Followers

Thursday 8 May 2014

Mansuhkan Ruang Kaum Dalam Borang Rasmi - Tidak Ada Sebarang Keputusan Di Buat KABINET


Kabinet tiada membuat keputusan untuk memansuhkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, tiada perubahan dasar kerajaan berhubung borang itu.

"Kami ada bincang perkara ini tetapi keputusannya adalah mengekalkan amalan dan dasar sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Umno Taiping di sini Khamis.

Najib mengulas laporan akhbar pada Khamis yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun sebagai berkata, jemaah menteri telah memutuskan untuk menggugurkan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tiada nilai tambah.

Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan Entulu akan membuat kenyataan memohon maaf atas kesilapan kenyataan pada Rabu.

"Dari segi perangkaan, kita perlu kepada perkara ini (ruangan kaum). Kalau tidak, kita tidak ada perangkaan (kaum)," katanya. 

Najib menjelaskan bahawa perangkaan kaum itu perlu bagi memudahkan kerajaan memantau kemajuan setiap kaum di negara ini.

"Kalau ada mana-mana kaum yang ketinggalan, itu adalah tanggungjawab kerajaan untuk lakukan apa-apa yang patut supaya kekayaan dan peluang dalam negara kita lebih seimbang," katanya. 

Sementara itu Menteri berkenaan turut di laporkan membuat permohonan maaf berikutan kekeliruan yang timbul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun pada Khamis memohon maaf atas kekeliruan yang timbul berikutan laporan tentang pengguguran ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan yang tidak memberi nilai tambah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata perkara itu ada dibincangkan dalam Kabinet namun tiada sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata laporan akhbar yang menyiarkan berita berkenaan tidak mencerminkan kenyataan sebenar yang dibuat olehnya semalam.

"Laporan yang tidak tepat ini telah menimbulkan keresahan dalam masyarakat," kata Entulu dalam kenyataan ringkasnya itu.Baca Selanjutnya 

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels