Saya masih ingat lagi ketika menjadi pelajar suatu masa dahulu, malah sehingga kini, untuk memasuki kawasan parlimen, dikenakan syarat-syarat yang begitu ketat. Jika lelaki, pakaiannya adalah lounge suit dan bertali leher, baju kemeja lengan panjang dan bertali leher, baju batik lengan panjang, baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok, seluar panjang berwarna gelap (slack) dana berkasut kulit.
Manakala, untuk wanita pula, berbaju kurung atau kebaya labuh/blouse berlengan panjang, skirt panjang di bawah paras lutut, bersari dengan blouse berlengan dan pakaian kebangsaan kaum-kaum lain, seluar panjang (slack), atau lain-lain pakaian yang kemas dan sopan serta berkasut.
Pakaian yang tidak dibenarkan adalah, baju tanpa lengan, jaket, seluar jeans, pakaian ketat dan menjolok mata, berselipar/kasut sukan, berbaju berkolar bulat dan baju T.
Pada ketika itu, sesiapa sahaja yang mahu memasuki kawasan parlimen, pemeriksaan dilakukan dengan ketat. Kami akan ‘dihalau’ balik jika tidak berpakaian dengan elok.
Kini tidak lagi. Sejak BN tidak mendapat dua pertiga majoriti, etika pakaian sudah tidak dititikberatkan. Parlimen sudah menjadi pasar. Tidak mustahil nanti ada yang datang dengan berseluar pendek atau mungkin tidak berseluar.
Peraturan sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Pergilah ke mana-manapun, boleh dikatakan semua parlimen negara di dunia ini, ada etika berpakaian tersendiri mengikut cara dan budaya masing-masing. Tradisi ini adalah sebagai salah satu cara menghormati kedudukan parlimen yang mulia.
Tiba-tiba kita dikejutkan dengan pakaian seorang ahli parlimen yang perasan dirinya cantik dan menarik perhatian, berpakaian seperti nyonya pasar. Malangnya, speaker dewan tidak mengindahan teguran ahli parlimen terhadap wanita tersebut.
Malah wanita malang tersebut turut mengadakan posing bagi menunjukkan betapa cantiknya dengan baju berwarna-warni. Naik muntah saya. Ingatan saya kepada speaker, jika etika pakaian tidak penting, lain kali tidak perlulah speaker memakai pakaian dewan yang ditetapkan. Pakai sahaja topi dan pakaian koboi.
Peraturan tetap peraturan, tidak kira hari apa sekalipun. Apatah lagi ketika hari terakhir dewan bersidang. Kemuliaan dewan mesti dijaga. Hatta dalam majlis perkahwinan sekalipun ada kod etikanya.
Begitu juga etika berpakaian ke pejabat kerajaan dan swasta. Kita tidak boleh berpakaian sewenang-wenangnya, termasuk pelanggan. Jika ada yang tidak tahu etika berpakaian, kita perlu ajar, agar mereka tidak jadi kurang ajar.
Adik saya, seorang peguam mengatakan, di mahkamah, sekiranya seseorang peguam dan anak guamnya tidak berpakaian mengikut etika, peguam tersebut akan dihalau oleh hakim. Ini bermakna, etika berpakaian adalah suatu perkara yang besar walaupun pada kita mungkin perkara kecil.
Apa jua alasan yang diberikan harus mencerminkan daya keintelektualan ahli parlimen. Tidak semestinya memakai pakaian putih hitam itu menandakan kesedihan dan kematian. Jika begitu keadaan di mahkamah, hakim dan peguam, semua berpakaian sedemikian, bermakna menunggu masa untuk mati.
Sebagai seorang pelajar jurusan sains politik, ingin saya memberikan sedikit nasihat kepada sidang ahli parlimen yang mulia.
Pertama, parlimen adalah institusi tertinggi negara dan berdaulat. Rakyat sedang melihat kamu semua di parlimen. Jagalah akhlak dan tingkah laku. Mana perlu bertegas, kita kena bertegas, tidak kira masa dan tempat. Tidak kira kumpulan dan fahaman politik mana. Sikap berlembut kita tidak akan menjadikan mereka hormat atau menyokong kita. Mereka semua hari ini sengaja mahu mencabar kita. Mereka mahu lihat, sejauh mana kuatnya kita.
Kedua, di negara barat, walaupun mereka bukan Islam, peraturan tetap peraturan, tidak ada kompromi. Sebab itulah mereka dihormati. Bukan macam kita, bila dah terkena, baru terhegeh-hegeh nak bertegas seperti pemeriksaan imigresen hasil insiden kehilangan MH370. Belajarlah dari Singapura, walaupun saya meluat menggunakan contoh negara ini. Tetapi ketegasan mereka telah menyebabkan mereka merasai kemanisan hari ini. Kita pula, terbalik. Tegas tidak kena tempat, lembut tidak kena masa.
Ketiga, kaduk sudah naik junjung. Kepala kita sudahpun dipijak. Masihkah tidak sedar? Boleh dikatakan apa jua perkara berkaitan dengan Islam akan ditentang dan dicabar. Apakah kita masih tidak sedar atau sengaja memejamkan mata? Nasihat saya, jangan jadi pemimpin jika tidak berani bertegas.
Saban hari membaca berita, sudah naik muak. Kita asyik mengalah. Banyak keputusan mahkamah tidak menyebelahi Islam. Ini tidak termasuk pesta berhibur dan minum arak sehingga ada yang mati sia-sia. Apakah kita sudah tidak mengenal dosa dan pahala? Syurga dan neraka?
Jika kita tidak menyelamatkan agama Islam dan umatnya, nak harapkan siapa lagi? Semuanya bermula dengan ketegasan kita di parlimen. Justeru, jangan biarkan parlimen dinodai. Jika ada yang tidak mahu mengikut peraturan dan mencabar parlimen, tunggu apa lagi, ajar secukupnya. Jika tidak, mereka akan menjadi kurang ajar.Ridhuan Tee Abdullah
Catatan dan teguran yang MMI rasa wajar dan perlu di berikan perhatian khususnya oleh para pimpinan.
MMI
No comments:
Post a Comment