Isyarat yang disampaikan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melalui perhimpunan sayap itu yang berakhir semalam jelas menunjukkan komitmen jitu barisan pemuda untuk terus memacu parti keramat orang Melayu ini agar menjadi lebih kukuh dan kekal relevan sebagai penaung kepada orang-orang Melayu.
Ahli Pergerakan Pemuda UMNO diingatkan supaya tidak ‘menswastakan’ perjuangan untuk membela Melayu dan bumiputera kepada mana-mana pihak atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun berkata, pergerakan tersebut perlu berada di barisan hadapan dan menjadi pejuang kepada Melayu serta bumiputera sampai bila-bila.
Beliau bagaimanapun berkata, Pemuda UMNO akan sentiasa berada dalam nilai-nilai kesederhanaan dan menolak anasir radikal serta ekstremis yang boleh menggugat perpaduan rakyat.
"Saya akan bercakap sampai bila-bila mengenai kesederhanaan kerana saya tidak mahu negara kita akhirnya dipimpin oleh golongan hipokrit yang mengelirukan bukan sahaja diri sendiri tetapi juga ahli UMNO dan orang Melayu, rakyat majoriti negara kita.
"Kekeliruan ini menyebabkan persepsi yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri semalam apabila UMNO dilihat begitu lemah dan dipayungi oleh NGO radikal yang seolah-olah kita tidak ada langsung peranan dan tanggungjawab, bukankah selama ini kita mempertahankan kesucian agama Islam dan memperjuangkan untung nasib orang Melayu di negara kita.
“Jangan sekali-kali menswastakan perjuangan untung nasib orang Melayu ini kepada mana-mana pihak melainkan hanya Pemuda UMNO, kita akan menjadi pejuang sampai bila-bila,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Sementara itu, Khairul Azwan berkata, peremajaan parti harus bermula dengan perubahan pemikiran ahli-ahli UMNO dan tidak berada di takuk lama.
Katanya, UMNO perlu bergerak seiring dengan gaya hidup digital yang diamalkan oleh generasi muda sejak hampir 10 tahun lalu.
“Peremajaan parti mesti berlaku dalam konteks peremajaan minda, hal ini tak guna kalau kita mempunyai ramai pemimpin pemuda yang kita ketengahkan tetapi pemikiran kita di takuk lama, pemikiran kolot masih kita amalkan," katanya. UM
MMI
No comments:
Post a Comment