KENYATAAN Ahli Parlimen DAP Kampar, Dr. Ko Chung Sen yang menggesa Kementerian Pendidikan mengeluarkan subjek wajib Tamadun Islam kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPTA) menunjukkan ketidakfahaman beliau mengenai isu tamadun.
Subjek itu diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau dalam Kabinet. Sepatutnya Chung Sen bertanya beliau dulu apa rasional subjek ini diperkenalkan di IPTA.
Setahu penulis subjek ini diperkenalkan dengan maksud memberi pengetahuan yang lebih luas bagi masyarakat pelajar aspek ketamadunan Islam bukannya bermaksud melakukan indoktrinasi.
Di Universiti Malaya diperkenalkan juga subjek Pengajian Asia yang merangkum pengetahuan tamadun-tamadun di Asia termasuk tamadun China.
Ia adalah baik untuk memberi tahu pelajar pentingnya pengajian tamadun sebagai mata rantai mengetahui perubahan silam supaya para pelajar bersikap reflektif dan terbuka untuk memahami tamadun lain.
Seperti juga Dialog Antara Agama yang memperlihatkan pentingnya etika dan nilai-nilai yang universal disemarakkan supaya ia menjadi faktor interaktif yang tinggi dalam kalangan masyarakat majmuk.
Dalam konteks generasi muda di Malaysia, mengetahui tamadun yang sifatnya menyumbang kepada umat manusia adalah sesuatu yang dituntut. Dalam tradisi Islam memanfaatkan faedah berbanding dari tamadun orang lain adalah harus.
Malaysia yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaannya memiliki kewajaran untuk di ketahui oleh setiap warganegaranya.
Salah faham terhadap Islam sering terjadi. Islam digambarkan sebagai agama ekstrem dan pelampau sedangkan ajaran Islam membawa kepada kesederhanaan. Kalau terlihat sebahagian kecil penganut Islam bersikap sedemikian, ia bukanlah ajaran Islam.
Tamadun Islam yang berkembang di zaman Abbasiah, Andalusia dan Othmaniah umpamanya banyak memberi sumbangan kepada dunia Eropah terutamanya dalam bidang matematik, astronomi, sains dan perubatan.
Mempelajari sejarah ini dengan sendirinya menghakis pandangan sesetengah pihak bahawa Islam itu agama ritual semata-mata bukannya agama yang mencetuskan perubahan dan tamadun.
Pada suatu ketika dulu orang Barat cuba tidak mengaitkan sumbangan Islam terhadap perubahan yang mereka lalui.
Kenyataan sejarah tamadun menunjukkan bahawa ribuan kitab-kitab besar Islam diterjemahkan ke bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew dan menjadikan karya saintis Islam sebagai rujukan berabad-abad.
India dan China juga menghasilkan tamadun dan ia elok dipelajari supaya kefahaman interaktif berlaku. Al Biruni seorang ilmuwan Islam suatu ketika dulu datang ke India mempelajari bahasa Hindi untuk mengetahui ilmu-ilmu yang bersifat saintifik orang-orang India.
Nabi Muhammad SAW menganjurkan kepada umatnya menuntut ilmu sehingga ke negeri Cina (ada yang mengatakan ia athar bukan hadis). Ilmu membuat kertas dan alat mesin cetak antara yang terdapat di negeri Cina. Ia berguna untuk membangun khazanah ilmu dan teknologi percetakan.
Pemahaman Antara Tamadun ini amat dituntut dalam konteks pendidikan di Malaysia. Cadangan Ahli Parlimen DAP ini adalah langkah mundur ke belakang.
Sepatutnya beliau mencadangkan pengajian Antara Tamadun diperkenalkan supaya dalam konteks masyarakat majmuk generasi muda dididik dengan sikap menghargai tamadun.
Penulis tidak faham apakah maksud sebenar kenyataan ahli Parlimen ini. Tidak salah mempelajari Tamadun Islam di IPTA kerana agama Islam dianut oleh majoriti masyarakat di Malaysia.
Lagi pun mempelajari Tamadun Islam ialah mempelajari aspek kemajuan silamnya terutama dalam bidang sains dan teknologi.
Kalau kenyataan itu dibuat atas asas prasangka agama, orang yang terbaik ditanya atau diminta penjelasan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanggungjawab memperkenalkannya dulu.
Atau mungkin ia memang sikap DAP mengungkit apa saja perkara yang berkaitan dengan Islam. Negara Islam dan hudud Pas ditentang walaupun mereka sepakat dalam politik.
Apakah ini membayangkan DAP yang memperjuangkan faham sosialis demokratik sekular tidak mahu Malaysia menjadikan Islam berkembang dalam sistem seperti yang berlaku kepada undang-undang syariah, dalam tijarah atau bisnes juga.
Dalam muamalah dan sistem perbankannya. Kalau ini maksudnya, apa perlu Pas menunggu lebih lama berkawan dengan DAP kerana DAP selamanya mempertikai kedudukan Islam.sumber
MMI
No comments:
Post a Comment