Polis kini melancarkan 'Ops Godam ATM' melibatkan pasukan khas daripada Polis Bukit Aman dan polis kontinjen negeri berkaitan susulan beberapa insiden Mesin Teler Automatik (ATM) digodam mengakibatkan lebih RM1 juta lesap setakat ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)(Jenayah Siber dan Multimedia) Senior Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din berkata, penjenayah yang terlibat akan diburu secara besar-besaran.
Menurutnya, polis percaya anggota sindiket yang dikatakan berasal dari Amerika Latin dan Asia Barat itu masih berada di negara ini.
"Justeru, kami mengaktifkan pemantauan di setiap pintu masuk negara sama ada melalui jalan darat, laluan laut dan laluan udara," katanya kepada Bernama hari ini.
Terbaharu, polis menerima satu lagi laporan berhubung kejadian menggodam mesin ATM melibatkan cawangan sebuah bank di Kota Damansara, mengakibatkan kecurian kira-kira RM300,000.
Terdahulu, Affin Bank dalam kenyataan hari ini berkata sejumlah RM1.271 juta dicuri daripada enam mesin ATM kepunyaan Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad di Johor, Melaka dan Selangor.
Mesin ATM terbabit terletak di Johor Bahru, Batu Pahat dan Taman Molek di Johor; Melaka Raya; selain PJ State dan USJ di Selangor.
Bank itu berkata data pelanggan bagaimanapun tidak diganggu atau dikompromi.
Menurut polis, insiden di Kota Damansara itu melibatkan kecurian wang dalam satu mesin ATM walaupun dua ATM didapati diusik penjenayah.
Secara kasar, tujuh mesin ATM milik dua kumpulan perbankan digodam, dipercayai menggunakan sim kad telefon dan sistem teknologi tertentu, sejak Sabtu lepas.
Menurut Mohd Kamarudin, pihak bank terlibat sedang menjalankan semakan bagi menentukan tarikh sebenar kejadian yang menimpa institusi masing-masing.
Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata gambar suspek hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kini disebarkan di seluruh negara termasuk bagi tujuan pemantauan di pintu masuk.
Menurutnya, belum ada tangkapan dibuat dan identiti suspek masih belum dikenal pasti. - Bernama
Makin menjadi-jadi sekarang ni , kepada semua hati-hati melakukan sebarang transaksi pencuri sekarang bukan macam dulu !!
MMI
No comments:
Post a Comment