Saya seratus peratus setuju atas cadangan beberapa pihak yang menyeru supaya Akta Komunikasi dan Multimedia dipinda dan tindakan tegas serta segera diambil terhadap Red Bean Army yang membuat komen dan tohmahan melampau yang berniat jahat untuk memusnahkan keharmonian rakyat sejak kebelakangan ini terutamanya enam bulan sebelum PRU-13.
Malah, selepas PRU-13, oleh kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa pakatan rakyat (PR) ditolak oleh rakyat dan gagal menawan Putrajaya, kumpulan Red Bean Army terus melontar fitnah bertujuan mengapi-apikan rakyat khususnya golongan Cina supaya tidak menerima keputusan PRU-13.
Sebagai contoh, pusat pengiraan undi di kawasan Bentong (didakwa berlaku kejadian bekalan elektrik terputus) sedangkan insiden itu tidak berlaku dan ini juga disahkan oleh salah seorang ejen pengira undi pakatan rakyat, tetapi kumpulan Red Bean Army tidak berhenti-henti membuat tuduhan melulu terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengutuk SPR kerana berpihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memanipulasi keputusan pilihan raya kawasan Bentong.
Mujurlah saya dapat menguasai bahasa Cina iaitu bahasa pengantaraan yang secara meluas digunakan oleh kumpulan Red Bean Army di laman siber yang bukan saja menyerang tokoh-tokoh politik malah media-media Cina yang melaporkan berita yang kononnya tidak 'sedap' dibaca oleh mereka walaupun kandungan berita adalah jitu dan tepat.
Pada pendapat saya, kelakuan kumpulan Red Bean Army bertujuan 'merampas' (hijack) hak bersuara media-media supaya segala berita yang dilaporkan mengikut cita rasa mereka iaitu memburuk-burukkan kepimpinan BN dan mengangkat tinggi pakatan rakyat.
Contoh yang nyata ialah siri perhimpunan 'Blackout 505', pemimpin-pemimpin pakatan rakyat lazimnya akan melipatgandakan angka orang ramai yang hadir yang langsung tidak masuk akal, tetapi angka yang diumum oleh para pemimpin pakatan rakyat harus dipapar tanpa dipertikaikan, sekiranya tidak, media berkenaan akan dikecam sekuat-kuatnya di laman siber.
Amat terkejut juga saya terbaca kononnya perbelanjaan kumpulan Red Bean Army dibiayai oleh dua buah kerajaan pakatan rakyat. Sekiranya ini adalah benar, ia merupakan perkara yang amat menyedihkan.
Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyiasat secara mendalam dakwaan itu dan memperbetulkan keadaan.
Sebagai anak Malaysia yang cintakan keharmonian dan menjunjung tinggi hak kebebasan dunia siber, kita harus bersuara dengan betul, bernas dan penuh tanggungjawab, segala niat jahat terutama yang bertujuan merosakkan keamanan langsung tidak dapat diterima dan harus dikikis secepat mungkin.
Kita harus ingat, kebebasan bersuara di siber bukan bererti kita mempunyai hak untuk mencipta kekecohan, mencaci sesuka hati, membohong yang bukan-bukan, mereka cerita palsu, menyuntik rasa kebencian yang merosakkan keadaan aman negara sekali gus mengundang pelbagai ancaman.
Hak kebebasan bersuara dan bertulis di laman siber mesti ada batas dan hadnya, janganlah dibiarkan seperti api merebak yang hilang kawalan, akhirnya akan membawa padah kepada kita semua.
KEVIN J.C. CHUAH
Pulau Pinang
sumber utusan
No comments:
Post a Comment