Followers

Friday, 25 January 2013

Jangan Percaya Ada Perhimpunan Bakar Bible: Polis


Polis Pulau Pinang menggesa orang ramai jangan mempercayai khabar angin kononnya ada acara membakar Bible versi bahasa Melayu di Padang Bandaran Bagan Luar, Butterworth, Ahad ini. 

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata berikutan isu itu polis menerima laporan seorang paderi menemui risalah bertulis 'jom bakar...pesta bakar bible melayu demi masa depan cucu kita' yang diletak di dalam peti surat di sebuah gereja 20 Januari lalu. 

"Kita minta jangan ada pihak yang percaya dan mensensasikan isu ini kerana ia boleh mengugat ketenteraman awam dan mengundang perpecahan masyarakat," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur dan peserta perhimpunan itu sekiranya benar-benar diadakan. 

Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebut perkataan berniat melukakan perasaan agama seseorang yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Mengenai isu pengedaran Bible kepada pelajar Islam di hadapan sebuah sekolah di Jelutong, Khamis lalu, Abdul Rahim berkata polis telahpun merekodkan keterangan 17 individu. 

"Kertas siasatan telah lengkap dan diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya. 
Beliau berkata siasatan polis mendapati kesemua Bible itu dicetak dalam bahasa Inggeris dan tidak mempunyai sebarang kalimah Allah. 

"Setakat ini polis menerima tujuh laporan mengenai isu itu, iaitu empat daripada pelajar dan selebihnya daripada orang awam," katanya. - BERNAMA

MMI turut tidak bersetuju dengan tindakan setengah pihak yang mahu membakar pula bible.Tindakan seperti ini sebenarnya tidak membantu kita malah pihak luar pula akan melabel Islam sebagai ganas , kejam dan lain-lain.

Bagaimanapun jalan terbaik adalah mendengar arahan pihak Polis supaya semua pihak dapat menikmati kemakmuran bersama.

Arios MMI...

No comments:

Post a Comment

Labels