Followers

Thursday, 14 June 2018

Belajar Daripada Tamadun Yang Hilang


Apakah orang kita sedar bahawa Melayu sudah menjadi sebahagian daripada sejarah dunia ?

Adakah orang kita sedar cerita pahlawan agung Hang Tuah 5 bersaudara itu adalah satu peringatan ?

Atau orang kita sudah lupa asal usul sendiri ?

MMI sedar bahawa besok adalah Hari Raya Aidilfitri dan seluruh umat Melayu dan Islam akan menyambutnya cuma dalam berehat menanti masuknya waktu berbuka puasa yang terakhir pada tahun ini, timbul persoalan apakah Melayu UMNO yang mengaku Melayu pada hari ini sedar bahawa kita sedang berada di persimpangan jatuh matinya tamadun Melayu yang kita bina selama lebih daripada 60 tahun dahulu ?

Untuk itu MMI kongsikan satu garapan yang ditulis oleh Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) yang disiarkan oleh utusan online pada tarikh 21 Jun 2016 yang lalu.

TERDAPAT banyak tamadun dunia yang hilang akibat perpecahan bangsa itu sendiri. Malah tamadun Andalusia yang hebat dan menjadi mercu tanda ilmu dan pengajian Islam juga hancur kerana perpecahan dan pelbagai sebab lain yang bukan lagi rahsia dalam kalangan kita.

Baru-baru ini penulis diingatkan oleh seorang kenalan yang menziarahi kesan tamadun Andalusia yang hilang dan bagaimana akhirnya masjid bertukar menjadi gereja dan umat Islam menjadi marhaen di bumi yang asalnya berdiri satu keagungan ilmuwan yang hebat dan ditiru oleh Timur dan Barat.

Namun yang lebih dekat de­ngan kita adalah bagaimana Patani yang hilang kehebatannya yang berteraskan dunia Melayu dan satu ketika antara tamadun hebat di Nusantara.

Baru-baru ini juga berlangsung Simposium Karya Patani anjuran Bahagian Kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) yang membuka mata penulis terhadap pentingnya masyarakat melihat kepada karya sastera sebagai cerminan masa lalu dan masa hadapan masyarakat.

Tatkala karya sastera agak terpinggir dalam arus kepesatan Sains dan Teknologi, namun ada eloknya masyarakat melihatnya semula sebagai cerminan masa hadapan dalam melihat nasib bangsa yang asalnya berdaulat dan merdeka yang akhirnya tenggelam tamadun dan kehebatan termasuk dalam kalangan ulama yang menjadi teras kepada pembinaan tamadun di negara-negara rantau ini.

Profesor Kesusasteraan USM, Dr. Sohaimi Abdul Aziz dalam kertas kerjanya, Puisi Memberi Dimensi Kemanusiaan Kepada Penulisan Sejarah: Kajian Terhadap Patani, Negeri Yang Hilang mi­salnya mengingatkan kita terhadap karya sastera yang berupaya untuk mencatatkan tentang apa yang berlaku pada masa lalu dan mampu juga membuat ramalan terhadap masa hadapan.

Sejarah mentafsir fakta dan kejadian yang benar-benar berlaku berdasarkan bukti sahih tetapi karya sastera secara kreatif menggunakannya untuk mengajak khalayak berfikir tentang segala kemungkinan masa hadapan.

Patani adalah contoh terbaik untuk dilihat bagaimana penulisan sastera mengajar kita untuk berhati-hati dan belajar daripada apa yang terjadi, dari sebuah tamadun besar sebagai kebanggaan satu bangsa, pusat pemba­ngunan Islam, bahasa dan budaya dengan pengaruhnya kuatnya di Nusantara berakhir dengan gelombang cabaran yang hilang hampir segalanya selain monumen sejarahnya yang tinggal sebagai bukti zaman kegemilangannya.

“Pada abad ke-16, Patani menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana faktor geografi­nya yang menjadikannya pusat perdagangan maritim antarabangsa manakala iklim politiknya yang aman serta sistem pentadbirannya yang cekap telah meyakinkan para pedagang antarabangsa untuk berurusan di situ. Syiar Islam yang mula bertapak sejak abad ke-14 menjadikan Patani pusat kegiatan perkembangan Islam di Asia Tenggara dan pusat pertumbuhan dan rujukan kebudayaan Melayu di Asia Tenggara,” kata Sohaimi.

Tambahnya, sejarah telah memberi fakta tentang kemerosotan dan kemusnahan apabila keadaan menjadi tidak menentu dan huru-hara dengan krisis pemerintahan Patani serta pergolakan politik yang tidak kesudahan sehingga ke hari ini.

Para penyair Patani merakamkan begitu banyak peristiwa kesedihan apabila tamadun hebat itu hilang misalnya dalam karya, Rintihan Seorang Pribumi oleh Ramlee Hamad Abdul Rahman yang memberi dimensi kemanusiaan Patani yang tersohor dan hebat itu:

Patani, di suatu sudut silam; bumi ini pelabuhan umat Nusantara; destinasi peniaga, ilmuwan, dan pelancong. Patani, kau lahirkan cendekiawan dan ulama ternama; guru, pendidik dan pengarang berwawasan, ilmu mereka bak lautan. Dalam membina insan gene­rasi kenal Tuhan; pengorbanan tidak pernah lumpuh walau betapa halangan dan cabaran. Antara liku zaman demi zaman; bakti mereka tetap sesuci bayu pagi; kekal menjadi memori generasi. (Di Bawah Langit. Rampai Sastera Melayu Baru Patani, 2013: 242).

Demikianlah kejatuhan Andalusia dan Patani yang begitu hampir dengan kita, perlu dipelajari dan difahami dengan sewajarnya dalam menjaga kedaulatan bangsa yang ada. Perpecahan dan pergaduhan sesama sendiri, perebutan kuasa dan sikap mementingkan diri pada akhirnya akan menjadikan sesuatu bangsa itu hancur dan musnah, seperti mana rakaman penyair dalam puisi, Aduhai Nasib karya Mazlan Muhamad, yang secara sinis menjelaskan keadaan Melayu Patani: Aduhai malang nasibmu - Melayu Patani; ada bahasa, dipandang rendah; ada pemimpin, asyik bertelagah; ada ulama, jumud dan lemah; ada ummah, hanya buih dan sampah (Di Bawah Langit. Rampai Sastera Melayu Baru Patani, 2013: 431).

Malah dalam puisi, Patani! Masih­kah Ingat, penyairnya, Phao­san Jehwae mengeluh panjang tentang bangsanya: Patani! Bangsa! Bahasaku! Oh! Tuhan Bangsaku sudah lupa dengan bangsanya Generasiku sudah tak kenal lagi negerinya; Bahasaku sudah pupus dari tanahku sendiri; Aku bertanya pada diriku, Masihkah kau mengenal dirimu dan apa bangsamu? (Mutiara Dari Selokan, 2010: 31).

Sohaimi turut memetik peri­ngatan oleh penyair Hareh Chedo dalam puisinya yang bertajuk, Suria Tetap Menyingsing seharusnya mampu mengingatkan kita terhadap nasib bangsa yang bertelagah yang tiada sudahnya: Selagi umarak bertelagah selagi ulama masih berpecah; selagi warga tidak bermaruah leka dan tawa akan selamanya, bumi segar hanya mainan siasah Serambi Makkah sekadar catatan sejarah (Di Bawah Langit. Rampai Sastera Melayu Baru Patani, 2013: 400).

Peringatan daripada karyawan dan ilmuwan dalam bidang apa jua pun perlu diambil iktibarnya. Perpecahan dan pertelagahan hanya akan menimbulkan pelbagai kebimbangan tentang kelangsungan nasib sesuatu bangsa.

Ramadan yang bakal menjengah kita beberapa hari lagi seharusnya membuka minda untuk menyatukan bangsa kera­na agama dan bangsa berpisah tiada dalam konteks negara kita. Adalah wajar untuk semua pihak membuat muhasabah dan melihat pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi jika perpecahan yang ada dibiarkan berterusan.

Kita boleh berlainan pendapat dan pandangan, boleh juga berbeza landasan dan ideologi mahu pun kepercayaan namun yang paling utama akhirnya ialah nasib bangsa yang akan diwariskan kepada generasi yang akan datang atau adakah tidak mustahil untuk mereka merintih erti kehilangan.

Sehebat mana pun sesuatu tamadun, secanggih mana pun teknologi dan ilmu yang dibangunkan, tidak akan bertahan jika sesuatu kelompok masyarakat itu berpecah belah dan tidak bersatu yang akan menjadikannya sama ada hilang dari peta sejarah atau pun hanya tinggal nama dan sejarah yang sukar untuk bangun semula.- utusan online

Ayat yang begitu menyentuh hati MMI ;

Patani, di suatu sudut silam; bumi ini pelabuhan umat Nusantara; destinasi peniaga, ilmuwan, dan pelancong. Patani, kau lahirkan cendekiawan dan ulama ternama; guru, pendidik dan pengarang berwawasan, ilmu mereka bak lautan. Dalam membina insan gene­rasi kenal Tuhan; pengorbanan tidak pernah lumpuh walau betapa halangan dan cabaran. Antara liku zaman demi zaman; bakti mereka tetap sesuci bayu pagi; kekal menjadi memori generasi. (Di Bawah Langit. Rampai Sastera Melayu Baru Patani, 2013: 242).

Bagaimana pula dengan kita ?

MMI

1 comment:

  1. Pengundi k pop tidak tahu angsung apa itu..
    KONTRAK SOSIAL TANAH MELAYU..

    ReplyDelete

Labels