Followers

Monday 6 July 2015

UMNO Komited Perkasakan PARTI


Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO merupakan antara parti politik yang paling awal muncul menjadi pembela kepada rakyat Malaysia.Jika melihat kepada sejarah perkembangan politiknya , UMNO telah melalui pelbagai rintangan malahan cabaran yang cukup hebat sehinggalah ia berjaya menjadi tempat berpaut orang-orang Melayu seterusnya kaum-kaum lain dalam Barisan Nasional.

Jika dulu kita bermula dengan semangat orang-orang kampung , kini parti UMNO sudah berada dalam dunia serba moden yang begitu pantas malah perkembangan teknologinya mampu membuatkan kita ketinggalan sekiranya kita gagal untuk menguasainya.

Secara ringkasnya , UMNO sudah melalui beberapa zaman dan kini sedang berada dalam zaman serba moden manakala persaingan politik dan kedudukan politik tidak lagi seperti dulu.Ianya bukan sahaja pantas tetapi mampu memusnahkan reputasi pimpinan dan kerajaan memandangkan permainan persepsi dan tuduhan berupa fitnah kini menjadi trend kepada sebahagian besar rakyat Malaysia sendiri.

Dengan segala maklumat hanya di hujung jari dan penggunaan aplikasi internet yang muncul bagai cendawan , segala maklumat kini bergerak dengan begitu pantas termasuklah maklumat-maklumat yang tidak tepat.

Oleh yang demikian , UMNO sebagai parti teras kepada Barisan Nasional dan payung kepada orang-orang Melayu perlu sederap bergerak dan berubah agar ianya seiring dengan perubahan dan perkembagan yang berlaku.

Kerana itu UMNO bukan sahaja telah menjadi satu-satunya parti politik di Malaysia yang mengamalkan sistem pemilihan terbuka dengan melibatkan lebih ramai perwakilan di peringkat bahagian-bahagian tetapi juga muncul sebagai satu-satunya parti yang mahukan perubahan agar parti dan pucuk pimpinan yang dipilih itu benar-benar mendapat mandat daripada akar umbi.

Misalnya Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO yang dipengerusikan Dato' Seri Hishammuddin Hussein terus menyatakan komitmen dalam usaha berterusan untuk membantu memperkasakan parti dengan meneliti setiap maklum balas, cadangan penambahbaikan serta rintihan daripada akar umbi UMNO di seluruh negara khususnya yang berkait soal usul, perlembagaan dan pemilihan parti serta keahlian, sebelum membawanya ke peringkat Majlis Tertinggi.

Satu keputusan dan tindakan paling tepat untuk dilaksanakan memandangkan pemilihan mengikut proses baru sebelum ini juga pastinya mempunyai kelemahan dan ianya perlu diperbaiki agar hasrat UMNO untuk terus menjadi parti yang paling telus dan ikhlas benar-benar dirasai oleh akar umbi mahupun rakyat.

Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan medianya selepas mempengerusikan mesyuarat biro tersebut pada 2 Julai 2015 baru-baru ini turut menyatakan bahawa:-

Hari ini saya mempengerusikan Mesyuarat Biro Perlembagaan dan Perundangan UMNO bagi memperkemaskan gerak kerja Biro serta membincangkan isu-isu dan maklum balas daripada akar umbi UMNO berhubung bidang tugas Biro ini.

Dalam konteks ini, Biro sentiasa mengambil berat setiap maklum balas serta rintihan daripada akar umbi dan akan mengambil langkah penambahbaikan khususnya dalam soal pemilihan parti, kerana kita amat menyedari bahawa bidang tugas Biro ini menyentuh kepentingan setiap ahli UMNO.

Alhamdulillah, kita telah berjaya melalui pemilihan parti yang mengguna pakai sistem pemilihan baru pada 2013 yang lalu. Meskipun terdapat beberapa kekurangan, namun kita perlu akui bahawa ia telah berjaya membolehkan lebih ramai perwakilan memilih pemimpin parti, selain memastikan ia adalah keputusan yang tepat dalam mentransformasikan UMNO.

Sepertimana yang kita sedia maklum, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan jawatan dalam parti selama 18 bulan lagi mengikut Fasal 10.16 iaitu “ Majlis Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan”.

Selaku Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan, saya merasakan bahawa keputusan Majlis Tertinggi adalah amat bertepatan kerana semasa Biro mengadakan Taklimat ke negeri-negeri bermula awal tahun ini, Biro mendapat maklum balas daripada akar umbi yang mahukan pemilihan parti ditangguhkan selepas PRU 14 bagi memberi fokus kepada gerak kerja untuk PRU-14. Selain itu, ruang yang ada ini boleh dimanfatkan oleh Biro untuk melakukan penambahbaikan termasuk beberapa fasal dalam perlembagaan yang perlu dipinda bersesuaian dengan kehendak akar umbi.

Biro ini komited untuk terus melakukan penambahbaikan dan penggerak-penggerak Biro telah turun padang ke beberapa negeri untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan daripada pemimpin akar umbi dan kepimpinan negeri. Dalam sesi turun padang ini, penggerak Biro telah menjelaskan peranan serta fungsi Biro di samping mendapatkan maklum balas terhadap pindaan perlembagaan yang dibuat pada tahun 2009. Sukacita saya memaklumkan bahawa akar umbi UMNO amat peka kepada perkara-perkara yang melibatkan perlembagaan parti dan perundangan negara.

Hasil daripada program turun padang ini, serta rentetan daripada Persidangan Meja Bulat Usul yang diadakan sebelum ini, maka Biro telah memutuskan 4 premis utama yang perlu diberi tumpuan sebagai tindakan proaktif kepada rintihan akar umbi. 4 premis utama ini akan diketuai oleh setiap pemimpin akar umbi yang berkelayakan. Perincian 4 premis utama ini adalah seperti di bawah;

i) Usul Bahagian-Bahagian 

Penyelaras​: 

YB Dato’ Rosnah binti Abdul Rashid Shirlin  
​Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Setiausaha Biro Perlembagaan dan Perundangan

Maklum balas akar umbi​:
a. Memohon jawapan kepada usul yang telah dikemukakan dikembalikan kepada Bahagian-Bahagian yang terlibat sebelum Mesyuarat UMNO Bahagian yang bermula pada 27 Julai ini.
b. Memohon agar usul-usul yang telah dikemukakan dapat diambil perhatian serius sekali gus dilaksanakan oleh pihak kerajaaan.

ii) Pemilihan Parti

Penyelaras​: 

YB Mat Mat Nadzari bin Ahmad Dahlan
Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor
Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan Selangor

Maklum balas akar umbi​:
a. Memperkemaskan Jawatankuasa Pemilihan UMNO termasuk memberi latihan khas kepada petugas.
b. Memantapkan SOP pemilihan parti seterusnya dibukukan untuk dijadikan rujukan.
c. Penerangan awal mengenai prosedur dan tatacara pemilihan parti kepada semua Bahagian dan Cawangan sebelum pemilihan dilaksanakan
d. Isu Korum Cawangan, Pergerakan Pemuda dan Puteri.
e. Kriteria yang lebih munasabah bagi Jawatan Tertinggi Parti terutama jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

iii) Keahlian

Penyelaras​: 
YB Paduka Md Rozai bin Shafian
​Ketua UMNO Bahagian Pendang
Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan Kedah

Maklum balas akar umbi​:
a. Daftar keahlian Online perlu diperkemaskan kedudukannya.
b. Proses pemutihan keahlian UMNO yang perlu ditambahbaik.
c. Isu keahlian automatik Puteri UMNO yang perlu dibuat keputusan.
d. Perketatkan syarat-syarat penubuhan cawangan-cawangan baru.

iiii) Pengupayaan Perhubungan Negeri

Penyelaras​: 
YB Dato’ Seri Panglima Salleh Tun Said
Ketua UMNO Bahagian Kota Belud
Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundangan Sabah

Maklum balas akar umbi:
a. Perhubungan UMNO Negeri perlu diperkasa dan diberi hak upaya untuk memutuskan pertikaian dan isu berhubung keahlian dan pemutihan di Bahagian-Bahagian dalam negeri masing-masing.
b. Perhubungan UMNO Negeri juga perlu diberi kuasa untuk mengambil sebarang tindakan disiplin dan tatatertib kepada setiap ahli UMNO dalam negeri masing-masing.

Pada tahun ini semua maklum balas serta jawapan terhadap 638 Usul-Usul Bahagian telah pun dijawab oleh pihak Kementerian, Jabatan, Agensi dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Daripada 638 Usul tersebut, 547 Usul ditujukan kepada pihak Kementerian, Jabatan dan Agensi serta 91 usul ditujukan kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Sementara itu, 33 Usul daripada 547 Usul berkaitan Kementerian, Jabatan dan Agensi telah dikembalikan semula untuk mendapatkan jawapan yang lebih tepat. 

Ini merupakan buat kali pertama kita melakukan susulan untuk mendapatkan jawapan usul daripada kementerian-kementerian yang berkenaan.

Daripada usul-usul yang diutarakan, jelas sekali UMNO sejak dari penubuhannya sentiasa berjuang mengetengahkan isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat. Daripada usul-usul tersebut, kita kemudiannya mengupas dan menjadikan usul tersebut sebagai dasar dan polisi kerajaan. Itulah perjuangan UMNO dalam membela bangsa dan agamanya. Perjuangan yang diwarisi sejak dari penubuhan UMNO lagi.

YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Naib Presiden UMNO

No comments:

Post a Comment

Labels