Followers

Wednesday 16 July 2014

AZIZUL Selamat Tiba Di KLIA


SEPANG 15 Julai - Kepulangan Azizul Raheem Awalludin ke pangkuan keluarga hari ini merupakan hadiah paling bermakna buat hari lahir ibunya, Rahimah Abdul Ghani, yang juga hari ini.

Azizul Raheem yang memakai kemeja-T putih diiringi para pegawai dari Tourism Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira pukul 6.30 petang menaiki pesawat Malaysia Airlines, MH0001 dari London.

Menurut Azizul, beliau bersyukur kerana dapat pulang ke Malaysia selepas dipenjarakan di Sweden selama tiga bulan dan memohon kepada semua rakyat Malaysia untuk mendoakan isterinya dapat dibebaskan pada tempoh yang ditetapkan. 

"Semua dah berakhir setakat ni. Alhamdulillah. Saya pun dah dibebaskan dan sekarang tumpuan saya hanya kepada keluarga pula," katanya kepada pemberita selepas tiba dari London di KLIA di sini hari ini. 

Azizul Raheem dan isterinya, Shalwati Nor Shal dipenjarakan di Sweden atas kesalahan mengasari serta mencabuli integriti anak-anak mereka mengikut undang-undang negara itu.

Perasaan sayu dan gembira selepas ketibaan Azizul Raheem turut disambut oleh ibunya dan juga bapanya, Awalludin Salleh bersama-sama empat orang anaknya, Aisyah, 15; Ammar, 12; Adam, 11, dan Ariff, 8; yang sebelum ini menetap bersama ibu saudara mereka di Wakaf Tok Wali, Melor, Kelantan.

Azizul Raheem kelihatan sebak sebaik sahaja dipeluk oleh anak-anaknya yang menunggu hampir dua jam ketibaan beliau di KLIA.

Mengulas lanjut Azizul Raheem berkata, sehingga kini isterinya sihat walaupun agak stres dan tidak sabar untuk dibebaskan dari penjara pada 29 September nanti.

"Saya bersyukur dilepaskan masa bulan Ramadan ini dan tidak sabar ingin berbuka puasa dengan anak-anak.

"Mungkin saya akan terus berada di Kuala Lumpur bersama anak-anak dan belum lagi membuat sebarang perancangan untuk berhari raya Aidilfitri di mana-mana.

"Apa yang boleh saya katakan, saya kini selamat tiba di Malaysia," katanya.


Mengulas mengenai penahanannya di Sweden, Azizul Raheem berkata: "Tak apalah. Apa yang berlaku kita jadikan pengajaran. Tapi apa yang boleh saya katakan ialah jika saya diadili di Malaysia, keputusan akan berpihak kepada diri saya."

Beliau turut berkata, warden-warden penjara di Sweden bersikap profesional dan memberikan layanan yang baik kepada beliau.

"Saya hanya memakan sayur sahaja kerana Sweden tidak menyediakan makanan halal namun alhamdulillah, saya sihat," katanya.

Azizul Raheem turut menasihati rakan-rakan yang bertugas di negara lain agar dapat memahami dengan baik undang-undang negara terbabit sebelum melakukan apa-apa perkara.

Ditanya sama ada beliau bersedia dihantar ke negara lain untuk tugasan, Azizul Raheem berkata, beliau bersedia, namun tidak perlulah ke Sweden lagi. - sumber utusan online

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels