Apa lagi yang pembangkang dapat kata tentang Bajet 2013 yang dibentang Datuk Seri Najib Tun Razak petang Jumaat selain dari bajet atau gulu-gula pilihan raya, bajet panik, populis dan sewaktu dengannya.
Sebaliknya cuba banding dengan bajet bayangan mengandungi segala macam janji ' bulan dan bintang' yang Datuk Seri Anwar Ibrahim bentang kepada wartawan petang Rabu.Baca Sini
Kalau difikirkan memang pelik orang yang sedang berkuasa menawarkan sesuatu yang ' rasional' manakala pihak yang tidak berkuasa menawarkan ' bukan-bukan'.
Lojik akal akan berkata bodoh sangat ke Najib dan rakan-rakannya dalam kabinet tidak hambur segalanya untuk memintas semua janji pembangkang.
Kata orang bukan susah sangat nak berjanji.
Soalnya tentulah antara janji yang boleh ditunai dan janji yang pakai hentam saja untuk memancing undi.
Bagi yang sedang berkuasa mereka tentu tahu sangat kira apa yang mampu kerajaan tunaikan.
Yang di sebelah sana pula peduli apa boleh ke tidak boleh tunai...janji orang terpikat dengan apa yang mereka dendangkan.
Walaupun tidak sampai ke bulan dan bintang ,namun bajet yang Najib bentangkan bukan kecik anak.Lebih 100 touch point diumum melibatkan rakyat pelbagai lapisan selari dengan tema bajet tahun ini ‘Memakmurkan Negara,Mensejahtera Rakyat, Sebuah Janji Ditepati’.
Ramai pemerhati melihat bajet kali ini boleh kunci habis mulut pembangkang.
Namun sebagai orang politik yang mengidam hendak ke Putrajaya jangan hairan mereka akan terus melakarkan berbagai gambaran buruk dan mencipta segala macam lirik lagu geram.
Ketika menutup pembentangan bajetnya kira-kira dua jam 10 minit Najib meminta rakyat renungkan .Katanya "Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu,kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan.
"Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang?,"
Perdana Menteri mengimbas kembali apa pernah dilakukan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekutu beliau yang membuat macam-macam janji ketika PRU lalu..
"Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatkanya?," katanya .
Berbeza pemerintahan Barisan Nasional kata Najib, kerajaan tidak menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala apatah lagi mendodoikan rakyat dengan dongengan lipurlara.
Senang cakap, kalau kerajaan tidak buat atau bagi itu ini, mereka akan marah tetapi jika kerajaan buat dan bagi itu ini, mereka juga akan marah dan kata macam-macam.
Masa kerajaan umum Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) lalu, pembangkang tuduh kerajan tidak ada duit, kena berhutang nak bagi RM500 kepada isirumah berpendapatan RM3000 ke bawah.
Namun, semua ‘beres’ dan tidak ada pun kerajaan pinjam duit mana-mana negara nak bagi BR1M.
Bukan rahsia lagi ramai juga ahli-ahli dan pengikut PKR,PAS dan DAP dapat sebab kerajaan beri bantuan tak pilih bulu.
Sebab itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang adakan sidang media selepas pembentangan Bajet 2013, dan ditanya pasal pembangkang cakap macam-macam masa BRIM dahulu berkata,“Kita tak ambil kira apa pembangkang sebutkan. Apa diputuskan Perdana Menteri tawar BR1M atas dasar tanggungjawab kita nak kurangkan kos hidup mereka berpendapatan bawah RM3 ribu.
Kesannya, wang dibelanjakan mereka (penerima BRIM) lebih RM2 bilion diputarkan atau dibelanjakan bagi tingkat ekonomi dalam negara,” katanya.
Menurut Muhyiddin, pembangkang mungkin kata negara akan hadapi masalah tetapi jelas terbukti kadar defesit negara dapat dikurangkan.
“Kita teruskan pada tahun ini (2013) bukan sahaja kepada 4.3 juta isi rumah tetapi 2.7 juta orang bujang, bermakna jumlah penerima BRIM 2.0 adalah besar dan akan beri impak besar kepada pertubuhan dalam negara,” katanya.
Menjawab soalan, beliau berkata, kerajaan sudah jangka pembangkang akan kata bajet ini adalah bajet pilihan raya.
Katanya, apa dibuat Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan membentangkan bajet mengambil kira keperluan rakyat bukan kerana tuntutan pilihan raya kerana dalam Bajet 2012, kerajaan sudah memulakan beberapa touch point.
Kali ini Najib umum nak bagi lagi RM500 di bawah BR1M 2.0 malah individu bujang 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2000 sebulan juga dapat imbuhan RM250.
Itu tidak masuk lagi persetujuan kerajaan bagi RM100 untuk perbelanjaan persekolahan pada tahun depan dan menaikkan baucer Buku 1Malaysia daripada RM200 kepada RM250.
Jelas bajet 2013 macam-macam ada.
Lagipun Najib meminta rakyat menghakimi kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin menyifatkan pembentangan Bajet 2013 itu sebagai satu kejayaan untuk membela generasi muda.
“Banyak tumpuan diberikan pada generasi muda, kita kempen untuk perumahan, latihan dan terutama PTPTN yang secara tak langsung mengurangkan jumlah pembayaran melalui diskaun. Ianya selaras dengan falasafah serta prinsip setiap hutang itu perlu dibayar balik,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) bersyukur kerana kempen untuk orang bujang dapat BR1M telah ditunaikan oleh Perdana Menteri manakala perumahan pertama juga diperbaiki serta diperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di Lembah Klang.
“Saya amat gembira dan kagum dengan bajet ini kerana amat mesra pada golongan muda,”tambah Khairy.
Manakala soal bajet pilihan raya, Khairy berkata, “apa yang terdapat dalam bajet itu adalah program-program berterusan daripada tahun lepas, pilihan raya atau tak pilihan raya, saya percaya apa yang diumumkan adalah untuk kesejahteraan rakyat.”
“Kita kena ingat, apa yang dibentangkan adalah janji-janji yang dapat kita biayai bukannya tak dapat kita bayar malah bajet defisit yang kita unjurkan akan turun, defisit kerajaan akan turun. Semua yang dijanjikan hari ini bukanlah janji-janji yang akan memufliskan negara tidak seperti bajet pembangkang,” tegas beliau.
“Pentingnya pada akhir ucapan PM adalah perbezaan kita dengan mereka (pembangkang) adalah bahawa apa yang kita janjikan dapat kita biayai dan dapat kita belanjakan. Apa yang mereka janjikan masih tidak dijelaskan bagaimana nak biayai segala janji pilihan raya itu,” ujarnya.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil pula kata syabas dan tahniah Perdana Menteri atas pembentangan bajet yang amat menyeluruh.
Katanya bajet itu mengambilkira kesemua strata masyarakat daripada gelandangan, masyarakat pertengahan kepada yang berkemampuan.
"Budget 2013 adalah realistik dan menjaga kesejahteraan rakyat jelata dan bukan satu rethorik atau yang akan membankrupkan negara. Berbaloi perjuangan wanita! Kerana wanita di ambil daripada mereka yang miskin hinggalah kepada mereka di'Boardroom'",katanya.
Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan berkata, “sekiranya parti pembangkang yang menganggap Bajet 2013 adalah bajet pilihan raya maka bajet pembangkang baru-baru ini pun boleh disifatkan begitu juga.”
“Apa yang penting adalah pandangan rakyat, kita turunkan kembali pada rakyat untuk manafaat rakyat, antara angka-angka RM100, RM200, RM250 dan RM500 adalah amat menarik perhatian dan mengembirakan rakyat yang berpendapatan sederhana serta rendah,” katanya mengulas Bajet 2013.
Ahmad Maslan menganggap bajet kali ini mengusarkan pembangkang kerana kaedah yang digunakan kerajaan amat baik serta boleh menjana ekonomi setempat.
“Rakyat tidak simpan wang itu, mereka berbelanja di kawasan masing-masing. Ekonomi setempat itu akan berkembang dan melipatgandakan ekonomi negara,”jelasnya.
Menurut Ahmad Maslan, janji kerajaan telah kita tunai berbanding janji pembangkang dalam manifesto yang anggap tidak perlu ditunaikan.
“Itu adalah sesuatu falasafah yang amat merbahaya, rakyat perlu sedar dalam hal ini maka bajet mereka itu pun merupakan janji yang mereka tidak akan tunaikan,” ujarnya.Sumber AgendaDaily.
Seperti yang MMI perkatakan sebelum ini Bajet 2013 membuktikan komitmen kerajaan untuk melihat hari esok lebih baik dari hari ini.Kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan walaupun sebelumnya ditimpa pelbagai kritikan dan cercaan malah kelemahan yang berlaku sebelum ini menjadikan pengalaman itu sebagai pemangkin kepada usaha mewujudkan sebuah negara yang lebih baik dari yang sebelumnya.
Bajet Pembangkang macam mana pula ?? Selesaikan janji 2008 dululah...
MMI.
No comments:
Post a Comment