Followers

Friday, 27 September 2013

Pemilihan MT Rayuan @tunfaisal Bukan Soal Pemilihan Semata-Mata #TFourhope


Isu berkenaan pencalonan Tun Faisal dalam pemilihan di peringkat MT mendapat reaksi dari pelbagai pihak.MMI antara yang terkejut dengan berita pencalonan Tun Faisal di gugurkan namun sejak bermulanya isu ini banyak pihak tidak mendapat maklumat yang sebenar dan kini Tun Faisal sudah pun membuat kenyataan seperti di bawah..

Tun Faisal

Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan yang diberikan terhadap diri saya dalam isu Calon Ahli Majlis Tertinggi. Saya amat-amat menghargainya. Cuma saya berharap kita semua dapat bertenang kerana saya di dalam proses membuat rayuan mengenainya. Jika boleh, biarlah pandangan dan hujah untuk menyokong atau tidak menyokong diberikan tanpa perlu mengaitkan mana-mana pihak.

Tidak timbul soal saya tidak mengembalikan Borang Pendaftaran Calon kerana borang tersebut sudah dikembalikan di hadapan puluhan saksi di PWTC pada hari Sabtu 21 September 2013.

Tidak timbul juga soal saya tidak merujuk kepada mana-mana pihak sebelum menawarkan diri dan mengembalikan Borang Pendaftaran Calon kerana saya telah merujuk kepada pelbagai pihak termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Malaysia, Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli bin Tan Sri Mohamed Ghazali.

Saya terkejut bila dimaklumkan bahawa nama saya digugurkan. Saya percaya walau apapun alasannya, adalah menjadi tanggung jawab saya untuk membuat rayuan terhadap keputusan ini.

Pertamanya, elok jika kita betulkan terlebih dahulu niat dalam membuat rayuan ini. Rayuan ini bukan mengenai keinginan saya untuk bertanding dan berebut jawatan, sebaliknya bagi menunjukkan kesungguhan di dalam usaha menawarkan diri bertanding di peringkat yang lebih tinggi agar saya dapat memberi sumbangan yang lebih berkesan terhadap usaha menyegarkan dan meremajakan parti serta membantu di dalam perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

Kedua, rayuan ini bagi menunjukkan kesungguhan kerana saya membawa amanah dan nama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam pemilihan peringkat tertinggi parti. Tidak wajar untuk sekadar menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan UMNO Malaysia tanpa sebarang usaha untuk mempertahankan diri dan mengemukakan pendirian saya.

Ketiga, rayuan ini juga bukan tentang saya, Pemuda UMNO dan pemilihan tahun 2013 semata-mata, sebaliknya, ia juga tentang kes yang akan menjadi rujukan atau `precedent' bagi kes-kes seperti ini di masa akan datang. Jelasnya, bukan setiap orang pemimpin pergerakan Pemuda dan bakal Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia penggal 2013-2016 yang telah menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian atau sedang bertanding di peringkat Jawatankuasa Bahagian di Bahagian masing-masing. Kes ini akan menentukan sama ada mereka boleh menwarkan diri ke peringkat Majlis Tertinggi pada masa hadapan ataupun tersangkut atas alasan yang sama.

Keempat, rayuan ini adalah tentang nilai dan kedudukan jawatan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berbanding Ahli Jawatankuasa Bahagian; iaitu sama ada kedudukan jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia lebih berwibawa atau lebih rendah kewibawaannya berbanding Ahli Jawatankuasa Bahagian.

Kelima, rayuan ini adalah untuk mengembalikan tafsiran terhadap Perlembagaan UMNO kepada semangat asal dan tujuan pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun 2009, iaitu menjadikan UMNO lebih demokratik, terbuka dan inklusif.

Saya akan menyampaikan surat rayuan ini kepada Timbalan Presiden Parti, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Setiausaha Politik beliau selepas solat Jumaat esok. Soal rayuan ini diterima atau tidak, itu soal kedua. Yang penting, pendirian dalam hal ini perlu diangkat dan saya berterima kasih kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Razali Ibrahim yang turut menyokong saya dalam hal ini.tunfaisal

MMI memberikan sokongan penuh kepada Tun untuk bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan 2013-2016.Sebagai anak muda yang selama ini bertungkus-lumus membantu parti rasanya Tun Faisal perlu di berikan ruang dan peluang untuk meneruskan khidmatnya di peringkat yang lebih tinggi.

Apa pun MMI menghormati kenyataan Tun , sama-sama kita nantikan keputusan rayuan yang di buat oleh Tun Faisal semoga segalanya di permudahkan.

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels