Followers

Sunday 23 September 2012

GEMPAR !! Aung San Suu Kyi Di Malaysia ??


Bagi mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan dunia politik sudah semestinya mengenali nama Aung San Suu Kyi.Satu nama yang tidak asing lagi dan cukup sinonim sebagai lambang keamanan serta kebebasan khususnya di Myanmar.

Pemenang hadiah nobel keamanan berusia 66 tahun ini sudah pun menggemparkan seluruh dunia dengan penahanan dalam rumah selama berapa tahun yang turut mendapat simpati masyarakat dunia.

Setelah kerajaan tentera Myamar membebaskan Suu Kyi , beliau telah pun berjaya mencatat kemenangan dalam pilihanraya melalui parti politik NLD serta memenangi 40 kerusi daripada 44 yang di tandingi.

Malah beliau turut mengumumkan dengan kemenangan parti NLD bererti ianya merupakan satu ujian dalam melakukan perubahan.

Persoalannya apakah Suu Kyi benar-benar merupakan seorang pejuang keamanan ? Apakah Suu Kyi benar-benar seorang aktivis yang benar-benar akan berjuang mempertahankan sesiapa saja khususnya di negara Myanmar sendiri dalam memastikan setiap manusia mendapat kebebasan dan keamanan seperti mana yang telah beliau kecapai hari ini ?

Dalam isu Rohingya contohnya , pemimpin pro demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, dikritik kumpulan aktivis hak asasi dan penyokong kempen demokrasi selepas dikatakan enggan memberi ulasan mengenai tindakan kejam tentera negara itu ke atas etnik minoriti Rohingya.   

Sikap beliau menimbulkan persoalan bahawa Suu Kyi juga mungkin mempunyai sikap prejudis ke atas etnik berkenaan yang berhijrah dari Bengal beberapa kurun lalu dan enggan memberi komitmen terhadap isu ini.

Mereka yang sebelum ini menyokong ikon hak asasi berkenaan, menuduh beliau sengaja mendiamkan diri dalam isu layanan buruk yang diberikan ke atas etnik tanpa negara yang dikenal pasti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai kumpulan minoriti paling tertindas di dunia.

Keengganan beliau untuk mengkritik Presiden Thein Sein kerana menguatkuasakan dasar yang seolah-olah menyokong pembersihan etnik, menimbulkan kekeliruan dikalangan penyokong Suu Kyi.

Thein Sein sebelum ini berkata kira-kira 800,000 etnik Rohingya perlu ditempatkan di kem pelarian dan dihantar ke sempadan Bangladesh.

“Beliau berada di dalam kedudukan sukar, tetapi masyarakat antarabangsa kecewa kerana beliau tidak bersedia bersikap lebih lantang,” kata pengarah Kempen Burma United Kingdom, Anna Roberts.

Aktivis Rohingya, Dr Habib Siddiqui menegaskan, pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi tidak layak diberi anugerah tertinggi Kongres Amerika Syarikat, Pingat Emas Kongres kerana mengambil sikap berdiam diri dan mengelak ketika krisis terbaru melanda etnik Rohingya.

Di dalam surat terbuka kepada senator dan anggota Kongres Amerika, Siddiqui berkata, Suu Kyi tidak serius memperjuangkan hak asasi manusia atau demokrasi sebaliknya kekal fanatik dan penganut Buddha Myanmar yang bersifat perkauman, sama seperti rejim yang mengenakan tahanan dalam rumah ke atasnya.

Beliau juga mendesak Kongres Amerika tidak menarik balik sebarang sekatan perdagangan dengan Myanmar sehingga ada perubahan ketara yang memberi kesan positif kepada kehidupan penduduk Islam Rohingya dan minoriti lain di negara itu, selain menjamin kerakyatan mereka dan memastikan kesaksamaan hak dan keistimewaan dikembalikan.

Siddiqui berkata di dalam sejarah Myanmar, perkauman dan ketaksuban sudah ditakrifkan dan tiada tempat untuk penganut agama lain selain Buddha di negara yang mempunyai 56 juta penduduk ini.

“Usaha pembaharuan di Myanmar, yang digerakkan Presiden Thein Sein, hanya sekadar gimik bagi mendorong penarikan sekatan terhadap Myanmar, yang memerlukan wang tunai untuk keluar daripada menjadi negara paling miskin di ASEAN.

“Pembebasan Suu Kyi bertujuan membolehkan beliau bertindak sebagai utusan dan itu sebenarnya yang dilakukan oleh tokoh pembangkang itu iaitu mempromosikan fanatik agama Buddha. Di negara Myanmar yang baru ini, tiada tempat untuk penduduk berlainan keturunan, latar belakang etnik dan agama,” katanya.

Beliau berkata, Myanmar tidak layak mendapat sebarang faedah daripada Amerika kerana minoriti seperti Rohingya diiktiraf tiada negara berdasarkan undang-undang perkauman, Undang-Undang Kerakyatan Burma 1982.

Hasil projek negara ke arah pembersihan etnik, separuh daripada empat juta penduduk Islam Rohingya diusir dari negara itu sejak 1962 dan kini tinggal sebagai pelarian tidak dikehendaki di negara seperti Bangladesh, Thailand, Malaysia, Arab Saudi, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Begitulah kisahnya seorang pemimpin yang diangkat sebegitu rupa namun masih gagal dalam membela nasib rakyat mahupun manusia waima mereka yang berada di negaranya sendiri.

Mengapa agaknya perkara sedemikian berlaku ?

Apakah mereka seperti Aung San Suu Kyi tidak wujud di bumi bertuah Malaysia ini ? Cuba perhatikan senario semasa dan sudah pasti anda dapat meneka Suu Kyi versi Malaysia sebenarnya sudah pun wujud.

Cumanya ia menanti masa yang sesuai untuk dibebaskan , jika Suu Kyi menanti masa untuk dibebaskan daripada tahanan dalam rumah maka di Malaysia mereka ini menanti masa dibebaskan melalui peti-peti undi dalam pilihan raya.

Maka berhati-hatilah rakyat Malaysia sekelian , Suu Kyi sendiri tidak dapat membantu mereka yang berada di negaranya sendiri apatah lagi mereka-mereka di Malaysia yang dahagakan kuasa untuk memerintah.

Pada ketika negara Malaysia dihimpit masalah mereka melalak kepada rakyat kononnya merekalah yang lebih baik memimpin negara.

Pada ketika negara Malaysia bangun membantu rakyat mereka melalak menuduh dan memfitnah pemimpin negara dengan pelbagai perkara.

Pada ketika negara Malaysia melakukan tranformasi bagi meningkat keupayaan kita mereka berdemontrasi dijalanan.

Pada ketika negara Malaysia bangun menentang mereka yang menghina agama Islam masih ada mereka yang berdiam diri dan ada yang turut menghina tindakan kita.

Pada ketika negara Malaysia bersiap untuk mencapai negara maju ada dikalangan mereka yang sehingga kini hanya bersatu atas faktor politik.

Jika Suu Kyi gagal di Myanmar maka kita di Malaysia perlu pastikan pemimpin seperti Suu Kyi tidak ada tempat dalam kalendar pemimpin negara.

Jadikan apa yang MMI paparkan sebagai pedoman kita rakyat Malaysia dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. 

Ingatlah hari ini pasti berlalu dan yakinlah hari esok akan tiba , Ingatlah hari ini kita bersatu dan yakinlah hari esok dan sampai bila-bila kita perlu bersedia..Untuk Malaysia.

MMI.



No comments:

Post a Comment

Labels