Followers

Wednesday 26 December 2012

Sidang Media - Fazurina Mohon Maaf


Pelakon drama bersiri Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd Famir hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sebelum ibunya itu ditarik ahli keluarganya yang lain meninggalkan sidang media dibuat pelakon berusia 30 tahun itu bagi menjelaskan kontroversi perkahwinannya, semalam.

Ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, hadir pada sidang media itu bersama abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya yang lain, Mohd Fauzi Mohd Famir, 24, dan Mohd Firdaus Mohd Famir, 22. Bagaimanapun, mereka hanya berdiri berhampiran kumpulan media dan hanya mendengar sidang media tanpa berkata apa-apa.

Siti Fazurina kelihatan tersentak dan menangis apabila ibunya mengikut saudara-maranya yang lain selepas dia berkejar mendapatkan Zubaidah berhampiran tangga selepas ibunya bergegas meninggalkan sidang akhbarnya.

Bagaimanapun, dia hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun manakala Zubaidah didengar meluahkan kekesalannya dengan tindakan Siti Fazurina (berkahwin secara senyap) sebelum dia ditarik adik-beradiknya meninggalkan tempat itu.



Sebelum itu dalam sidang medianya , Fazurina berkata "Saya mohon isu perkahwinan ini tidak perlu diperbesarkan lagi selain memohon ampun dan maaf di atas apa yang berlaku dan mendoakan yang terbaik untuk diri saya dan suami," pinta pelakon drama bersiri 'Trilogi Cinta', Siti Fazurina Mohd Famir yang telah mencetuskan kontroversi kerana sanggup bertindak kahwin lari tanpa restu keluarganya minggu lalu.

Siti Fazurina atau lebih mesra disapa Rina, 30, berkata, isu kahwin lari tidak timbul kerana perkahwinannya adalah sah di sisi agama kerana diwalikan bapa saudaranya, Mohamad Fami Freedam Shah di Masjid Jamek Sungai Pinang, Jelutong di sini Khamis lalu pada jam 3.40 petang.

Beliau berkata, biarpun majlis pernikahannya tidak dihadiri keluarga termasuk ibu tercinta serta adik beradik yang lain namun ramai sanak saudara yang hadir membuat persiapan dan membantu kerana apa yang sebenarnya berlaku disebabkan masalah keluarga yang berlaku agak sekian lama.

Katanya, perasaan terkilan dan kecewa jelas terpancar apabila isu perkahwinannya bersama suami, Muhammad Hykal Zulkifli, 31, dikecam ramai pihak termasuk keluarganya sendiri namun sebagai anak apa juga masalah keluarga yang dihadapi biarlah menjadi hak peribadinya.

"Sebelum ini saya pernah menemui ibu untuk berbincang selain memohon restu untuk kami berkahwin, sebaliknya ditolak dan hati saya cukup terguris dengan apa yang terjadi. Namun sebagai anak, saya amat berharap perkahwinan ini direstui keluarga dan tiada lagi tohmahan atau tuduhan mengenai kahwin lari sebaliknya tanpa restu keluarga sahaja.

"Sebagai anak saya benar-benar tahu perasaan ibu yang 'kecil hati' apabila bertindak begini kerana saya tidak mempunyai pilihan dan inilah keputusan muktamad dan tidak mungkin akan ditarik balik, dan kami kini sah menjadi suami isteri kerana cinta, kasih dan sayang hanyalah untuk Hykal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan sidang media di Hotel Sri Malaysia, Bayan Baru semalam. Hadir sama, bapa Hykal, Zulkifli Abu Bakar, 67, dan ibunya, Pauzi Abd Hamid, 59, serta ibu Fazurina sendiri, Zubaidah Abu Bakar, 60, abang sulung, Shahzuri Shaharudin, 36, Mohd Fauzi Mohd Famir, 24, dan Mohd Firdaus Mohd Famir, 22.


Rina berkata, sebelum ini tidak pernah terlintas untuk mencetuskan apa juga kontroversi sejak menjadi anak seni 10 tahun lalu dan sudah tiba masanya untuk mendirikan rumahtangga, dan Allah SWT telah menemukan jodohnya bersama Hykal yang kini menjadi suami dan pelindung buat dirinya.

Beliau berkata, apa yang diharapkan masalah ini tidak perlu dipanjangkan selain memohon maaf kepada semua termasuk keluarga dan peminat serta rakan media kerana terpaksa merahsiakan perkahwinan ini dan agar dapat menghentikan orang ramai dari terus mengecam dirinya dan suami.

Katanya, dia amat bersyukur kerana ramai saudaranya bersusah payah membantu, bukannya atas paksaan, untuk merealisasikan perkahwinan ini dan ia berjalan dengan lancar biarpun mendapat halangan.

"Saya berharap semua akan mendoakan kebahagiaan kami berdua dan Insyallah saya akan mengadakan majlis resepsi di pihak perempuan pada 9 Februari depan di Pearl Island, Bayan Lepas dan berharap semua ahli keluarga dapat hadir beramai-ramai," katanya.

Majlis pernikahan diadakan di Masjid Jamek Sungai Pinang, Jelutong pada 20 Disember 2012, jam 3.40 petang diwalikan bapa saudaranya, Mohamad Fami Freedam dengan mas kahwin RM2,012 dan hantaran RM30,000.

MMI simpati dengan apa yang berlaku terhadap Rina , namun itulah asam garam dalam kehidupan insyaallah sama-sama kita doakan selepas ini perhubungan beliau dengan ibunya serta keluarga akan kembali pulih.

Bagi MMI dalam kes Rina ni kedua-dua pihak perlu bermuhasabah diri dan menerima ketentuan Allah SWT , barangkali ibu Rina mungkin masih kecil hati kerana tindakan beliau membelakangkannya namun MMI yakin selepas ini apabila keadaan sudah semakin reda segala kemelut ini boleh diselesaikan dengan baik.

Ibu mana yang tidak terguris hati apabila anak sendiri bertindak membelakangkan dirinya betul tak ?

Psstt Anwar Ibrahim pun katanya kahwin lari juga dengan Wan Azizah tapi sekarang ok ja..Hehe politik sikit..

MMI.





No comments:

Post a Comment

Labels