Followers

Thursday 4 May 2017

Kematian Pravin Jangan Cetus Konflik Perkauman


Insiden membabitkan kematian Pravin A/L Selvaraja bekas pelajar SMK Dato' Mohd Said di Nilai , Negeri Sembilan akibat racun kini tular di media sosial dan pelbagai tuduhan mula dilemparkan termasuklah perkara-perkara yang menyentuh tentang pembunuhan dan pengaruh gangsterime.

Selain daripada itu insiden ini sudah mula mencetuskan kebimbangan awam akibat daripada isu perkauman yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang membuat dakwaan kononnya punca kematian si mati adalah diakibatkan oleh paksaan sekumpulan remaja Melayu yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tingkah lakunya yang terlalu agresif.

Pelbagai dakwaan lain turut dibuat sehinggalah kepada hal membabitkan si mati di paksa untuk meminum racun oleh sekumpulan remaja yang ditegur mendiang kerana menghidu gam.

Semua dakwaan ini amatlah tidak berasas sama sekali kerana kes kematian mendiang Pravin masih dalam siasatan pihak Polis.

Tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini dikhuatiri boleh mengundang kepada berlakunya kekecohan melampau sehingga menimbulkan pergaduhan kaum seterusnya menyumbang kepada ketidaktenteraman awam.

Sehingga artikel ini ditulis , semua pihak digesa supaya bertenang dan jangan emosi selain memberikan kerjasama kepada pihak Polis untuk menjalankan siasatan.

Menurut sumber yang boleh dipercayai insiden ini berlaku akibat daripada hubungan cinta yang tidak berbalas dari seorang remaja perempuan yang sebaya dengan si mati.

Dilaporkan bahawa si mati dalam tempoh waktu tertentu sebelum kematiannya telah hadir ke sekolah dan berjumpa dengan rakan-rakannya.Dalam pertemuan tersebut si mati ada menunjukkan botol dipercayai racun dan memaklumkan akan meminum racun tersebut sekiranya cintanya terhadap remaja bernama A tidak berbalas.

Selain daripada itu sumber juga memaklumkan ahli keluarga si mati pernah hadir ke sekolah untuk berjumpa dengan remaja A namun dihalang oleh pengawal keselamatan.Malah pengawal keselamatan ada memaklumkan bapa kepada si mati ada menyatakan anaknya telah dimasukkan ke hospital akibat meminum racun yang diambil dari kebun berhampiran.

Berdasarkan kepada perkara diatas , andaian bahawa kematian Pravin disebabkan oleh tindakan gangsterisme , paksaan dan dendam bolehlah disangkal.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan pihak forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) mengesahkan S Pavin, 15, mati akibat keracunan jenis racun rumpai.

"Namun, tiada kesan kecederaan pada tangan, kaki dan badan yang menunjukkan remaja itu dipaksa orang lain untuk minum racun. Tiada juga kesan luka dalaman pada bahagian mulut dan tekaknya.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa kesan luka lama akibat hirisan pada lengan kiri," katanya pada sidang media di Balai Polis Nilai baru-baru ini.

Beliau menolak dakwaan pelbagai pihak di media sosial bahawa polis cuba menyembunyikan maklumat mengenai kejadian itu yang mengaitkan mangsa dengan kes buli.

Zaldino berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7583222.

Dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak Polis adalah lebih baik semua pihak tampil membantu siasatan agar kes membabitkan kematian Pravin dapat diselesaikan dengan segera.

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels