APA yang hangat kini menjadi semakin panas. Sudah tegas dan jelas Karpal Singh tidak akan memohon maaf. “Tidak timbul soal meminta maaf, dan saya tidak akan melayan tuntutan pemimpin Pas,” kata Pengerusi DAP itu, seperti yang disiarkan media.
Terdahulu, Pas Kelantan mendesak veteran DAP yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu memohon maaf. Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata permohonan maaf itu perlu dibuat atas dasar Pas adalah ahli Pakatan Rakyat, rakan sekutu DAP dan PKR.
“Kalau dia buat-betul buat kenyataan seperti dilaporkan, memang patut minta maaf kerana yang pertama Pas dalam Pakatan Rakyat dan kedua, dia selalu menyentuh sensitiviti jadi memang patutlah (minta maaf),” katanya seperti disiarkan media.
Sebelum itu Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP), Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob memberi tempoh lima hari kepada Karpal supaya memohon maaf, jika tidak beliau akan membuat tindakan susulan termasuk memanjangkan perkara itu kepada Majlis Syura Ulama untuk tindakan selanjutnya.
Semuanya gara-gara kenyataan Karpal – untuk ke sekian kalinya – yang tidak disenangi oleh parti Islam itu. Antara kandungan kenyataan beliau 5 November itu ialah meminta dibatalkan pendaftaran mana-mana parti politik dan badan profesional berdasarkan kaum dan agama, kerana ini membahayakan negara.
Karpal menafikan kenyataan tersebut yang dibuat dalam bahasa Inggeris, sebaliknya menuduh sesetengah pemimpin Pas telah tersalah anggap sebab mereka tidak faham bahasa Inggeris.
Tetapi Raja Ahmad mendakwa mempunyai cakera padat (CD) rakaman penuh sidang akhbar selama 24 minit 47 saat yang jelas menyebut kenyataan kontroversi itu.
Beberapa pemimpin Pas turut tersinggung dengan kenyataan Karpal yang juga peguam tersohor itu. Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz mahu DAP menjelaskan bahawa kenyataan Karpal adalah bersifat peribadi, bukan mewakili parti. Sehingga hari ini DAP tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Seorang lagi pemimpin Pas yang lantang dalam isu ini ialah Datuk Abu Bakar Chik. Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu menggunakan istilah ‘buat tahi’ untuk merujuk kepada kenyataan Karpal. Katanya seperti disiar media: “Memang Karpal buat tahi (cari pasal) dengan Pakatan, tapi insya-Allah, Pas akan basuh tahi (tangani masalah) dia. Kita tidak mabuk (terpedaya) dengan tahi dia.”
Seorang aktivis Pas, Riza Kamaruddin turut kesal dengan Karpal. Katanya ini bukan kali pertama kenyataan-kenyataan yang melukakan hati seluruh ahli parti dan umat Islam di Malaysia dibuat peguam veteran itu.
“Seluruh kepemimpinan Pas perlu memberi mesej jelas kepada ahli parti dan orang Melayu kerana selama ini rakyat melihat parti tersebut sering tunduk kepada DAP dan PKR,” kata beliau.
Sehari dua ini pasti ramai lagi pemimpin Pas akan mengeluarkan kenyataan menghentam veteran DAP itu, dan pihak-pihak tertentu akan menonjolkan isu ini untuk menggambarkan betapa ada keretakan dalam PR. Cerita seperti ini akan mendapat liputan meluas, sekali gus melariskan jualan akhbar.
Apa pun tempoh lima hari sudah tamat. Para pemimpin Pas telah dengan berkobar-kobar meluahkan rasa tidak puas hati dan mahu tindakan tegas dilakukan. Tahi yang dibawa oleh YB Bukit Gelugor sudah semakin berbau, siapa yang hendak mencucinya. Sementara Karpal telah dengan tegas menyatakan beliau tidak akan meminta maaf, tidak akan tunduk sedikit pun.
Umum, khasnya orang Melayu @ Islam, kini menunggu dan melihat sejauh mana Pas akan berani bertindak ke atas DAP amnya, dan Karpal Singh khasnya. Sekiranya melihat pada kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Pas, nampak sangat parti Islam itu sudah tidak sebulu dengan DAP.
Setiap kali ada kontroversi yang dibangkitkan DAP, orang Pas menjadi panas, seperti hendak menyingsing lengan dan mahu bertalak tiga dengan DAP. Tetapi akhirnya nampak Pas yang banyak mengalah.
Mungkin, seperti yang disebut Karpal, sesetengah pemimpin Pas tidak faham bahasa Inggeris.
Tetapi, mereka tahu kata-kata mat salih: “If you cannot forget, you forgive. If you cannot forgive, you forget.” Setakat ini parti Islam itu lebih banyak ‘forgive’.sumber
psst nak tunggu tengok apa puak PAS nak buat !!
MMI
No comments:
Post a Comment