Followers

Thursday, 25 October 2012

Apabila Media Menjadi Pengawal Demokrasi


Kepada semua penggiat media tak kiralah mana saluran sekalipun MMI sekadar mahu berkongsi satu rencana yang menarik untuk dibaca.Sekiranya ada yang malas nak baca tu kiranya anda perlu tanya diri balik sejauh mana aku dalam melaksanakan tuntutan saluran media dulu.kini dan selamanya haha amacam ???? Jom kita teruskan..

KADANG kali dilaporkan di sesebuah negara pelbagai kaum adalah analisis mengenai peranan pihak akhbar dan rangkaian stesen televisyen bila menyiarkan berita. Antara persoalan, 'berapa berita dan komentar mengenai golongan minoriti. Apakah seimbang?

Demikian berlaku di Amerika Syarikat yang majoriti rakyatnya kulit putih dan di samping itu minoriti warga Black-Americans, Latino dan kian meningkatnya bilangan keturunan Asia. Bagi kesemuanya media berita menjadi sumber maklumat utama peristiwa-peristiwa semasa.

Seperti disebut dalam buku terbaru Hate Crimes and Ethnoviolence majoriti penulis berita adalah warga kulit putih. Lalu dicatat kenyataan mendiang Katharine Graham, penerbit akhbar Washington Post dan majalah Newsweek: "Banyak perkara yang orang ramai umumnya tidak perlu tahu. Saya percaya bahawa demokrasi berkembang manakala kerajaan mengambil langkah-langkah yang sah untuk menyimpan rahsia-rahsianya, sementara akhbar boleh menentukan sama ada mahu menyiarkan segalanya yang ia tahu."

Juga dicatat bahawa para petugas penting pelbagai akhbar bandar-bandar raya yang besar "meneliti berita-berita tujuh kali lebih banyak daripada yang dibaca oleh pembaca akhbar."

Buku itu ditulis oleh Howard Ehrlich, pengarah The Prejudice Institute. Pada peringkat awal buku disebut betapa ramai warga Amerika tidak percaya bahawa diskriminasi terhadap golongan minoriti boleh menjadi masalah penting. Lahir adalah apa yang disebut olehnya sebagai culture of denial.

Menurutnya lagi, kajian-kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa media berita berupa saluran pertama bagi mengetahui pelbagai sikap antara kaum dan kenapa berlaku diskriminasi.

Majoriti editor dan pengurus media berita telah melantik diri mereka sendiri sebagai pengawal sistem demokrasi. Orang yang tidak puas hati dengan keadaan semasa dianggap pelampau, golongan sayap kiri dan anarkis. Mereka dianggap tidak mengetahui hal dan tidak mewakili majoriti rakyat.

Disebut sebagai contoh adalah keadaan di bandar Orlando, Florida yang mempunyai ramai penduduk golongan Latino. Siaran-siaran berita televisyen memberi gambaran mereka dicurigai melakukan jenayah.

Peranan

Di samping itu dalam siaran-siaran televisyen adalah peranan warga kulit putih sebagai pakar untuk memberi ulasan mengenai pelbagai hal yang berlaku.

Dicatat sebagai contoh adalah peristiwa yang berlaku pada 19 April 1995 manakala sebuah lori yang membawa beribu-ribu tan bom meletup di Oklahoma City. Seramai 166 orang mati, termasuk kanak-kanak dan 400 orang lagi cedera.

Belum pun lagi siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa media berita menyiarkan berita ke seluruh Amerika menuduh "pengganas-pengganas Timur Tengah" bertanggungjawab. Laporan-laporan tersebut disokong oleh sebilangan kecil "pakar-pakar anti-pengganas" yang dahulu berkhidmat dengan CIA.

Seperti kata Ehrlich dalam bukunya: "Sikap perkauman media berita jelas bersabit dua perkara, iaitu segera menuduh orang-orang Arab dan menafikan bahawa orang-orang Amerika terlibat dalam tindakan-tindakan keganasan."

Dipastikan kemudiannya bahawa tidak ada pihak asing menyerang Oklahoma dan yang sebenarnya melakukan hal adalah orang-orang Amerika dari sayap kanan politik. Mereka adalah dari golongan anti-kulit hitam dan bersikap seperti golongan Nazi.

Juga berlaku rusuhan antara kulit hitam dan kulit putih di Los Angeles dari 29 April hingga 2 Mei 1992 di Los Angeles. Seramai 52 orang ramai, kira-kira 8,000 cedera dan lebih 1,000 buah bangunan dibakar.

Seramai 12,000 orang ditangkap berikutannya dan beratus orang lagi dibuang negeri, iaitu termasuk golongan Latino.

Ada kala berlaku malapetaka semula jadi di Amerika. Menurut Ehrich, pada satu masa lampau Presiden Cuba, Fidel Castro menawarkan bantuan khidmat 1,586 doktor dan 26 tan perubatan, tetapi ditolak oleh Presiden Bush.

Sementara itu Presiden Hugo Cheverz dari Venezuela menawarkan bekalan minyak harga murah dan bekalan bantuan perikemanusiaan, tetapi juga ditolak. Akhirnya dicatat: "Pada akhir 2006, 26 peperangan besar berlaku di serata dunia. (Peperangan besar bererti lebih dari 1,000 orang mati dibunuh). Hampir semua berlaku kerana perselisihan antara kaum, agama dan kegiatan nasionalis."

Seperti telah dinyatakan manusia bukan hanya belajar daripada pengalaman sendiri tetapi juga pengalaman pihak-pihak lain. Semoga ini dilaksanakan. Dalam negara pelbagai kaum, agama dan budaya keadilan sama menjamin kestabilan abadi negara. Turut berperanan adalah media massa.

Oleh MAZLAN NORDIN

No comments:

Post a Comment

Labels