Followers

Thursday, 16 August 2012

Malaysia Mula Bertindak !!


Malaysia akan menyertai negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyokong cadangan badan itu menggantung keanggotaan Syria berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan syor-syor dikemukakan oleh menteri-menteri luar negara anggota OIC berikutan keadaan yang semakin meruncing di negara itu menyebabkan ramai rakyat terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak.

Katanya, majoriti negara anggota bersetuju untuk berbuat demikian kerana pergolakan di Syria sudah sampai ke tahap yang memerlukan OIC mengambil tindakan lebih tegas.

‘‘Saya jangka keputusan ini akan disahkan oleh ketua-ketua kerajaan OIC malam ini dan inilah juga pendirian yang akan disuarakan oleh Malaysia," katanya pada sidang akhbar berhubung hasil Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 OIC pada hari pertama di sini malam tadi.

Beliau berkata, keputusan untuk menggantung keanggotaan Syria itu dibuat secara konsensus.

Ditanya sama ada OIC berusaha untuk berinteraksi secara terus dengan Presiden Bashar Assad, beliau berkata, langkah-langkah itu telah diambil tetapi Assad berkeras dengan tindakannya sehingga negara itu terjerumus ke dalam kancah perang saudara.

‘‘Kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk menggantung keanggotaan Syria dan Syria perlu melakukan transisi kepimpinannya supaya sebuah kerajaan baru dibentuk melalui demokrasi berdasarkan kehendak rakyat," katanya.

Menurut Perdana Menteri, selain Syria, dua isu lain yang turut dibincangkan semalam ialah mengenai Palestin dan Rohingya.

Mengenai Palestin, kebanyakan ketua negara menyentuh isu berkenaan yang sudah lama diperjuangkan dan langkah seterusnya ialah berusaha supaya Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada perhimpunan yang akan diadakan bulan depan.

‘‘OIC perlu menentukan sikapnya sebagai satu kumpulan untuk menjadikannya satu realiti," katanya.

Perkara ketiga yang disentuh ialah mengenai Rohingya yang mana OIC bersimpati dengan nasib mereka.

‘‘Ini juga salah satu isu yang perlu diperjuangkan oleh Malaysia dan penting bagi OIC mengambil berat isu ini. Satu misi mendapatkan maklumat yang akan diketuai oleh Setiausaha Agung OIC akan ke Myanmar untuk melihat keadaan sebenar," katanya.

Beliau berkata, langkah menghantar misi ke Myanmar itu telah dipersetujui oleh kerajaan negara itu dan Malaysia mengalu-alukan usaha tersebut.

Katanya, OIC amat mengalu-alukan usaha Myanmar ini kerana melalui penilaian oleh misi tersebut, OIC dapat menyusun langkah seterusnya bagi memastikan hak asasi Muslim Rohingya dipertahankan.

Bagi Malaysia, isu ini juga amat penting kerana permasalahan yang berlaku di sana menyebabkan kemasukan 90,000 rakyat Rohingya ke negara ini.

Perdana Menteri juga memberitahu, beliau telah diberi penjelasan oleh kerajaan negara itu bahawa perkara berkaitan Rohingya tidaklah seberat yang dibangkitkan.

‘‘Saya menghargai penjelasan ini dan diharapkan melalui misi itu nanti, negara-negara anggota ASEAN yang akan bersidang pada bulan November akan datang juga dapat menentukan pendirian mengenai perkara ini.

“Kita juga mengalu-alukan jaminan Presiden Thein Sein bahawa dia sedang melakukan tindakan konstruktif untuk meredakan isu Rohingya ini," katanya. - UTUSAN

Berkenaan isu Rohingya juga Kelab Putera 1Malaysia bakal ke Myanmar dalam misi bantuan kemanusian tidak lama lagi.MMI menyokong penuh usaha yang dilakukan dan paling penting Malaysia menggunakan pentas terbaik bagi mencari jalan penyelesaian.

Mungkin ada yang berkata mengapa lambat bertindak ! Sebagai seorang manusia yang cintakan keamanan MMI akui kita agak lambat bertindak tetapi sekurang-kurangnya kita sudah pun memulakan tindakan dan bukannya sekadar bercakap.

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels