Followers

Tuesday, 1 November 2011

MALAYSIA BERJAYA BERSAMA UMNO & BARISAN NASIONAL


Ucapan YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak Presiden UMNO Malaysia pada 10 Julai 2011 bertempat di Dewan Merdeka , Pusat Dagangan Dunia Putra , Kuala Lumpur cukup menarik dan bermakna.

Penerangan yang cukup bersemangat ini perlu diikuti oleh semua kerana ianya memberikan satu maklumat terbaik kepada semua jentera UMNO dalam persediaan menghadapi PRU ke 13.

Bandingkan ucapan YAB Presiden dengan ucapan dari pemimpin Pembangkang pastinya kita tahu siapa yang bekerja untuk rakyat dan siapa yang menghasut rakyat agar sama-sama merosakkan apa yang kita nikmati hari.

Sebagai bukti bahawa UMNO dan Barisan Nasional sentiasa komited membantu rakyat ikuti tulisan oleh Senator Datuk Dr. Firdaus Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya berkenaan Pengiktirafan PBB di atas kejayaan Malaysia.

BARU-baru ini saya menyertai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-66 di New York, Amerika Syarikat.

Terdapat lebih kurang 400 orang perwakilan dari lebih 200 negara dan pemerhati dari badan-badan profesional dan agensi PBB dalam persidangan berkenaan.

Dalam perbincangan oleh kumpulan Jawatankuasa Kedua (Second Commitee) yang bertajukEradication of poverty and other developments issues ia tertumpu kepada pelbagai usaha negara-negara anggota PBB dalam membasmi kemiskinan.

Untuk sekian kalinya diingatkan bahawa kemiskinan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi sekali gus merupakan masalah sosial dan politik serta moral dan etika. Kemiskinan mengancam kestabilan politik sesebuah negara yang berkait rapat dengan keresahan sosial.

Ini mengingatkan kita kepada hadis nabi yang memberi amaran bahawa kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran.

Senada dengan itu, perwakilan Singapura memetik tokoh falsafah Inggeris, George Bernard Shaw, yang pernah berkata bahawa - the greatest of all evil and the worst of crimes is poverty(kemiskinan adalah syaitan yang paling jahat dan jenayah yang paling buruk).

Sehubungan itu, maka semua perwakilan sepakat bahawa langkah-langkah membasmi kemiskinan dianggap sebagai cabaran paling hebat yang dihadapi dunia sekarang. Sebenarnya masalah ini lama disedari oleh PBB. Usaha-usaha pembasmian kemiskinan dijadikan salah satu program utama PBB yang dirangkumkan dalam agenda Millennium Development Goals (Matlamat Pembangunan Alaf Baru).

Langkah konkrit ke arah pencapaian matlamat itu dirumuskan dalam World Summit for Social Development (Sidang Kemuncak Dunia untuk Pembangunan Sosial) pada 1995. Berikutan itu dirangka Rancangan Sepuluh Tahun pertama yang diikuti dengan Rancangan Sepuluh Tahun kedua dengan rujukan Second UN Decades for the Eradication of Peverty (2008-2017) yang sedang berjalan sekarang.

Rancangan Sepuluh Tahun tersebut mengandungi pelbagai program di bawah seliaan PBB untuk dilaksanakan di serata dunia pada peringkat negara, rantau dan antarabangsa. Termasuk dalam pelbagai program itu adalah pengumpulan pelbagai data tentang kemiskinan. Data yang diperoleh tentu amat berguna untuk memantau kejayaan dan kegagalan usaha membasmi kemiskinan.

Tidak kurang pentingnya adalah bahawa data berkenaan akan memberi gambaran atau "realiti" kemiskinan yang sekali gus mengingatkan pemimpin-pemimpin masyarakat dunia tentang kegawatan masalah berkenaan.

Pemantauan tahunan mengenai status pencapaian (kejayaan dan kegagalan) usaha membasmi kemiskinan itu dilakukan sekurang-kurangnya melalui dua mekanisme iaitu laporan tahunan Setiausaha Agung yang dibentangkan kepada Perhimpunan Agung dan laporan perwakilan setiap negara mengenai status usaha-usaha pembasmian kemiskinan di negara masing-masing yang sekali gus merupakan reaksi atau penilaian terhadap laporan Setiausaha Agung.

Laporan Setiausaha Agung untuk Perhimpunan Agung tahun ini mencatatkan bahawa bilangan penduduk dunia yang berada di bawah garis kemiskinan berkurangan daripada 1.8 bilion pada 1990 kepada 1.4 bilion pada 2005.

(Mereka yang berada di bawah garis kemiskinan itu ditakrifkan sebagai pendapatan hariannya kurang daripada US$1.25 atau kurang daripada RM4). Tetapi jika garis kemiskinan itu diukur berdasarkan pendapatan dua dolar Amerika sehari, maka bilangan penduduk miskin di dunia sekarang ialah 2.5 bilion.

Gambaran ini akan semakin muram jika diambil kira kenaikan harga bahan makanan di serata dunia sejak hujung 2010. Laporan daripada negara-negara anggota disampaikan dalam bentuk kenyataan oleh jurucakap perwakilan masing-masing dalam sidang Jawatankuasa Kedua.

Di samping berfalsafah atau berteori mengenai kemiskinan, hampir seluruh perwakilan mengulangi kenyataan bahawa kemiskinan adalah satu fenomena yang sangat kompleks yang berpunca daripada pelbagai sebab. Punca itu termasuklah keterbatasan peluang memperoleh pelbagai sumber yang diperlukan untuk satu kehidupan yang berhemah.

Semua itu saling kait berkait dengan keterbatasan peluang pekerjaan, perumahan, pemakanan, pendidikan dan kesihatan. Dengan demikian wujudlah satu lingkaran yang menyebabkan usaha-usaha membasmi kemiskinan itu menjadi semakin kompleks.

Perwakilan atau jurucakap setiap negara melaporkan kejayaan atau kegagalan masing- masing dalam usaha membasmi kemiskinan ini. Kadar pencapai pelbagai negara anggota PBB dalam pembasmian itu sudah tentu itu berbeza-beza.

Negara yang mengaku kurang pencapaiannya akan memberi pelbagai sebab dan alasan termasuk menuduh pihak-pihak lain waima PBB sendiri atau malapetaka dan bencana alam. Sementara, negara-negara yang mendakwa telah mencapai kejayaan lebih tinggi kadarnya akan memberi fatwa atau formula.

Singapura umpamanya merujuk tiga prasyarat yang diperlukan untuk membasmi kemiskinan itu: pendidikan, pelaksanaan dasar-dasar membantu golongan yang kurang bernasib baik dan kerjasama serantau dan antarabangsa yang perlu ditingkatkan.

Pada keseluruhannya gambaran diberikan oleh kebanyakan perwakilan adalah bahawa jurang antara yang kaya dan yang miskin telah semakin melebar, baik dalam sesebuah negara, begitu juga antara satu negara dengan negara lain. Namun begitu Malaysia boleh berbangga kerana termasuk antara negara yang berjaya membasmi kemiskinan melalui pelbagai program sejak mencapai kemerdekaan.


Kejayaan Malaysia ini diakui sendiri oleh Setiausaha Agung PBB dalam laporan tahunannya. Laporan tersebut secara khusus merujuk Malaysia, Thai, Vietnam dan China sebagai empat negara Asia yang mencapai kejayaan ketara dalam usaha pembasmian kemiskinan sejak 20 tahun lalu. Kejayaan tersebut dikaitkan dengan kepesatan pertumbuhan ekonomi sepanjang masa 20 tahun itu dalam empat negara tersebut.

Pengiktirafan yang diberikan oleh Laporan Rasmi Setiausaha Agung PBB tersebut telah saya tegaskan lagi sewaktu membentangkan prestasi Malaysia dalam usaha membasmi kemiskinan ini. Secara khusus saya menyebut bahawa kadar kemiskinan tegar di Malaysia pada masa ini hanyalah 0.3% (tidak sampai satu peratus daripada seluruh penduduk). Semua itu adalah berkat kemajuan pembangunan ekonomi Malaysia sejak 30 tahun lalu.

Saya laporkan juga bahawa Malaysia turut menyumbang kepada negara-negara lain dalam usaha pembasmian kemiskinan melalui Malaysia Technical Cooperation Programme (MTCP) yang dilancarkan dalam September 1980.

Program MTCP ini memberi tumpuan kepada pembinaan sumber tenaga manusia melalui pelbagai latihan dan kursus. Seramai lebih 20,000 peserta daripada 130 negara membangun mengikuti program tersebut. Semua itu bermakna bahawa kalau di suatu masa dahulu Malaysia adalah negara penerima bantuan negara luar, maka MTCP membuktikan bahawa Malaysia sudah mencapai status negara pemberi bantuan.

Apakah rahsia kejayaan kita itu? Jawabnya - politik stabil dan pemerintahan yang cekap. Dan semuanya itu akan dilanjutkan dengan pelbagai program transformasi, termasuk Transformasi Pembangunan Luar Bandar seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober lalu.








Inilah hasil usaha berterusan kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Sebagai rakyat kita harus terus mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional agar terus menjadi wadah terbaik dalam memacu negara keperingkat tertinggi seterusnya nasib rakyat akan dapat terus dibela.

MMI. 

No comments:

Post a Comment

Labels