Followers

Sunday 26 July 2015

KONTROVERSI Tentang Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) The Answer !

Nampaknya isu tentang TPPA kembali menghangatkan suasana dan MMI antara yang menerima teks dan artikel yang dihebahkan melalui aplikasi whatsapp dan yang seangkatan dengannya.

Pelbagai versi dihebahkan dengan bermacam-macam cerita termasuklah Malaysia bakal hilang kedaulatannya.

Persoalannya apakah benar tiap tuduhan dan kenyataan tersebut ?

Apakah mereka-mereka yang hari ini dipertanggungjawabkan untuk meneliti dan berusaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya begitu naif dan bodoh untuk memperjudikan nasib negara semata-mata kerana TPPA ?

Lebih menarik sejauh mana rakyat dan warga kita benar-benar ambil tahu tentang TPPA ?

Seperti semua sedia maklum , Malaysia sedang mengadakan rundingan berkenaan inisiatif perjanjian perdagangan bebas melibatkan 12 buah negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam yang dikenali sebagai TPPA.

Proses yang telah berjalan selama hampir 5 tahun itu kini sudah berada di peringkat akhir dan diberitakan pegawai daripada 12 negara yang terbabit dalam perbincangan tersebut kini berhimpun di Hawaii sejak 24 Julai bagi sesi rundingan terakhir selama empat hari, diikuti mesyuarat peringkat menteri dari 28 hingga 31 Julai ini.

Belum ada sebarang keputusan dibuat oleh Malaysia berhubung dengan TPPA setakat ini dan rundingan diberitakan masih berjalan.Malahan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini berkata "Ia masih dalam proses rundingan. Keputusan mengenai penyertaan negara dalam cadangan perjanjian perdagangan bebas serantau itu akan ditentukan Parlimen.

"Kami akan menunggu analisis manfaat kos mengenai TPPA, yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa minggu lagi. Kami kemudiannya akan menyerahkan kepada Parlimen untuk menentukan penyertaan negara dalam perjanjian itu," katanya.

Walaupun rundingan masih berjalan , pihak-pihak tertentu mula menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak tepat berkenaan dengan usaha yang telah Malaysia lakukan dalam rundingan TPPA dan pada dasarnya kebanyakkan maklumat yang disebarkan itu merujuk kepada analisa pihak-pihak tertentu yang jelas mengelirukan.

Dalam pada itu tuduhan kononnya kerajaan Malaysia terlalu berahsia tentang rundingan TPPA sebenarnya adalah satu tuduhan liar memandangkan ianya telah dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan seterusnya memberikan peluang kepada semua pihak untuk sama-sama terlibat.

Malahan kerajaan begitu komited dalam hal melibatkan TPPA ini kerana satu keputusan yang terbaik perlu dibuat bagi memastikan kebaikan semua pihak.Kita juga harus melihat dalam konteks yang lebih besar dengan meletakkan kepercayaan kepada mereka yang diamanahkan untuk memperhalusi perkara-perkara berbangkit berkaitan TPPA seperti mana yang sudah dan sedang dilakukan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Malaysia adalah sebuah negara membangun dan Amerika Syarikat sememangnya kuasa kuasa ekonomi dan politik yang besar, namun tidak bererti negara ini harus ada inferiority complex ( perasaan rendah diri melampau) dalam menentukan bagaimana Malaysia hendak memainkan peranan di arena antarabangsa.seterusnya 

Ringkasnya banyak kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak tertentu akibat daripada penyebaran maklumat yang tidak tepat tentang TPPA dan kerana itu 11 perkara di bawah dirasakan boleh memberikan sedikit pencerahan kepada kita khususnya hal berkaitan maruah negara dan hak bumiputera.

1)TPPA tidak akan menyebabkan kehilangan layanan istimewa Bumiputra.  

Dalam tawaran perolehan kerajaan (pembinaan), Malaysia telah mengecualikan semua jenis projek yang kini dikhususkan hanya untuk  syarikat Bumiputra. Di samping itu, bagi kerja-kerja pembinaan yang dibuka untuk TPP, sebahagian daripadanya dikhususkan untuk pembina Bumiputra sahaja. Dengan adanya syarat yang jelas dalam tawaran Malaysia yang diterima oleh semua ahli TPP, pelabur asing tidak boleh membawa Kerajaan Malaysia ke tribunal antarabangsa. Kerajaan amat prihatin terhadap agenda Bumiputra dan telah memastikan bahawa tidak ada komitmen dalam TPP yang menjejaskan keistimewaan Bumiputra yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

2) TPPA tidak akan mengakibatkan lambakan bekalan beras Amerika Syarikat.

