Politik Pulau Pinang berubah sejak 2008 yang lalu apabila parti-parti pembangkang yang membentuk kerjasama dalam Pakatan Rakyat pada ketika itu berjaya memenangi majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri seterusnya membentuk kerajaan negeri.
Rata-rata masyarakat Malaysia pada ketika itu menganggap bahawa keputusan tersebut adalah Tsunami kaum cina yang menolak Barisan Nasional dan kehadiran Pakatan Rakyat bakal memberikan perubahan yang jauh lebih baik kepada Pulau Pinang dan seluruh warganya.
Lim Guan Eng kemudiannya ditabalkan sebagai Ketua Menteri dengan barisan campuran pimpinan daripada parti PKR , PAS dan DAP.Walaupun begitu rata-rata warga Pulau Pinang sebenarnya dapat melihat dengan jelas betapa barisan pentadbiran ini sebenarnya dimonopoli oleh parti DAP yang mempunyai bilangan kerusi terbesar di Pulau Pinang.
Soalnya apakah perubahan yang bakal berlaku di Pulau Pinang itu benar-benar berlaku dan perubahan bagaimanakah yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat berbanding di bawah Barisan Nasional ?
Belum pun sepenggal , kita sudah dihidangkan dengan pelbagai rungutan khususnya daripada masyarakat di kawasan kampung terdiri daripada kaum Melayu dan India yang kampung-kampung mereka bakal dikorbankan untuk pembangunan.
Walaupun ada perancangan untuk penempatan semula di beberapa kawasan , ianya hanya berlaku setelah beberapa pihak termasuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional tampil mewakili masyarakat kampung terlibat membuat bantahan terhadap perancangan kerajaan negeri yang dilihat sebagai kejam dan tidak mengambil kira kesusahan penduduk.
Tidak cukup dengan itu timbul pula isu membabitkan penjualan tanah secara besar-besaran oleh kerajaan negeri sehingga mewujudkan pembangunan yang tidak sekata.Pembangunan di Pulau Pinang selepas Pakatan Rakyat mentadbir hanya tertumpu kepada pembangunan mewah yang mencecah jutaan ringgit dan ianya jelas menafikan golongan bawahan dan pertengahan untuk sekurang-kurangnya memiliki rumah sendiri.
Perumahan mampu milik yang gagal ditangani dengan berhemah oleh kerajaan negeri masih lagi menjadi isu utama dan sehingga kini isu tersebut masih lagi kekal menjadi misteri.
Kesan daripada pengurusan sebegini akhirnya kita sudah dapat melihat kawasan-kawasan bukit sudah mula diratakan dan ianya sudah pasti akan mengundang kejadiaan banjir lumpur.
Yang lebih menghairankan adalah kerajaan negeri dilihat bersikap sambil lewa dalam semua rungutan-rungutan yang dibuat sebaliknya begitu bernafsu meneruskan projek-projek mega termasuklah dalam isu penambakan laut yang bukan sahaja mampu menjejaskan ekosistem hidupan marin tetapi juga mewujudkan pencemaran dan meragut peluang para nelayan pantai untuk mencari rezeki.
Dasar pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat ternyata terus diresapi oleh ideologi politik pembangkang sehingga berlakunya penguakuasaan oleh Majlis Perbandaran yang dipertikaikan banyak pihak.
Tindakan berat sebelah terhadap para penjaja dan peniaga yang majoritinya berbangsa Melayu dilihat sebagai usaha oleh pihak-pihak berkepentingan politik seolah-olah wujud gerakan untuk memberikan tekanan terhadap satu-satu kaum dengan kaum yang lain dibiarkan tanpa tindakan seagresif tindakan terhadap kaum Melayu.
Pengenalan pelbagai caj dan cukai yang dikenakan kemudiannya oleh kerajaan negeri terhadap rakyat jelas memperlihatkan kerakusan kerajaan negeri contohnya dalam isu surcaj air , cukai katil , caj meletak kenderaan dan lain-lain yang sudah pun menimbulkan keresahan rakyat.
Selain daripada itu warga Pulau Pinang juga sudah pun menjadi mangsa keadaan apabila permasalahan banjir kilat yang sering melanda apabila berlakunya hujan lebat masih lagi gagal ditangani dengan baik.Malah wakil kerajaan negeri pula membayangkan semua pelaksanaan projek bagi menyelesaikan masalah berbangkit hanya boleh diselesaikan dalam tempoh 3 tahun dari sekarang.
Sekaligus bermaksud warga Pulau Pinang perlu terus berdepan dengan banjir kilat sehingga tahun 2019 yang sudah pasti mengundang kerisauan dan tekanan hidup.
Tidak cukup dengan itu sokongan jitu terhadap tuntutan pihak gereja dalam isu kalimah Allah oleh pimpinan parti DAP yang sebahagian besarnya kini menaungi kerajaan negeri juga dilihat sebagai mencampuri urusan orang Melayu dan Islam.
Itu belum lagi melibatkan dasar kerajaan negeri yang mencampuri urusan Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dalam isu pewartaan fatwa.
Persoalannya apakah yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat yang kononnya dianggap lebih baik daripada kerajaan negeri sebelumnya di bawah Barisan Nasional ?
Menariknya Ketua Menteri Pulau Pinang , Lim Guan Eng sudah pun mencatatkan namanya dalam sejarah politik di Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri pertama yang menghadapi pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah dalam isu pembelian banglo di Jalan Pirnhorn.
Malah selaku Ketua Menteri , Lim Guan Eng tidak menjadikan amalan CAT sebagai keutamaan kerana sehingga ke hari ini beliau masih lagi memegang jawatan Ketua Menteri walaupun berdepan pertuduhan kes yang cukup serius di mahkamah.
Tidak cukup dengan itu kerajaan negeri Pulau Pinang kini turut berdepan dengan skandal cadangan pembinaan terowong dengan pelbagai kenyataan meragukan termasuklah penipuan berkenaan urusan dengan agensi kerajaan di peringkat kerajaan persekutuan.
Selain dari itu isu pembayaran kos cadangan yang meragukan bukan sahaja telah membangkitkan banyak persoalan tetapi sudah sampai ke tahap merisaukan warga Pulau Pinang kerana ia membabitkan sejumlah besar wang rakyat yang mungkin lesap begitu sahaja.
Malah kita semakin bimbang apabila kerajaan negeri kini sudah pun membuat keputusan untuk membuat pinjaman kewangan dari sebuah bank dari negara China kononnya untuk menampung projek yang punya kepentingan rakyat.
Mengambil kira semua diatas maka dapatlah disimpulkan bahawa kehadiran parti-parti pembangkang yang membentuk gabungan Pakatan Rakyat sebelumnya gagal menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan negeri Pulau Pinang itu sendiri.
Tidak ada sebarang pembangunan yang dilihat mampu menyumbang kepada kebaikan seluruh warganya melainkan untuk kebaikan kumpulan-kumpulan tertentu sahaja.
Sikap pimpinan parti-parti dalam gabungan pembangkang ini yang lebih banyak berpolitik akhirnya telah menjadi satu bebanan kepada rakyat yang sehingga ke hari ini masih lagi menagih perubahan yang kononnya akan berlaku jauh lebih hebat dari era Barisan Nasional.
Tidak ada mana-mana pemimpin pembangkang khususnya daripada parti PKR yang berani untuk bersuara atau menegur Ketua Menteri dan barisan pentadbirnya selepas DAP membuat keputusan untuk menyingkirkan PAS dari Pakatan Rakyat walaupun apa yang sedang mereka lakukan selepas itu dan hari ini jelas menyimpang daripada apa yang mereka sendiri laungkan dalam Pakatan Harapan.
Tidak wujud sama sekali amalan urus tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang mereka war-warkan.
Kenapa semua ini berlaku ?
Sebagai warga Pulau Pinang kita perlu menerima hakikat bahawa kegagalan kerajaan negeri mengurus dan mentadbir negeri sebagai bukti bahawa kerajaan sedia ada bukanlah dicatur oleh sekumpulan pimpinan dari parti-parti yang bergabung.
Kedudukan Ketua Menteri yang langsung tidak boleh dipersoalkan itu sebenarnya sudah menjawab persoalan berbangkit dan penguasaan parti DAP terhadap Pakatan Harapan itu sendiri sebenarnya sudah pun mengesahkan kepada kita DAP lah yang mentadbir Pulau Pinang dan mereka-mereka yang bersama itu adalah sekadar pak turut yang langsung tidak menyumbang kepada rakyat khususnya orang-orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang dan Malaysia amnya. sumber Penang Online
No comments:
Post a Comment