Followers

Friday, 28 September 2012

Bajet 2013 - Hari Esok Akan Lebih Baik Dari Hari Ini !!


Pasti ramai yang menantikan penuh sabar pembentangan bajet 2013 yang hanya tinggal beberapa jam saja lagi.Seperti tahun-tahun sebelumnya pembentangan bajet kali ini tetap tidak dapat lari daripada beberapa perkara yang pastinya akan muncul tatkala bajet akan dibentangkan.

Antara yang selalu menarik perhatian adalah sikap CUEPACS yang pastinya akan menggunakan sepenuh peluang untuk memohon pembayaran bonus kepada kakitangan awam walaupun kadang kalanya ianya kelihatan seolah-olah mengugut kerajaan.

Begitu juga dengan sikap pihak pembangkang yang akan membentangkan bajet mereka terlebih dahulu walaupun mereka sendiri tidak memegang kuasa apatah lagi menguruskan kewangan negara selama ini.

MMI kadang-kadang tersenyum sendiri apabila melihat telatah kedua-dua pihak di atas namun itulah realitinya kerana semua pihak memberikan tumpuan terhadap pembentangan bajet negara.

Apa yang MMI boleh simpulkan berkenaan bajet 2013 yang akan dibentangkan nanti adalah ianya sudah pasti memberikan kelebihan kepada rakyat dan semestinya bajet ini merupakan bajet terpenting sebelum YAB PM membubarkan parlimen bagi mengadakan pilihanraya.

Maka oleh kerana itu MMI meletakkan sasaran bajet 2013 umpama tagline "Esok Lebih Baik Dari Hari Ini" kerana sudah semestinya kerajaan mahu melihat negara dan rakyatnya lebih baik dari hari-hari sebelumnya.

Apa yang MMI perkatakan ada asasnya apabila melihat kata-kata daripada YAB PM sendiri sebelum bajet 2013 di rangka.

Memetik kenyataan daripada YAB PM sendiri beliau menyebut "Tahun ini, kita akan menyediakan sebuah platform untuk memberikan ruang dan peluang bagi Rakyat Malaysia untuk berkongsi cadangan dan pendapat mereka mengenai Bajet 2013. 

Platform ini merupakan peluang bagi semua Rakyat Malaysia untuk mengemukakan idea dan input mereka bagi pertimbangan Kementerian Kewangan.

Platform ini akan memberi tumpuan terhadap beberapa topik. Kos sara hidup, keselamatan awam, harga hartanah, peranan belia dalam kreativiti dan juga isu-isu yang mempengaruhi kehidupan anda adalah di antara perkara yang ingin dibincangkan. Perbincangan ini akan berlangsung secara online bermula hari ini sehingga 29 Julai.

Pada masa ini, kurang daripada 10% daripada rakyat Malaysia yang membayar cukai. Oleh itu cabaran utama bagi kita adalah untuk memperluas dan mengubah sumber pendapatan negara bagi memastikan defisit bajet dikekalkan pada paras boleh urus agar perbelanjaan tidak melebihi kemampuan kita.

Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu memberikan tumpuan terhadap perangsangan pelaburan dalam negeri serta menarik pelaburan asing melalui Program Transformasi Ekonomi. Kita sudahpun membuat permulaan yang kukuh dimana LHDN tahun lalu telah mengumpul sebanyak RM110 bilion hasil – dan ini telah membolehkan kita membiayai perkhidmatan-perkhidmatan utama bagi kebajikan Rakyat seperti BR1M dan baucar buku."Baca Seterusnya.

Tindakan YAB PM memberikan ruang kepada rakyat untuk sama-sama menyumbang idea membuktikan kerajaan sebenarnya komited dalam usaha untuk memastikan nasib rakyat terbela dan MMI yakin bahawa bajet 2013 sebenarnya adalah satu bajet yang menjurus kepada kebaikan seluruh rakyat Malaysia dan generasinya.

Melihat kepada satu laporan daripada portal berita dalam talian yang menjangkakan bajet yang akan dibentangkan nanti sebagai "Bajet Rakyat Tersenyum" sudah pasti memperkuatkan lagi apa yang MMI perkatakan.

KUALA LUMPUR – Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok dijangka akan menjadi ‘Bajet Rakyat Tersenyum’.

Ini kerana, seperti beberapa bajet yang dibentangkan sebelum ini di bawah pentadbiran Najib, Bajet 2013 juga akan padat dengan pelbagai hadiah istimewa kepada rakyat.

Sumber memberitahu Mynewshub, antara yang mungkin diumumkan ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk kali kedua.

Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membelanjakan lebih RM2 bilion untuk mengagihkan BR1M kepada 4.7 juta isi rumah.

Tahun ini, kerajaan Persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah bagi meringankan bebanan mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat di negara ini.

Selain itu, sumber berkenaan memberitahu, bonus untuk kakitangan awam juga berkemungkinan akan turut diumumkan.

“Sekurang-kurangnya setengah bulan bonus mungkin ada, ini tambahan kepada setengah bulan yang sudah pun diberikan sebelum hari raya baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sumber kedua pula memberitahu, kerajaan dijangka akan mengurangkan cukai dan duti ke atas kenderaan dengan kuasa enjin (cc) yang rendah.

Selain itu, Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) akan menerima lonjakan yang amat menarik dengan peruntukan bagi projek berkenaan dijangka dipertingkatkan 5 kali ganda jumlahnya berbanding peruntukan dalam bajet sebelum ini.

“Kami dengar pihak PRIMA mohon peruntukan 1 bilion dan dijangka ia akan diluluskan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan Pejabat Perdana Menteri menyebut, Najib akan membentangkan bajet yang memfokuskan kepada usaha untuk mengekalkan memontum pertumbuhan ekonomi negara.

“Perdana Menteri Najib Razak akan membentangkan pelan kewangan kerajaan bagi tahun akan datang, dalam satu bajet yang bertujuan untuk memperkukuhkan pertumbuhan dan memastikan Malaysia berada di landasan kewangan yang bertanggungjawab,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Berucap di Parlimen, Perdana Menteri memberitahu akan mengumumkan polisi yang bertujuan untuk mengekalkan permintaan tempatan di samping memastikan semua rakyat Malaysia mengalami peningkatan dari segi mutu kehidupan.

Dalam pada itu, seorang jurucakap kerajaan berkata;

“Di sebalik ketidak-tentuan ekonomi global, langkah-langkah yang diambil kerajaan telah berjaya memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang sedikit demi sedikit.

“Untuk meneruskan momentum itu, bajet esok akan terus melabur untuk masa depan jangka panjang – memperkukuhkan pertumbuhan, tetapi pada masa yang sama memperkuatkan komitmen kami ke arah tanggungjawab fiskal,” katanya. -Mynewshub.my

Apa pun untuk kepastian sama-samalah kita tunggu pembentangan oleh YAB PM petang nanti.

Menjadi harapan MMI untuk melihat bajet yang terbaik serta mampu meresapi kesetiap tubuh badan seluruh rakyat Malaysia dan yakinlah bajet ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk terus melihat Hari Esok Akan Lebih Baik Dari Hari Ini.

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels