Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil kira pandangan generasi muda di negara ini dalam proses transformasi politik yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, BN memahami segala kebimbangan yang disuarakan golongan terbabit khususnya dari segi pembangunan kerjaya, ekonomi, penglibatan dalam politik dan sistem perundangan negara.
Menurut beliau, suara golongan muda dewasa ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh parti politik memandangkan mereka membentuk kira-kira 49 peratus daripada pemilih berdaftar yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Parti politik yang memahami pengaruh generasi muda dan kemampuan mereka mempengaruhi pendapat umum pasti beroleh kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
“Menyedari hakikat itu, Pergerakan Pemuda UMNO telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mendekati golongan muda dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang mereka hadapi," katanya pada Forum Antarabangsa UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.
Khairy merupakan seorang daripada ahli panel dalam sesi perbincangan bertajuk Generasi Y dan Politik - Bagaimana Membantu Mereka Mengatasi Hubungan Negatif Yang Diwujudkan Oleh Politik Keganasan, Antagonisme, Kecurigaan dan Kebencian?
Ahli-ahli panel lain ialah Timbalan Pesuruhjaya Perhubungan Antarabangsa Al-Fatah Palestin, Dr. Abdullah M. I. Abdullah; Ketua Sektor Perhubungan Luar Negara, Parti Kongres Nasional Sudan, Prof. Ibrahim Ghandour dan wakil Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Eizaz Muhd. Redzuan manakala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bertindak sebagai moderator.
Dr. Abdullah dalam sesi sama berkata, Palestin kini berdepan cabaran untuk mendidik generasi mudanya tentang usaha menyelesaikan konflik dengan Israel secara damai.
Syabas Pemuda teruskan perjuangan murni ini..
MMI.
No comments:
Post a Comment