Followers

Wednesday 20 June 2012

Mampukah UMNO & BN Tasek Gelugor Terus Bertahan ?


Melihat akan gambar diatas sudah semestinya mengingatkan kita kepada pilihan raya ke12 yang lalu apabila YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Tasek Gelugor dengan majoriti 4547 undi mengalahkan calon Pas Cikgu Ismail Salleh.

Jelas terpancar wajah kegembiraan pada setiap mereka kerana Barisan Nasional Tasek Gelugor masih dipertahankan walaupun pada ketika ini keputusan banyak yang tidak memihak kepada Barisan Nasional sehinggakan negeri Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Haprak.

Apa pun Tasek Gelugor tetap menjadi kubu kuat kepada UMNO dan Barisan Nasional termasuklah jiran sebelahnya Kepala Batas.


Bertitik tolak dari sinilah juga jawatan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor bertukar tangan daripada Datuk Seri Shariff Omar yang juga bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor kepada YB Shabudin Yahya ADUN Permatang Berangan Tasek Gelugor.

Maka bermulah era baru kepimpinan UMNO di Tasek Gelugor dengan pelbagai usaha rancak dilakukan oleh semua pihak termasuklah mendekati para pengundi dan masyarakat seterusnya membuktikan Tasek Gelugor sememangnya kubu kuat kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Tetapi kini segalanya mungkin berubah ! Di saat seluruh negara menantikan tarikh keramat pilihan raya ke13 yang masih menjadi tanda tanya terdapat usaha pelbagai pihak untuk menonjolkan diri sebagai apa yang kita gelarkan "winnable candidate".

Sebenarnya MMI melihat kepada sudut yang lebih positif kerana "winnable candidate" terbuka kepada semua pihak yang merasakan diri mereka layak untuk memimpin rakyat Tasek Gelugor.Bekerjalah sebaik mungkin untuk rakyat kerana mereka yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan ini pastinya bakal dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai "winnable candidate" kelak.

Namun dalam usaha ini kita sebenarnya perlu melihat kepada perkara yang lebih besar iaitu sejauh mana UMNO dan Barisan Nasional mampu dipertahankan?


Melihat kepada pengumuman oleh Datuk Seri Sharif Omar bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan mantan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor untuk kembali menawarkan diri sebagai calon dalam pilihan raya ke 13 nanti membuktikan bahawa beliau masih berkeinginan untuk berbakti kepada rakyat Tasek Gelugor.

Ini merupakan satu tamparan yang cukup hebat kepada YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop selaku Ahli Parlimen Tasek Gelugor namun beliau dilihat cukup profesional apabila menyatakan terserah kepada YAB Perdana Menteri untuk menentukan siapa saja calon yang bakal bertanding sebagai Ahli Parlimen dalam pilihan raya nanti dan menghormati keputusan Datuk Seri Sharif Omar menawarkan diri.

Mungkin sebahagian daripada kita melihat senario yang berlaku ini merupakan perkara biasa dalam saat-saat kita menghadapi pilihan raya.Tetapi dari pemerhatian MMI ianya sebenarnya mampu merosakkan reputasi individu atau institusi tertentu.

Melihat kepada satu perhimpunan baru-baru ini di Dewan Besar Sungai Dua yang dianjurkan oleh PERKASA Tasek Gelugor jelas ianya merupakan satu pentas yang disediakan untuk mengangkat Datuk Seri Sharif Omar sebagai calon untuk pilihan raya nanti.Persoalannya apakah relevannya menjemput bangsa India dan Cina ke program yang dianjurkan oleh PERKASA walaupun ianya dibuat atas nama Sambutan Hari Bapa 1 Malaysia ? 



Dalam masa yang sama berlaku pertikaian bila mana gerak kerja YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop selaku Ahli Parlimen di persoalkan kerana beliau pernah berjanji untuk memajukan Tasek Gelugor yang sehingga kini masih samar.

Begitu juga dengan mereka-mereka yang terlibat secara langsung diperingkat UMNO Bahagian Tasek Gelugor yang sudah mula mempertikaikan tindakan-tindakan pihak tertentu yang membelakangkan bahagian.

Kemudiannya timbul pula kenyataan-kenyataan di laman media sosial yang mempertikaikan tindakan badan-badan tertentu yang kesemuanya mengundang kepada perpecahan.




Apakah setiap tindakan yang berlaku ini mampu memberikan UMNO dan Barisan Nasional kekuatan ? Apakah yang berlaku hari ini mampu mengelakkan perpecahan ? 

Mungkin ada sesetengah pihak akan menuding jari kepada MMI dan menuduh yang bukan-bukan dengan tersiarnya artikel ini.Namun percayalah niat MMI sebenarnya untuk melihat satu angkatan UMNO dan Barisan Nasional yang paling ampuh dipersiapkan di Tasek Gelugor bagi menghadapi Pakatan Haprak dalam pilihan raya yang bakal tiba.

Cumanya setelah nama calon diumumkan nanti mampukah kumpulan-kumpulan ini bersatu ?

Persoalannya mampukah UMNO dan Barisan Nasional mempertahankan Tasek Gelugor dalam pilihan raya ke 13 nanti ?

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels