Hanya tinggal beberapa hari saja lagi kita akan melangkah ke tahun baru.
Namun terdapat khabar angin mengatakan hampir 5,000 mat rempit dari seluruh negara dijangka akan membanjiri bandaraya negeri ini bagi sambutan tahun baru 2014.
Khabar angin terbabit diperoleh melalui beberapa kakitangan hotel dan juga penduduk di sekitar negeri ini.
Perkara itu bukanlah sesuatu yang baru memandangkan beberapa tahun kebelakangan ini Pulau Pinang juga menjadi tumpuan kumpulan bermotosikal berkenaan untuk sambutan tahun baru 2012 dan 2013.
Pada awal tahun ini, beberapa lokasi tumpuan seperti Batu Ferringhi, Persiaran Gurney dan Queensbay Mall menjadi tumpuan hampir 3,000 mat rempit yang datang dari pelbagai negeri termasuk Kedah, Selangor, Johor dan juga Pahang.
Beberapa kakitangan hotel di sekitar kawasan Batu Ferringhi memberitahu kebanyakan bilik di hotel bajet mahupun hotel bertaraf tiga bintang sudah ditempah kumpulan berkenaan untuk dijadikan lokasi penginapan sementara menunggu tahun baru.
Seorang pekerja di situ berkata, sememangnya ia adalah perkara positif kerana mendatangkan keuntungan kepada pemilik hotel dan pekerja namun ada juga kesan negatifnya.
Menurutnya, tidak semua mat rempit itu berperangai tidak senonoh, namun sikap segelintirnya menyebabkan ada yang mencemuh.
“Seperti tahun lalu ketika menyambut tahun baru, terdapat satu kes yang mana terdapat sekumpulan geng bermotosikal mencuri kad kredit pelancong daripada Singapura ketika membeli pakaian di sebuah hotel,” katanya.
Menceritakan hal terbabit, kejadian berlaku ketika orang ramai sedang beratur untuk membayar pakaian yang dibeli dan seorang pelanggan meletakkan kad kredit mereka di atas pakaian yang mahu dibeli.
Disebabkan terlalu ramai pelanggan, ada antara kumpulan lelaki bermotosikal itu mengambil kad berkenaan secara senyap-senyap dan menyorokkannya di dalam poket seluar.
Kejadian itu berjaya dirakamkan melalui rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) walaupun tiada kakitangan hotel yang menyedarinya.
“Ketika pelancong dari Singapura itu menghubungi pihak bank untuk menghentikan sebarang urus niaga, pihak bank sudah memaklumkan ada transaksi sebanyak RM200 dilakukan di sebuah stesen minyak.
“Itu dalam tempoh kurang 20 minit mereka berjaya buat sebegitu, jadi kehadiran mereka sebenarnya ada positif dan negatifnya,” katanya.
Antara perkara negatif lain termasuk tangkapan maksiat yang dilakukan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) di beberapa hotel bajet yang dipercayai menjadi sarang perbuatan tidak bermoral.
Dalam kenyataan pegawai berkenaan, serbuan dilakukan sekitar jam 2 pagi dan mendapati tujuh pasangan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 iaitu atas kesalahan berkhalwat.
Penduduk, Mohd Jasmari Jazlan berkata, kehadiran kumpulan bermotosikal ini sedikit sebanyak mengganggu keluarga yang membawa anak-anak menyambut tahun baru.
Menurutnya, kehadiran mat rempit ketika memandu kenderaan juga begitu merimaskan.
“Saya harap pihak polis ambil tindakan, kalau boleh jangan bagi mereka muka, adakan sekatan jalan raya supaya ada sikit rasa takut,” katanya.sumber metro
MMI
No comments:
Post a Comment