Followers

Thursday 10 January 2013

Kalimah Allah Bukan Untuk Bible Kristian !


SHAH ALAM: Ketua Dewan Syura Ulama PAS, Datuk Harun Taib menegaskan parti itu tidak akan bersetuju dengan sebarang cubaan  untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Harun berkata, walaupun penggunaan kalimah Allah dibolehkan untuk bukan Islam namun kalimah suci itu tidak boleh menjadi sebahagian daripada Bible versi bahasa Melayu.

"(Penggunaan kalimah Allah) bukan tak boleh diguna pakai (oleh penganut Kristian tetapi), saya rujuk kepada kenyataan Lim Guan Eng nak pakai dalam kitab Bible, nak tukar kalimah 'God' kepada kalimah Allah yang itu saya tak setuju,” beliau memberitahu Antarapos. 

Dewan Syura Ulama PAS akan bermesyuarat Sabtu ini untuk mengupas isu berkenaan yang semakin terpasak dalam politik tanah air menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. 

Kenyataan terbaru Harun itu ditunggu-tunggu setelah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menegaskan kalimah Allah boleh digunapakai oleh agama lain, sekali gus membayangkan beliau bersetuju ia digunakan dalam Bible Kristian. 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencetuskan semula kontroversi itu apabila mendesak Putrajaya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible di Semenanjung. 

Beberapa buah negeri termasuk Selangor menetapkan kalimah itu hanya boleh digunakan oleh penganut Islam demi mengelakkan kekeliruan dan pertikaian agama. 

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menegaskan kalimah Allah adalah untuk umat Islam sahaja dan menolak gesaan Guan Eng untuk ia digunakan dalam Bible. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat Ekonomi Selangor dilihat meremeh titah di raja itu apabila menuduh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebagai tidak adil dalam dalam menjalankan tugasnya. 

Harun berkata beliau akan membuat kenyataan lanjut selepas mesyuarat Majlis Syura Sabtu ini. 

"Saya tak akan buat komen baru kecuali lepas mesyuarat (Majlis Syura), sebelum mesyuarat saya tak komen. Komen (saya) yang lalu masih kekal,” kata beliau.

Bulan lalu, Harun berkata penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja. 

“Agama lain termasuk Kristian tidak berhak sama sekali menggunakan kalimah suci itu, apatah lagi untuk diguna pakai dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu,” katanya.

Sumber antarapos

MMI.

No comments:

Post a Comment

Labels