Walaupun duti import beras adalah ditetapkan pada kadar 40%, pada hakikatnya import beras ke Malaysia dari mana-mana negara pada masa ini tidak dikenakan apa-apa cukai. Harga runcit beras dari Amerika Syarikat yang tidak dikenakan duti import pada hari ini , adalah lebih kurang RM 9-12 sekilo, berbanding dengan RM 3-4 sekilo beras tempatan. Tambahan pula, hak mengimport beras ke negara ini hanya diberi kepada Bernas. Pada tahun 2013, import beras dari Amerika Syarikat hanya 0.23% daripada keseluruhan import manakala pada tahun 2014 jumlahnya adalah hanya 0.05%. Jelas sekali beras Amerika Syarikat tidak akan menjadi ancaman kepada beras tempatan akibat TPP.

3) TPPA tidak menjejaskan penguatkuasaan sijil halal manakala TPPA menegakkan tuntutan negara seperti Malaysia dan Brunei. 

Adalah tidak benar piawaian Halal dikira sebagai “penghalang bukan cukai” dan JAKIM tiada kuasa untuk memantau daging yang diproses di Amerika Syarikat atau mana-mana negara TPP yang lain. Ahli-ahli TPP lain telah menerima usul Malaysia bahawa semua peraturan serta amalan yang diwajibkan untuk persijilan Halal adalah bukan rintangan perdagangan. Oleh yang demikian, Halal telah dikecualikan dalam menentukan peraturan-peraturan makanan di dalam TPP.

4) TPPA TIDAK menggadaikan kedaulatan negara.

TPPA mempromosikan pematuhan piawaian antarabangsa dan memastikan perdagangan ataupun aktiviti komersial tidak menjejaskan kemapanan alam sekitar , kesihatan rakyat atau keselamatan negara. Malaysia telah menandatangani 74 Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGAs) sejak 1959. Dalam kebanyakan perjanjian tersebut, terdapatnya juga elemen yang seumpama di mana kerajaan boleh disamankan oleh entiti swasta seperti pelabur asing. Pelbagai langkah awal yang wajib perlu diambil sebelum sesuatu tindakan timbang tara antarabangsa boleh diambil ke atas kerajaan. Maka, tindakan untuk menyaman kerajaan tidak semudah mana yang disangka.

Malaysia juga merundingkan secara teliti supaya memastikan masih wujud ruang tadbir yang mencukupi bagi Kerajaan memperkenalkan peraturan demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Banyak syarikat Malaysia kini melabur di luar negara dan memerlukan perlindungan terhadap tindakan yang kurang munasabah dan mengeksploitasikan hak pelaburan mereka.

5) TPPA TIDAK menghakiskan bidang kuasa pentadbiran Kerajaan Negeri dalam soal pentadbiran tanah, hartanah mahupun tanah rizab Melayu.

Pelabur asing mahupun bakal pelabur TPP hanya boleh melakukan jual beli tanah dan hartanah bawah parameter dan kawalan undang-undang negeri yang berkenaan.

6) TPPA tidak mengekang ruang dasar pentadbiran dan penapisan filem antarabangsa.

Dakwaan yang menyatakan ‘halangan bukan tarif’ (NTBs) bawah TPPA bakal menyekat kebebasan Lembaga Penapisan Filem Negara untuk menapis filem adalah TIDAK BERASAS.

7) Harga ubatan ditentukan banyak faktor dan tidak hanya bergantung pada faktor paten. 

Unsur-unsur penyelidikan, pemasaran dan cara perolehan juga memainkan peranan penting.

TPPA mempromosikan inovasi dan perlindungan hak harta intelek.  Namun begitu, ini  tidak bererti perlindungan hak harta intelek akan mengambil prioriti atas keupayaan rakyat untuk menanggung harga ubat yang berpatutan apabila TPPA dilaksanakan. Apa yang penting ialah untuk mencapai satu keseimbangan di antara perlindungan inovasi dan harga ubatan yang berkemampuan untuk rakyat jelata.

8) TPPA tidak ‘mengimport’ buruh asing.

