Followers

Tuesday 30 September 2014

Kenyataan Media Dato' Zainal Abidin Osman Berkenaan TP1M


Kenyataan Media
Dato' Zainal Abidin Osman
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang

Perlaksanaan Projek-projek Penyelenggaraan Rumah Pangsa Di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) , Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi Negeri Pulau Pinang Untuk Tahun 2014.

1. Bagi tahun perlaksanaan 2014, sejumlah 156 permohonan peruntukan di bawah TP1M diterima daripada JMB/MC/PP rumah-rumah pangsa oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang (PPPPP) sehingga 31 Disember 2013. Daripada jumlah permohonan tersebut, 40 permohonan diperakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan Projek TP1M dan telah disyorkan untuk dipertimbangkan kelulusan perlaksanaannya oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

2. Dari jumlah tersebut, 14 permohonan telah diluluskan perlaksanaannya oleh KPKT bagi tahun 2014 melalui satu surat kelulusan pada Mei 2014. Namun begitu satu permohonan telah ditangguhkan perlaksanaannya kerana JMB/MC/PP rumah pangsa terlibat telah memohon perubahan skop kerja yang telah diluluskan oleh KPKT dalam permohonan awal.

3. Jumlah yang diluluskan KPKT untuk projek-projek TP1M di Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2014 adalah sebanyak RM 7.25 juta yang merupakan sumbangan Kerajaan Persekutuan (90% bagi rumah kos rendah dan 70% bagi rumah kos sederhana rendah) mengikut konsep 'matching-grant' di bawah TP1M. Ini melibatkan penyelenggaraan bagi 7 perumahan kos rendah dan 7 perumahan kos sederhana rendah di kawasan Pulau dan Seberang Perai. PPPPP telah memaklumkan kelulusan ini kepada Pesuruhjaya Bangunan PBT di Pulau Pinang pada Mei 2014 lalu manakala JMB/MC/PP telah diberi penerangan tentang skop-skop kerja yang diluluskan KPKT dan tatacara perlaksanaan projek-projek berkenaan.

4. Berikut adalah senarai taman perumahan/flat yang diluluskan peruntukan di bawah TP1M untuk Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2014:

4.1. Kos Rendah

a. Taman Teluk Kumbar, Bayan Lepas

b. Saujana Heights (Blok E), Bayan Lepas

c. Rumah Pangsa Taman Sri Nibong, Persisiran Pantai Jerejak

d. Desa Pantai Indah, Bayan Lepas
e. Taman Emas, Bayan Lepas
f. Rumah Pangsa Seri Merpati, Bayan Lepas
g. Lily Flat,  Balik Pulau

4.2. Kos Sederhana Rendah

a. Rumah Pangsa Halaman Damai (Blok 9), Sungai Pinang Jelutong

b. Saujana Heights (Blok B & D), Bayan Lepas

c. Rumah Pangsa Seri Bayu, Bayan Lepas

d. Pangsapuri Indah, Taman Telok Air Tawar Fasa 1C, Telok Air Tawar

e. Pangsapuri Titi Mukim, Telok Air Tawar

f. Pangsapuri Indah 1A dan 1C, Taman Air Tawar Indah, Telok Air Tawar.

Nota: Rumah Pangsa Taman Tun Sardon yang menimbulkan kontroversi dicat keseluruhan bangunan dengan warna hijau dan logo PAS adalah tidak termasuk dalam senarai projek-projek di bawah TP1M yang dibiayai secara 'matching-grant' oleh KPKT.

5. Kelulusan peruntukan dibuat oleh KPKT pada bulan Mei 2014 dan bukannya pada Januari 2014 sebagaimana yang didakwa beberapa pihak. Perlaksanaan projek-projek tersebut pula bermula pada awal dan pertengahan September 2014. Kerja-kerja penyelenggaraan dijangka siap pada pertengahan Oktober dan awal November 2014. Sejumlah 25 kontraktor dilantik melalui proses tender terbuka oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang ( PPPPP) untuk melaksanakan projek-projek di bawah TP1M di Pulau Pinang. Pemantauan ketat dan berterusan juga dibuat oleh PPPPP untuk menjamin mutu kerja yang dilaksanakan dan kerja-kerja dijalankan mengikut skop dan spesifikasi yang telah dipersetujui dan dibida semasa proses tender terbuka.

6. Dakwaan Exco Perumahan Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo yang menyatakan peratusan kelulusan projek-projek TP1M untuk Negeri Pulau Pinang terlalu kecil berbanding jumlah permohonan yang dibuat adalah tidak adil. Jumlah peruntukan yang diluluskan KPKT di bawah skim TP1M untuk Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak RM 7.25 juta (bersamaan18.13%) dari jumlah keseluruhan peruntukan RM 40 juta untuk seluruh negara. Adalah tidak adil untuk meminta peruntukan lebih besar bagi Pulau Pinang dan menafikan hak negeri-negeri lain di Malaysia untuk mendapat peruntukan dari TP1M.

7. Dari aspek kualiti perlaksanaan kerja projek-projek berkenaan, perlu difahami bahawa kerja-kerja tersebut masih di peringkat awal perlaksanaannya. Kerja-kerja di tapak projek akan berjalan mengikut fasa atau jadual perlaksanaan projek yang telah ditetapkan dan skop-skop kerja dipastikan dipatuhi oleh kontraktor-kontraktor dilantik.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Labels