN dan MMI yakin ramai yang diluar sana juga sedar bahawa sokongan itu terasa seperti menipu diri sendiri.

Apa boleh buat tanggunglah ....

Dalam semua kekalutan itu, MMI juga melihat soal keutuhan parti UMNO ... tatkala tsunami besar melanda, apakah parti yang menjadi tempat bernaung orang-orang Melayu yang masih berpegang kepada kepercayaan bahawa HAK dan KEDUDUKAN Melayu dan Islam itu mampu bangkit malah bertahan daripada asakan demi asakan politik dari pihak lawan ?

Sudah tentu sebagai pembangkang yang tidak lagi punya upaya kewangan seperti dahulu, gerak tari UMNO pasti terjejas. Tak perlu berbohong dan tak perlu berselindung kerana kita tahu selama lebih dari 60 tahun dipersada politik tanahair, sumber kewangan adalah perkara terpenting bagi menggerakkan parti namun tidaklah bermaksud bahawa hanya dengan kewangan semata-mata UMNO boleh digerakkan.

UMNO telah melalui pelbagai zaman dan ke semua zaman itu bermula dengan serba kekurangan dan dari kekurangan itulah UMNO bangkit sehingga Malaysia dikenali dunia.

Cumanya budaya sejak UMNO menjadi pemerintah, dahulunya banyak kemudahan jika dibandingkan dengan hari ini sebagai pembangkang. Maka sejauh mana budaya itu boleh diubah agar ianya mampu seiring dengan kedudukan kita sebagai pembangkang ?

Berdasarkan pemerhatian MMI, orang-orang UMNO jiwanya besar malah semangat mereka jauh mengatasi pemimpin itu sendiri. Buktinya persidangan diperingkat cawangan-cawangan, bahagian sehinggalah ke peringkat pusat semuanya berjalan lancar.

Kehadiran penyokong-penyokong di PAU seperti biasa tidak ada yang kurang walaupun tidak lagi dibekalkan dengan bekalan itu dan ini. Diperingkat bahagian-bahagian pula, ada bahagian yang bertukar Ketua Bahagian kerana ada pertandingan, ini membawa mesej jelas bahawa disaat UMNO terluka dan cedera parah pun masih ada orang-orang UMNO yang menyahut seruan untuk tampil berkhidmat.

Jadi di mana kurangnya UMNO ? 

Kita perlu sedar bahawa yang tinggal pada hari ini adalah PERJUANGAN !

Sesiapa jua yang hari ini mengaku sebagai orang UMNO dan memegang AMANAH sebagai pemimpin di mana-mana peringkat sekalipun perlu sedar parti memerlukan kudrat dan keringat kita untuk bangkit kembali.

Jika dahulunya parti lebih banyak membela kita kini budaya itu berubah, orang-orang UMNO perlu membela parti keramat ini agar ianya mampu bangkit kembali.

Dalam proses ini kita sudah menyaksikan pelbagai episod drama politik segelintir pemimpin kita yang angkat kaki meninggalkan parti. Masing-masing punya alasan tersendiri walaupun kita tahu sebahagian daripada mereka tersepit akibat perbuatan mereka sebelum ini.

Selain daripada itu kalangan yang meninggalkan parti ini memberikan pelbagai alasan yang kadang-kadang lucu untuk dihadam. Entah apa yang mereka fikirkan apabila alasan seperti mahu berkhidmat kepada masyarakat, mahu mempertahankan Bangsa, Agama dan Negara, perlu menyokong Mahathir kerana mahu mengurangkan kuasa DAP dalam kerajaan PH dan lain-lain termasuklah punya alasan tersendiri.

Apa pun semua keputusan itu hanyalah sekadar alasan bagi menutup PENGKHIANATAN terhadap parti dan para ahli diakar umbi yang selama ini mendokong kedudukan mereka selaku pemimpin.

Malah mungkin juga sikap para pengkianat yang membuka pintu kota Melaka berzaman dahulu melekat dalam diri mereka dan barangkali sikap tali barut Jepun sewaktu menjajah Tanah Melayu dijadikan sebagai pedoman untuk kelangsungan hidup.

Pada MMI semuanya bergantung kepada keikhlasan dalam diri setiap dari kita, sama ada berjuang atas prinsip atau perjuangan kosmetik yang membalut wajah.

Siapa pun kamu, selagi mana prinsip dan perjuangan itu ikhlas untuk parti MMI 'SALUTE' dan pasti jutaan yang ada diluar sana punya prinsip-prinsip ini sebab itulah Umno terus bertahan malah sedang bangkit.

Pada ketika kita sedang bangkit inilah selalunya cabaran akan jauh lebih besar, banyak perkara yang perlu kita siapsiagakan. Musuh diluar sana sebolehnya mahu mengkuburkan terus Umno dan kerana itulah ramai yang pasti dah mendengar sendiri cerita-cerita tentang pertemuan pimpinan kita dengan pimpinan musuh politik.

Bukan itu sahaja ular-ular lidi mula menjalar ke seluruh pelusuk dunia maya dengan bisa-bisa mereka kerana ini peluang. Peluang yang perlu digunakan sebaiknya supaya ahli-ahli Umno termakan bisa seterusnya mati mengelupur.

Namun kita sewajarnya bersyukur kerana Allah swt masih lagi memberikan kita peluang, orang-orang Umno masih punya akal yang waras dan kita terus istiqomah mempertahankan kapal yang sedang dibaik pulih oleh seorang pemangku dan seorang pemimpin yang dulunya dihina dan dicaci seolah-olah beliau langsung tidak punya iman.

Kesungguhan kerja buat itu pula disambut dengan hati yang terbuka oleh para pimpinan tertinggi serta ahli-ahli di akar umbi dan sinarnya mula kelihatan apabila RAKYAT mula sedar bahawa mereka adalah MANGSA kepada TIPU HELAH Pakatan Harapan yang berdiri atas lendir fitnah dan tipu helah.

Buktinya BN menang di 3 PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau. Walaupun Pakatan Harapan sebelum itu juga menang di beberapa kerusi namun keputusan ketiga-tiga PRK diatas jelas jauh berbeza dan ianya memberikan impak yang cukup besar bukan sahaja kepada Umno dan BN tetapi juga kepada Pakatan Harapan.

Makanya kita dapat melihat satu perubahan yang cukup drastik beraku dikalangan RAKYAT dan ianya sudah tentu memberikan isyarat bahawa Umno perlu segera BERUBAH dan berubahlah menjadi parti yang lebih baik serta boleh dipercayai.

Hasilnya terbentuk PERPADUAN UMMAH bersama PAS.

Usaha demi usaha telah berjalan dan seluruh rakyat sebenarnya sudah melihat sendiri bagaimana kerjasama ini sebenarnya adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan Malaysia dari tangan mereka-mereka yang langsung tidak berjiwa rakyat. 

Kerana itu kita perlu segera memperbetulkan saf dan fahami bahawa Umno adalah parti pembangkang. Fahamkan betul-betul maksud ini kerana musuh utama Umno pada hari ini adalah BUDAYA 62 TAHUN yang berlagak dan sombong atas tiket PEMERINTAH !

INGAT ... Beberapa hari lalu, Presiden Umno mengumumkan untuk kembali bertugas setelah bercuti dan apa yang telah berlaku dalam tempoh 24 jam keputusan itu diumumkan ?

Pelbagai kenyataan dan telahan telah dibuat secara terbuka di media sosial termasuk yang bersifat menghentam ! 

Soalnya kenapa perlu sampai ke tahap itu ?

Ini Presiden yang telah dipilih secara sah oleh para perwakilan Umno dalam pemilihan Umno !

Atas dasar perlembagaan dan mana-mana peruntukan undang-undang parti sekalipun ianya adalah SAH dan kita semua perlu menerima keputusan ini sejajar dengan prinsip demokrasi yang selama ini kita junjung.

Kita punya proses dan apabila tibanya proses itu nanti maka buatlah pilihan yang terbaik tetapi hari ini kita tidak boleh sesekali membuang masa dengan menghukum sesama sendiri.

Untuk terus BANGKIT kita perlu buang jauh-jauh sikap sebegini kerana inilah sebahagian daripada budaya 62 tahun yang masih melekat dalam segelintir orang-orang Umno.

Buang jauh-jauh kerana agenda mendepani PRU15 jauh lebih penting kepada kita semua.

Nasihat MMI kepada orang-orang Umno tanya sendiri MAMPUKAH KITA BERSAMA ATAS NAMA PERJUANGAN ?

MMI

Labels