Followers

Sunday 28 December 2014

INFO BANJIR Hentikan Penyebaran Maklumat PALSU


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.S.Subramaniam mengingatkan orang awam khususnya pengguna media sosial supaya bersikap bertanggungjawab dalam memastikan keshahihan berita banjir sebelum menyebarkannya.

Ini kerana, sebarang berita yang belum ditetapkan kebenarannya mampu mewujudkan suasana tidak tenteram dalam kalangan anggota masyarakat.

Keadaan ini juga mampu menghalang usaha kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir, jelas Subramaniam.

“Ini akan wujudkan keadaan panik di kalangan masyarakat dan keadaan  ini tidak akan bantu usaha kerajaan untuk menangani masalah yang berlaku.”

“Kerajaan cuma boleh berjaya menangani mana-mana krisis kalau rakyat  tenang dan boleh ikut apa yang telah diberitahu,” ujar Subramaniam.

Sementara itu Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata perbuatan berkongsi atau ‘forward’ berita yang tidak ditentu-sahkan itu boleh mengeruhkan keadaan dan mengelirukan masyarakat.

Beliau berkata, maklumat palsu yang disebarkan pada waktu kritikal seperti sekarang bukan hanya akan menyulitkan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Malah boleh menyebabkan kekeliruan dalam operasi bantuan serta menambah rasa risau dan panik di kalangan anggota keluarga mangsa.

Tambahnya, niat untuk membantu dengan menyampaikan maklumat memang baik, tetapi sebelum menyebarkan sebarang berita, tanyalah diri sendiri sama ada ia akan benar-benar membawa kebaikan atau menambah buruk keadaan.

Beliau turut meminta orang ramai mengurangkan penggunaan telefon selular di kawasan banjir bagi menjimatkan bateri bagi membolehkan ia bertahan lebih lama untuk kegunaan jika berlaku kecemasan.

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels