Followers

Tuesday, 19 June 2018

Tanggungjawab Besar


Situasi yang sedang berlaku dalam parti UMNO pada hari ini bermula apabila keputusan PRU14 yang lalu memihak kepada Pakatan Harapan.

Sehingga ke hari ini rata-rata pengundi sudah pun menerima hakikat bahawa kerajaan persekutuan bukan lagi di bawah Barisan Nasional yang diterajui parti UMNO walaupun sudah ada dikalangan pengundi itu sendiri yang mula sedar bahawa ada kesilapan yang mereka lakukan.

Hakikatnya rakyat marhain sama ada suka atau tidak perlu menerima keputusan ini sebagai pilihan demokrasi dan bukannya berlaku hasil daripada pengundi hantu atau kebanjiran warga Bangladesh yang di 'import' masuk untuk tujuan tertentu seperti mana yang di omongkan sebelum ini.

Mungkin bagi sesetengah dari kita apa jua keputusan sekalipun, hidup mereka tidak terjejas malah kehadiran bibik mengemas dan memasak di rumah masih lagi seperti biasa dan urusan kerja mahupun urusan seharian masih berjalan seperti sebelumnya.

Tidak ada apa-apa yang berubah dan mungkin sebahagian lagi kini sedang menikmati cuti hari raya di luar negara.

Malah buffet ramadhan yang mencecah ratusan ringgit satu kepala masih lagi padat dengan manusia seolah-olah suara atau lolongan kononnya kos kehidupan rakyat begitu terjejas teruk sebelum ini adalah satu gurauan.

Mungkin akan ada yang kurang selesa dengan apa yang MMI tuliskan disini tetapi inilah realitinya dan rata-rata rakyat Malaysia yang berpendapatan di bawah RM4 ribu ringgit pasti berbeza pula caranya.

Apa pun jangan kita sesekali lupa mereka-mereka yang berada di kampung jauh lebih berbeza dan kepelbagaian pendapatan isi rumah sudah tentu menutup terus ruang bagi mereka untuk berada dalam situasi seperti mana yang MMI sebutkan di atas.

Perbezaan ini MMI bawakan sebagai asas kepada cabaran dan tanggungjawab besar yang bakal dipikul oleh ahli-ahli UMNO khususnya dalam mendepani hari mendatang.

Sebagai parti yang punya struktur dan asas yang kukuh ini, penolakan rakyat dalam PRU14 yang lalu perlu diamati dengan sebaik-baiknya. Walaupun masih ada dikalangan mereka yang masih mahu selesa dengan kedudukan kerusi parlimen yang dimenangi oleh UMNO hakikatnya UMNO hilang kuasa sebagai kerajaan persekutuan.

Justeru itu ianya adalah isyarat jelas bahawa ada sesuatu yang tidak disenangi oleh rakyat terhadap parti UMNO dan kerajaan BN selama mentadbir negara.

Kerana itu UMNO kini sedang berusaha untuk pulih dan mahu bangkit kembali.

Pemilihan 2018 bukanlah siri pemilihan parti yang biasa-biasa kerana pemilihan kali ini membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada seluruh ahli UMNO untuk sama-sama berganding bahu mengembalikan maruah parti yang terjejas akibat keputusan PRU14.

Disebabkan itu kita dapat menyaksikan lebih dari satu calon untuk jawatan tertinggi parti dan sayap manakala ratusan calon menawarkan diri bagi jawatan exco di peringkat masing-masing.

Kalau kita terjemahkan maksud tersirat disebalik semua keadaan itu maka kita akan dapati ianya adalah bukti bahawa UMNO masih relevan sebagai sebuah parti politik khususnya bagi orang-orang Melayu.

Itu adalah jawapan lisan dan biasa bagi kebanyakkan dari kita cumanya sejauh mana ia mampu membawa kebaikan dan keuntungan pada parti khususnya dalam kita merangka dan mencorak masa depan parti UMNO ?

Apabila ada pertandingan sudah tentulah akan ada yang terpilih dan tidak terpilih !

Pastikah kita bahawa semua pihak akan berlapang dada menerima keputusan pemilihan dan terus menjadi penggerak parti yang agresif walaupun pihak tersebut tidak terpilih ?

Ini bukan cerita main-main memandangkan kita punya ratusan pencalonan yang mahu diri masing-masing dipilih oleh para perwakilan !

Kerana itulah awal-awal lagi MMI sebutkan bahawa kita punya TANGGUNGJAWAB yang BESAR !

PERCAYALAH selain daripada penawaran untuk memimpin dan menjadi sebahagian daripada kalangan mereka yang memimpin seluruh bahtera UMNO cabaran terbesar yang perlu diselesaikan adalah untuk mendapatkan kembali kepercayaan akar umbi terhadap UMNO.

Akar umbi ini bukan sahaja mengambil kira ahli-ahli UMNO di seluruh negara tetapi juga RAKYAT !

Mereka ini akan melihat gerak kerja dan bagaimana pimpinan baharu membawa arah parti dan perlu diingat mereka punya sejarah untuk dibandingkan.

Dalam masa yang sama dasar perjuangan parti akan menjadi penentu kepada keupayaan parti untuk bangkit kembali. UMNO adalah parti politik yang seharusnya memikul tanggungjawab dan berperanan dalam memastikan AGENDA MELAYU terus diperkasakan.

Namun ada cabarannya kerana rakyat Malaysia sudah dihidangkan dengan kewujudan parti-parti politik berteraskan multirasial dan mereka sudah lama menanam dibenak pemikiran rakyat Malaysia dengan ungkapan RASIS sebagai dominan dengan UMNO. 

Situasi sukar dalam keadaan UMNO sebagai parti pembangkang yang punya track rekod pentadbiran selama 62 tahun sebagai kerajaan persekutuan.

Oleh kerana itu MMI merasakan bahawa satu perubahan besar perlu dilakukan oleh para penggerak parti di semua peringkat.

1.Pilihlah mereka-mereka yang punya asas atau sekurang-kurangnya punya pengalaman dalam hiraki pimpinan parti di semua peringkat.

2.Perlu BERANI untuk membuat keputusan dan menolak mereka-mereka yang selama ini menjadikan parti keramat UMNO ini sebagai HAK MILIK MEREKA.

3.Tidak ada istilah 'WARLORD' dalam parti dan jika ada ahli perlu HAPUSKAN parasit-parasit ini.

4.Jangan emosi dalam membuat keputusan kerana ianya bakal menentukan 'survival' politik parti.

Dan yang lebih penting sekali ;

5.Mana-mana pemimpin yang dipilih nanti WAJIB untuk memastikan semua calon yang menawarkan diri dalam semua peringkat pertandingan tetapi tidak dipilih oleh perwakilan diangkat dan diletakkan bersama-sama kepimpinan di peringkat masing-masing.

Ini penting kerana sebahagian besarnya hampir pasti tidak akan dipilih dalam proses pemilihan nanti kerana kedudukan kerusi terhad.

Justeru mereka yang menawarkan diri tetapi tidak dipilih harus dilantik dan diletakkan dalam mana-mana tempat diperingkat pentadbiran masing-masing waima dilantik menjadi AJK Biro sekalipun.

MMI percaya bahawa penawaran mereka untuk berkhidmat kepada parti HARUS digembleng sedemikian rupa agar kekuatan yang kita harapkan dapat direalisasikan.

Selain dari itu kita akan dapat melihat sejauh mana tahap SERIUS para calon yang menawarkan diri seterusnya mengembalikan maruah kita yang tercalar dan keyakinan rakyat terhadap parti UMNO.

Sebagai pemerhati politik MMI percaya bahawa tidak ada yang perlu disisihkan sebaliknya perkukuhkan parti dengan semua penggerak agresif ini agar parti mampu mendepani segala rintangan kerana kita punya TANGGUNGJAWAB BESAR.

Selamat bersidang.

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels