Followers

Thursday, 14 March 2013

Mengapa Rakyat Marahkan Tian Chua ?!


UCAPAN takziah dan al-fatihah kepada semua yang terkorban dalam insiden membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu terutamanya kepada keluarga yang pasti masih bersedih dengan kehilangan orang yang di sayangi.

Itulah harga yang perlu dibayar untuk menjaga kedaulatan negara daripada ancaman dan pencerobohan yang dilakukan, sesuatu yang perlu kita insafi, tidak ada orang yang berakal waras mahu melihat pertumbahan darah sebegini.

Dalam insiden di Kampung Tanduo, Malaysia telah memperlihatkan keperibadian sebagai Negara budiman apabila menggunakan pendekatan lembut dan diplomatik bagi menyelesaikan krisis yang akhirnya berlarutan tiga minggu.

Mungkin ibaratnya menarik rambut dari dalam tepung, begitulah yang diperlihatkan, tetapi kelihatannya pihak penceroboh yang kononnya mewakili Sultan Sulu umpama naik tocang dan mahu mengambil kesempatan daripada pendekatan lembut dan diplomatik.

Seperti yang dinyatakan, kerajaan jelas mahu krisis atau kekalutan yang tercetus diselesaikan secara baik dan berhemah, namun pada akhirnya darah sudah tertumpah.

Sebenarnya, perkara yang mahu dinyatakan di sini adalah sikap sebahagian daripada rakyat Malaysia apabila berdepan dengan krisis ini, seperti melatah dan melenting, seperti terkinja-kinja lalu membuat pelbagai andaian dan mereka cerita.

Lebih parah lagi apabila ada yang melihat dalam skop politik lalu meletakkan kesalahan kepada kerajaan semasa yang dilihat gagal dan lemah dalam mengendalikan krisis ini. Mahu dinyatakan di sini, isu seperti ini tidak sama seperti kes di Sauk atau Memali kerana pihak berkuasa negara perlu berurusan dengan suatu pihak daripada negara luar.

Sewajarnya, pendekatan yang diambil daripada sudut positif, tidak dengan menuding telunjuk seolah-olah pihak keselamatan kita lemah dan gagal mengambil langkah terbaik, sedang langkah kekerasan jika boleh menamatkan krisis ini pada tahap yang cepat akan memberi parut besar.

Namun, yang paling dikesal ialah sikap ahli politik yang mengaitkan krisis ini dengan parti politik lawannya, yang sebenarnya merupakan langkah dangkal dan pemikiran cetek, malah amat mendukacitakan kerana kenyataan bersifat politik kepartian itu timbul daripada penggubal undang-undang.

Tian Chua, Ahli Parlimen Batu dalam kenyataanya kepada portal berita Keadilan Daily telah meletakkan krisis dengan kumpulan penceroboh bersenjata Filipina sebagai konspirasi terancang UMNO mahu menakut-nakutkan rakyat.

Menakut-nakutkan rakyat? Apakah gila gerangannya jika UMNO dan pemimpin negara mahu mencetuskan suasana kacau membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara di suatu sudut negara.

Tian Chua selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewajarnya berfikir secara matang, bukannya membuat andaian berasaskan politik kepartian dengan mereka cerita salah mengenai lawan politik.

Beliau juga sewajarnya tidak bertindak sebagai seorang aktivis atau ahli politik berfikiran sempit dengan melontarkan tuduhan yang tidak diketahui kebenaran, dan dalam krisis di Felda Sahabat ini, ahli politik ini tidak mempunyai asas logika dalam berhujah.

Sebagai ahli politik yang diangkat oleh pengundi di kawasannya, Tian Chua sewajarnya berfikir dan bertindak sebagai seorang negarawan, jika tidak sebagai ahli politik bertanggungjawab dan berwibawa, bukannya sang oportunis mencari lompang untuk menyerang lawan politik dengan dakwaan yang sebenarnya tidak berasas.

Mencari populariti seperti yang dilakukan oleh Yang Berhormat ini sebenarnya suatu tindakan tidak bertanggungjawab dan bukan kerja orang yang budiman, tetapi serupa pengganas politik yang mencari ruang menyerang lawan dengan segala kekarutan.

Beliau sepatutnya lebih bertanggungjawab dan tidak bersikap terdesak dengan membuat dakwaan murahan yang tidak membantu dalam menyelesaikan krisis, kekusutan dan juga ketakutan yang dialami oleh pihak terbabit, seperti penduduk di sekitar Kampung Tanduo dan Lahad Datu, amnya. Bertolak daripada dakwaan yang dilemparkan, sayugia mahu dinyatakan harapan untuk melihat wakil rakyat ini berubah fikiran bahawa beliau bukan lagi seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan seperti ketika tindakannya duduk di atas jalan raya.

Jadilah seorang ahli politik yang matang dan bijak kerana setiap tindakan, perbuatan dan percakapan akan memaparkan apakah nilai dan rupa diri kita di depan orang lain, terutamanya pengundi.

Beralih daripada dakwaan karut Ahli Parlimen Batu ini, terdedah sikap rakyat Malaysia khususnya di ruang siber dan media sosial sepanjang krisis ini berlangsung, dengan kebanyakannya melonggokkan kesalahan kepada kerajaan semasa.

Apakah logika yang digunakan oleh kelompok ini yang kebanyakannya penyokong pembangkang atau Pakatan mahu meletakkan kesalahan kepada kerajaan seolah-olah kerajaan tidak pandai atau tidak tahu berurusan dan bertindak.

Kebanyakan respons golongan yang menentang kerajaan ini lebih merupakan lontaran orang yang menjadikan perbuatan menghentam kerajaan sebagai hobi dan orang yang tidak mempunyai idea bernas dan akal.

Dalam hidup yang dikatakan maklumat di hujung cari, ternyata golongan kaki hentam ini adalah golongan kebal maklumat kerana maklumat yang datang tidak dicerna dan hadam, sebaliknya dipantul atau dilantunkan balik.

Dalam konteks politik pula, golongan ini lebih suka menghentam dan membantai untuk memuaskan nafsu anutan politik kepartian dan melihat segala peluang dan lompong yang ada untuk memburukkan kerajaan.

Akhir sekali, krisis membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata Filipina ini bukanlah isu politik domestik dan kepartian, sebaliknya hal keselamatan yang bersangkutan dengan kedaulatan sempadan negara.

Maka berfikirlah kita dengan cara seorang ahli keselamatan negara atau negarawan, bukan pemalu gendang politik kepartian sempit dan tidak bertanggungjawab.

Natijahnya rakyat yang jauh lebih waras dari Yang Berhormat bangun mencela dan menyatakan kebencian mereka terhadap tindakan tidak berasas beliau dengan membuat laporan polis.

Hasilnya Tian Chua hari ini berada di mahkamah.

sumber mysuara.net 

MMI.

1 comment:

  1. Akhirnya prinsip pembangkang memakan diri.."setiap kesalahan disalahkan pd UMNO"..inilah natijahnya buat puak2 pembangkang yg x boleh pakai!

    ReplyDelete

Labels