Followers

Saturday 28 January 2017

Penolakan Hadi Bukti DAP Bukan Parti Berteraskan RAKYAT !


Dalam kesamaran politik yang kini membelenggu Pakatan Harapan , secara tiba-tiba PAS yang sebelum ini dianggap sebagai liabiliti kepada pakatan pembangkang dianggap sebagai satu keperluan.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana keperluan itu benar-benar berpaksikan kepada prinsip politik dalam Pakatan Harapan tetapi ianya kini berubah menjadi satu lagi isu politik yang jika tidak ditangani dengan berhati-hati oleh pimpinan pembangkang ianya akan membongkar segala kelemahan dan kesongsangan hubungan parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Semua pihak sedar betapa hubungan yang wujud sesama parti dalam Pakatan Harapan itu bukanlah berdasarkan kepada persetujuan maksima terhadap beberapa prinsip melibatkan kedaulatan negara dan agenda parti-parti terlibat khususnya mengenai hak rakyat Malaysia.

Perbezaan paling ketara begitu jelas diperlihatkan kepada umum apabila perlembagaan parti-parti yang bersama secara "total" menunjukkan ketidaksamaan yang cuba dilindungi dari mata rakyat oleh sebahagian besar dari pimpinan pembangkang.

Mana mungkin pengakuan DAP bahawa parti itu menghormati Perlembagaan Persekutuan sekiranya dasar parti itu sendiri bercanggah dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan ?

Malah sikap dan corak pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang misalnya sudah pun lari daripada pengakuan tersebut.Ini dibuktikan dengan tindak tanduk kerajaan DAP terhadap perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat !

Bagaimana DAP boleh menghormati Perlembagaan Persekutuan sekiranya parti itu menjadi sebahagian daripada penyokong tegar terhadap penolakan cadangan RUU355 yang jelas hanya melibatkan kepentingan orang-orang Islam ?

Bukankah hak orang-orang Melayu dan agama Islam itu merupakan sebahagian daripada perkara utama yang tersimpan kemas dalam Perlembagaan Persekutuan ?

Mengambil kira peranan parti-parti yang bersekongkol dalam Pakatan Harapan pula , bolehlah diandaikan parti-parti ini tidak mempunyai asas dan matlamat yang jelas khususnya yang melibatkan peruntukan perlembagaan mereka sendiri.

Kebanyakkannya atau kesemuanya hanya menjadi pak turut kepada cengkaman erat DAP terhadap apa yang mereka war-warkan sebagai wadah alternatif untuk menggantikan Barisan Nasional.

Ironinya PKR , PAN malah PPBM sekalipun dilihat masih tidak punya keupayaan untuk menyaingi penguasaan DAP terhadap kem pembangkang dan kerana itulah kehadiran Tun Mahathir sekalipun tidak boleh merubah dasar DAP terhadap perkara yang melibatkan hak orang Melayu dan agama Islam.

Impaknya Tun Mahathir sudah pun mengakui bahawa tanggapannya terhadap DAP selama ini adalah salah dan percaya bahawa DAP menghormati Perlembagaan Persekutuan sedangkan apa yang dilakukan oleh DAP di Pulau Pinang sejak 2008 yang lalu dilihat terlalu menyimpang daripada apa yang Tun Mahathir perkatakan.

Disini kita dapat melihat bagaimana tuntutan politik dan agenda politik itu sendiri telah merubah prinsip parti-parti dalam Pakatan Harapan kerana mereka lebih menumpukan kepada matlamat untuk menumbangkang kerajaan Barisan Nasional semata-mata bukannya menawarkan pilihan yang boleh menjadi alternatif kepada rakyat Malaysia seperti mana yang sering mereka war-warkan.

Antara perkara yang perlu dilihat dan perhalusi oleh rakyat adalah sejauh mana keyakinan kita terhadap DAP yang diperakui oleh Tun Mahathir sebagai parti yang memahami dan menghormati Perlembagaan Persekutuan ?

Perlu diingat ada perbezaan diantara menghormati Perlembagaan Persekutuan dengan menghormati serta memahami ISI Perlembagaan Persekutuan !

DAP mahupun Lim Kit Siang sedar mereka memerlukan PAS untuk bersama namun kerana ego politik dan kepincangan asas sesama mereka telah menyebabkan pakatan itu tidak kukuh.

Terimalah hakikat bahawa kenyataan Hadi Awang yang menolak kerjasama dengan DAP itu dibuat setelah meneliti beberapa perkara yang dilakukan oleh DAP sendiri.Bukannya atas dasar sogokan pihak lain supaya PAS meninggalkan DAP.

Tidak ada mana-mana pihak pun yang menyogok PAS supaya tinggalkan hubungan luar tabi'e itu dan PAS bertindak atas dasar pengalaman , sejarah dan kesedaran mereka sendiri.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata DAP telah menunjukkan “belang sebenar” kepada umat Islam di Pulau Pinang dan gagal menjaga kepentingan awam di negeri itu, lapor New Straits Times.

Katanya agenda mereka dan DAP berbeza kerana PAS bukan hanya mahu menang pilihan raya tetapi juga membawa perubahan dalam masyarakat.

Hadi berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, semalam.

Hadi berkata, PAS berpendirian begitu kerana DAP masing menolak Islam dan pembentukan kerajaan Islam sentiasa menjadi teras perjuangan PAS.

Maka jelas PAS tetap menolak DAP kerana asas dan dasarnya yang sudah terbukti menolak semua perkara yang melibatkan kepentingan agama dan orang Islam.

Mesej ini jelas dan Hadi melihat kepada isu-isu yang meledak di Pulau Pinang , bagaimana celuparnya pentadbiran DAP dan bagaimana rakusnya DAP dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebuah kerajaan negeri.

Apa yang dipertontonkan kepada umum selama ini sudah cukup untuk meyakinkan pihak-pihak diluar sana betapa DAP bukanlah parti yang berteraskan kepada rakyat tetapi lebih kepada kepentingan untuk diri sendiri dan konco-konco mereka.

Rakyat hanya penting apabila tibanya masa PRU mahupun PRK , selebihnya DAP akan terus menggula-gulakan rakyat dan pimpinan yang masih kekal melutut kepada mereka.

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels