Followers

Wednesday 6 August 2014

GPMS Pulau Pinang Kutuk Aksi Tidak Bertamadun !!


Berikutan tersebarnya video yang menunjukkan aksi bogel sekumpulan orang dewasa di Teluk Kampi Pulau Pinang semalam , pelbagai pihak tampil menyatakan keresahan serta pandangan mereka.Salah satunya adalah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Pulau Pinang yang jelas tidak senang malah mengutuk aktiviti sedemikian.

Berikuta adalah kenyataan media yang dikeluarkan oleh GPMS Negeri Pulau Pinang.

KENYATAAN MEDIA

Assalamualaikum

Merujuk kepada penyebaran klip video bertajuk "Penang Nude Sports Games 2014" yang sedang tersebar luas di laman media sosial khususnya di Facebook dan Whatsapp,  Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Pulau Pinang sangat memandang seruis tentang perkara ini. Penyebaran klip video ini tidak akan berlaku sekiranya tiada pihak yang melakukan aktiviti jijik, biadap dan tidak bertamadun tersebut dan merakamnya serta menyebarkan ke dalam laman media sosial.

Paling mengejutkan, berdasarkan kepada petikan klip video dalam tersebut, lokasi yang disyaki dijadikan kawasan kumpulan ini menganjurkan aktiviti sukan berbogel adalah di Taman Negara Teluk Bahang, Pulau Pinang.

GPMS Negeri Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya aktiviti jijik, biadap dan tidak bertamadun ini dan menggesa pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan dengan kadar segera.

Berdasarkan kenyataan orang ramai di laman Facebook yang mendakwa bahawa mereka yang terlibat termasuk warga Singapura, GPMS Negeri Pulau Pinang berharap agar pihak Imigresen Malaysia dapat turut serta menjalankan siasatan dan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada dengan menyenaraihitamkan nama-nama mereka yang terlibat daripada memasuki negara Malaysia sampai bila-bila.

Insiden berbogel ini juga telah mengaibkan seluruh warga negeri Pulau Pinang dan memburukkan imej kerajaan dan negeri Pulau Pinang. Justeru GPMS Negeri Pulau Pinang mendesak agar kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya YAB Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk menjalankan siasatan dengan kadar segera dan menyediakan laporan tentang insiden ini. 

Selain itu, GPMS Negeri Pulau Pinang berharap agar pihak kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bersikap melepas tangan dan menunding jari kepada pihak lain. Pihak kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya bersikap lebih bertanggungjawab dan peka terhadap sensitiviti penduduk negeri Pulau Pinang khususnya orang Islam.

GPMS Negeri Pulau Pinang mencadangkan akan pihak kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dalam memastikan kejadian seperti ini tidak berlaku pada masa akan datang.

GPMS Negeri Pulau Pinang mencadangkan agar diwujudkan garis panduan  atau kod etika  yang melarang para pelancong atau orang ramai yang berkunjung ke kawasan-kawasan peranginan di negeri ini daripada bertindak di luar batasan seperti berbogel di khalayak dan lain-lain.

GPMS Negeri P.Pinang sekali lagi berharap agar mereka yang terlibat dalam rakaman video ini disiasat dan diambil tindakan dengan kadar segera supaya ia menjadi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak melakukan perkara yang sama di masa akan datang serta sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada.

AZDY BIN MOHD ARSHAD
Pengerusi Biro Agama
GPMS Negeri P.Pinang

Baca juga artikel berkaitan di SINI

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels