Followers

Wednesday, 25 January 2012

PAS Sahaja Yang Baik ?


Semakin hari Pas dilihat semakin takbur dan angkuh.Kononnya merekalah yang terbaik dalam semua perkara lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan UMNO yang sememangnya telah dilabel sebagai musuh utama yang perlu dijatuhkan.

Halalkan setiap perkara melalui fatwa-fatwa oleh para ulama Pas sekiranya ia dapat membantu menjatuhkan UMNO.Itulah tindakan yang dilihat digunakan oleh kepimpinan Pas semenjak kebelakangan ini.

Mereka dilihat mampu malah akan membuat apa saja untuk memastikan rakan dan teman karib Pas iaitu DAP dan PKR sentiasa dapat bekerjasama dalam usaha untuk mengusai Putrajaya.

MMI tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah apabila beliau membicarakan tentang Islam dan sosialis.MMI turut bersetuju dengan pendapat beliau bahawa dalam politik negara hari ini segala yang baik itu pastinya datang dari Pas dan setiap perbuatan dan perkhidmatan asalkan datang dari UMNO dan Barisan Nasional pastinya akan dilabel sebagai tidak baik oleh sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam.

Sedangkan pada hakikatnya Pas lupa bahawa mereka sedang dikuasai dan membiarkan diri dicerobohi serta tunduk kepada kepimpinan ultra kiasu. 

Jom kita ikuti tulisan artikel tersebut, 

Saya tidak menjadi masalah jika portfolio Islam diberikan kepada orang yang sekurang-kurang mempunyai sedikit asas Islam. Misalnya, bacaan dan pemahaman al-Quran dan Islamnya baik, walaupun tidaklah mencapai makam ustaz atau berlatar belakangkan pengajian Islam. Atau carilah sekurang-kurang yang pro kepada Islam. Tetapi bukan kepada yang sekular sosialis. Pada saya, tidak kena pada tempat dan tidak adil. Saya amat hairan dan pelik kenapa PAS membenarkan keadaan ini berlaku? Apakah benar dakwaan mengatakan PAS sudah menjadi semakin liberal disebabkan oleh parasit-parasit yang wujud?

Mungkin akan ada yang bertanya, Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan) juga pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), sedangkan latar belakang bukanlah pengajian Islam. Jawapan saya, latar belakang Zahid Hamidi dan Hasan Ali amat berbeza dengan pemimpin ultra kiasu Selangor itu. Mereka berdua boleh memahami dan membaca al-Quran, menjadi imam dan menyampaikan khutbah dengan baik. Cuba bertanya kepada pemimpin ultra kiasu Selangor tersebut, adakah beliau juga sedemikian? Saya bimbang nanti makmum lintang pukang lari mendengar sahaja ayat-ayat suci al-Quran dialunkan ketika menjadi imam atau berkhutbah.

Lebih mengejutkan lagi, tidak ada seorangpun pimpinan PAS yang memuji Hasan Ali atau mengenangkan jasa beliau semasa berada dalam PAS dan ketika menjadi Exco Selangor. 999 kebaikan yang dilakukan Hasan Ali dilupakan begitu sahaja, hanya kerana satu ‘kesalahan kecil’ yang dilakukan. Inikah akhlak Islam? Orang PAS selalu bercakap pasal akhlak, adab dan tata susila. Namun, bila masuk bab politik, semua perkara tersebut hilang entah ke mana.

Pemuda PAS mengingatkan Hasan Ali supaya jangan menjadi kuda tunggangan UMNO. Veteran PAS mengibaratkan Hasan Ali sebagai buah busuk yang akan gugur sendiri dan banyak lagi perkara-perkara negatif yang dilemparkan kepada Hasan Ali, hanya kerana Hasan Ali, bukan lagi orang PAS.

Nampaknya, orang PAS sahaja yang baik, orang lain tidak? Kenapa ketika Hasan Ali berada di dalam PAS, yang buruk-buruk langsung tidak disebut? Habis manis sepah dibuang. Adakah ini cara PAS bertindak? Selama ini PAS selalu melabelkan UMNO sebagai kotor. Hatta, mereka yang menulis dalam media arus perdana ‘pro Umno’ pun dikatakan kotor. Semua yang dilakukan oleh UMNO-BN kotor, yang bersih hanyalah pakatan ultra kiasu ini. Sebab itu, saya tertarik dengan rasional Nasharudin Mat Isa yang juga berharap tidak timbul polemik di kalangan anggota PAS yang menganggap orang yang menyatakan pendapat dalam media pro UMNO ingin menjadi anggota UMNO. Mereka sudah tidak ada ruang di medan lain, seperti Harakah, Roket dan Keadilan? Jika adapun, hanya cacian dan makian.

Pengganti Hasan Ali hanya diberikan portfolio adat istiadat Melayu, Belia dan Sukan sahaja dalam rombakan exco di Selangor. Portfolio Islam, Infrastuktur dan Kemudahan Awam diambilalih oleh pemimpin tertinggi Selangor ultra kiasu. Agak terkejut juga apabila pemimpin kanan PAS yang dilantik menggantikan Hasan Ali, tidak lagi diberikan amanah berkaitan dengan Islam, sedangkan PAS dan Islam sudah sinonim.

Menurut kata ultra kiasu tersebut, perlantikan dan rombakan exco ini telah dipersetujui oleh kepimpinan PAS. Nampaknya PAS terus tunduk kepada ultra kiasu. Sebelum ini, presiden PAS menegaskan, parti itu tidak pernah tunduk kepada kehendak atau tekanan mana-mana pihak termasuk parti komponen Pakatan Rakyat terutamanya DAP seperti yang didakwa. Beliau berkata, Pakatan Rakyat sentiasa mengamalkan konsep terbuka dan segala masalah diselesaikan dengan baik. Persoalan saya, apakah benar?

Di manakah akhlak kita sebagai umat Islam ? Klik Sini untuk artikel penuh.

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels