Perkembangan politik mutakhir ini dilihat seolah-olah semua pihak mahu menggunakan segala elemen yang ada demi untuk kepentingan politik masing-masing.Jangan kita lupa mengenai isu mahasiswa berdemo sehinggakan lupa adab dan tata susila sebagai seorang pelajar dan belia negara apabila sanggup bertindak menghina kepimpinan negara.
Seluruh rakyat bangun,ada yang menyokong dan ada yang menentang namun hakikatnya semua yang berlaku ini adalah kerana sikap ego dan terlalu taksub dengan agenda politik parti-parti tertentu sehingga sanggup menggadai maruah dan integriti masing-masing.Alangkah ruginya kita apabila terdapat barisan anak muda yang bertindak sedemikian rupa kerana di sokong dan di dokong oleh parti-parti politik tertentu demi untuk kepentingan satu-satu individu atau matlamat untuk menghancurkan negara.
Inilah akibatnya apabila kita meletakkan matlamat sebagai agenda utama sedangkan yang sepatutnya diberikan keutamaan adalah perjuangan.Mengapa begitu ? kerana perjuangan untuk memperkasakan Bangsa,Agama dan Negara pastinya akan disusuli dengan matlamat yang terbaik berbeza dengan matlamat untuk menghalalkan cara sudah pastinya perjuangan akan dikesampingkan.
Bertitik tolak dari situlah baru-baru ini bertempat di Taman Robina Teluk Air Tawar satu program yang dinamakan Merakyatkan Seni Budaya Sentuhan Remaja telah diadakan.Program yang di anjurkan bersama oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor,Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara,Kementerian Penerangan Komunikasi & Kebudayaan dan banyak lagi agensi terlibat telah dirasmikan oleh YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop selaku Ahli Parlimen Tasek Gelugor.
YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam ucapan perasmiannya turut berkata aspek seni budaya juga memainkan peranan penting.Untuk maju kita tidak boleh sesekali kehilangan nilai-nilai budaya.Negara German contohnya merupakan sebuah negara maju namun budayanya tetap terpelihara.Malaysia juga sebenarnya turut mementingkan nilai-nilai budayanya dan semenjak Mei 2004 kerajaan melalui Kementerian Penerangan Komunikasi & Kebudayaan telah melancarkan program merakyatkan seni budaya ini sehingga sekarang dengan tumpuan kepada golongan remaja kerana mereka merupakan elemen penting dalam pasca negara menuju wawasan 2020.Sebagai contoh boria sekarang ini dilihat semakin kurang diminati oleh golongan remaja khususnya di Pulau Pinang dan inilah sebenarnya nilai budaya yang perlu kita sama-sama pertahankan.
Jelas dalam ucapan perasmian tersebut YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop begitu mementingkan aspek nilai budaya ini kerana ianya merupakan elemen terbaik dalam usaha kita membina negara supaya kita tidak meninggalkan entiti kita tatkala kita sudah mencapai sasaran sebagai sebuah negara maju nanti.
MMI yang turut berada di lokasi cukup teruja apabila keterlibatan anak muda dari pelbagai peringkat umur mengambil bahagian.Masing-masing dengan peranannya,paling menarik melihat anak-anak kecil mempersembahkan tarian tradisional cukup membuatkan semua yang hadir tersenyum dengan bakat yang dipersembahkan.
Persembahan selingan oleh kumpulan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara
Seterusnya pertandingan kugiran mengambil tempat dengan 5 buah band melayakkan diri masing-masing ke peringkat akhir.Kesemua band-band ini perlu mempersembahkan lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham P.Ramlee sebagai lagu wajib.
Paling mendapat sambutan adalah MAEROO BAND yang dipimpin oleh Sdr Ibrahim Shah Nasir.Gaya persembahan dan susunan muzik yang dimainkan cukup menghiburkan penonton dan seterusnya menambat hati para juri untuk mengumumkan MAEROO BAND sebagai juara pertandingan.Mereka membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai RM500 dan hadiah disampaikan oleh YB Dato' Hjh Jahara Abdul Hamid ADUN Teluk Air Tawar.
Anggota Band Maeroo Sdr Sheikh Mohamad Ainar Sheikh Omar
Paling membanggakan MMI adalah kesemua band-band ini terdiri daripada para belia dan anak muda yang begitu berbakat dalam bidang muzik,dengan sedikit sentuhan dan sokongan sebegini pastinya mereka dapat terus berkarya dan seterusnya mengelak daripada terjebak dengan kegiatan tidak bermoral dan gejala sosial.
Ketua Band Maeroo Sdr Ibrahim Shah Nasir
Sebenarnya masih ramai anak muda di luar sana yang tahu membawa diri cumanya kita sebagai barisan pendokong seharusnya mendekati mereka dengan program-program yang dapat menarik minat mereka seterusnya memahami minat dan kehendak mereka.
Syabas kepada semua yang terlibat,satu usaha dan program yang baik dalam kita membina generasi pewaris terbaik kepada Bangsa,Agama dan Negara.
MMI.
No comments:
Post a Comment