Maka, tidak timbulnya isu warga tempatan dikehendaki bersaing secara ‘sama rata’ dengan buruh asing. Malah Bab Buruh dalam TPPA mempromosikan kebajikan buruh, termasuk gaji minimum yang Malaysia telah laksanakan. Kemasukan buruh mahupun profesional dan expatriat masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan domestik yang berkuatkuasa.

9) Malaysia tidak terlepas daripada kebergantungan perdagangan luar sama ada dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat ataupun China di sebelah Asia.

Walaupun tanpa TPPA, hubungan perdagangan dengan kedua-dua kuasa besar tetap dijalinkan secara rapat di masa sekarang dan apa yang penting ialah TPPA ataupun FTA membentuk platform supaya peraturan dan regim perdagangan menjadi lebih predictable, dan terjamin atas terma yang dipersetujui. Adalah tidak benar bahawa hanya terdapat 6 Bab berkaitan langsung dengan isu perdagangan dalam TPPA. TPPA mengandungi bab-bab yang terdapat dalam FTA tradisional seperti barangan, kastam, technical barriers to trade, peraturan tempasal, trade remedies, sanitori dan fitosanitori, perkhidmatan, pelaburan, dispute settlement, bab-bab perundangan dan isu-isu perdagangan baru seperti e-commerce, perolehan kerajaan, alam sekitar dan buruh. Kebanyakan isu-isu in sudah pun terkandung dalam perjanjian WTO.

10) Isu liberalisasi pasaran tidak berlaku hanya dengan TPPA.

Pasaran Malaysia telah pun terbuka sejak Malaysia terlibat dalam ASEAN Free Trade Area pada 1990an. Begitu juga dengan penglibatan Malaysia dalam ASEAN+1 FTA dengan negara seperti China, India, Australia, New Zealand, Jepun, dan Korea. Perlu ditekankan bahawa pelbagai sektor terpilih telah pun terbuka sebelum kedatangan TPPA untuk tujuan penjanaan ekonomi negara. Namun begitu, ia masih tertakluk kepada garis panduan yang meletakkan syarat seperti penyertaan bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana. TPPA mempromosikan pembinaan kapasiti serta pembentukan jaringan IKS di kalangan TPP. IKS tempatan dan bumiputera boleh mengambil kesempatan yang disediakan TPPA untuk peningkatan kapasiti dan jaringan perniagaan yang lebih besar.

11) TPPA merupakan satu usaha negara.

MITI selaku Ketua Perunding diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan pasukan rundingan yang terdiri daripada pelbagai Kementerian dan Agensi untuk merunding mengikut bidang kompetensi dan tanggungjawab masing-masing.  Pasukan rundingan berunding berdasarkan mandat yang diberi oleh Jemaah Menteri. Kedaulatan negara tidak terletak pada satu ataupun dua individu tetapi di tangan seluruh rakyat Malaysia kerana Kerajaan telah memberi jaminan bahawa teks rundingan bersama-sama hasil kajian TPP akan dibentangkan di Parlimen buat julung kalinya. Ahli-Ahli Parlimen mewakili rakyat seluruh Malaysia akan meneliti, membahaskan dan membuat keputusan untuk Malaysia.

Sungguhpun teks rundingan disifatkan sebagai rahsia, namun ia tidak menghentikan hasrat kerajaan Malaysia untuk membincangkan isu-isu berkongsi pendirian dan berkonsultasi dengan rakyat secara teliti. Konsultasi diadakan dengan Kaukus Parlimen bipartisan, Cleared Advisors yang terdiri daripada pakar ekonomi, ahli akademik, wakil industri dan NGO, serta lebih daripada 100 sesi perbincangan dengan pihak yang berkepentingan untuk menerangkan perkembangan rundingan dan memperolehi maklumbalas dari masa ke semasa.  

Sesuatu yang pasti kerajaan sudah begitu transparent dalam hal melibatkan TPPA dengan pelbagai pihak dilibatkan dan semestinya keutamaan difokuskan kepada negara.Apa jua keputusan pun kita mengharapkan yang terbaik agar semua pihak mendapat manfaatnya.

MMI

2 comments:

  1. Fuck you la blogger bangang!!

    ReplyDelete
  2. kak kah kah...teringat kat mat maslan menteri gst..semua harga barang turun dan menjadi murah bila gst dilaksanakan..la ni..budak baru menetas pun dah kena cukai lampin...

    ReplyDelete

Labels