Followers

Thursday, 20 November 2014

Menjelang PAU2014 Apa Kata @Khairykj


KETIKA era kepemimpinan Datuk Harun Idris selaku Ketua Pemuda UMNO, sayap parti itu dilihat begitu gah bangkit selaku kumpulan pendesak menghadapi pergolakan politik pada tahun 1960-an.

Kini, Pemuda di bawah kepemimpinan Khairy Jamaluddin Abu Bakar jelas mempunyai ramuan membentuk acuan tersendiri kerana baginya, setiap era adalah berbeza. UMNO khasnya Pemuda menghadapi perang siber dan dilema membetulkan persepsi rakyat terhadap parti keramat itu serta mengharapkan orang muda diberi lebih banyak ruang. Wartawan BH, MOHD AZIS NGAH mendapatkan penjelasan Ahli Parlimen Rembau, Negeri Sembilan merangkap Menteri Belia dan Sukan ini yang menekankan orang muda adalah harapan masa depan, bukannya ancaman termasuk kepada pemimpin sedia ada.

Wartawan: Beberapa negeri sudah mengadakan konvensyen UMNO bertujuan mencari isu atau usul baharu yang bakal dibentangkan sempena perhimpunan agung kali ini. Berapa banyak isu dibawa Pemuda yang dijangka akan memberi impak besar kepada perwakilan.

Khairy Jamaluddin: Setakat ini, tiga negeri sudah melaksanakan konvensyen iaitu Selangor, Terengganu dan Johor. Kemungkinan rumusan konvensyen pada peringkat negeri itu akan dibawa Pemuda ke peringkat nasional untuk diperbahaskan. Bagi saya, banyak tema yang dibaca melalui media dilihat relevan dengan Pemuda. Contohnya, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) ketika di konvensyen Johor menyatakan kesediaan UMNO untuk memberi lebih ruang kepada golongan muda. Kenapa kita masih bercakap mengenai perkara sama sejak sekian lama. Selepas beberapa tahun kita masih membangkitkan isu itu. Jawapannya ialah kerana kita tiada kemajuan dalam perkara itu. Kalau tidak, tak akan Presiden bercakap perkara sama dan itu perkara penting yang sering dibangkitkan Pemuda, bahawa proses peremajaan itu masih di bibir atau percakapan sahaja, tetapi tidak dipraktikkan. Bagi saya itu adalah mesej jelas yang dikemukakan melalui konvensyen. Kami harap ia bukan sekadar retorik, tetapi menjadi kenyataan.

S: Kenapa proses peremajaan itu tidak berkesan, adakah kerana tiada tindakan susulan?

J: Dalam peremajaan parti ini mungkin mereka kata kita sudah mengetengahkan calon dalam pilihan raya. Tetapi bagi saya, secara keseluruhan imej UMNO masih lagi imej parti yang tidak berapa mesra kepada generasi muda berbanding parti lawan. Parti lawan masih banyak cacat cela, tetapi dalam hal ketengahkan orang muda ini, saya rasa mereka sudah ke depan. Kita kena terima hakikat. Apabila kita minta Pemuda dan Puteri menambahkan sokongan dalam kalangan orang muda, tetapi parti induk sendiri tidak mempraktikkan peremajaan itu, maka kita berada dalam keadaan paradoks.

S: Adakah usaha menambah keahlian baharu dan pengundi baharu itu juga dianggap proses peremajaan?

J: Soal penambahan ahli, itu kerja biasa yang kita buat, tiada masalah. Kita tambah kira-kira 1,000 ahli atau pengundi baharu setiap bulan. Tetapi itu bukan faktor utama, itu rutin dan ia memang berkesan. Kita perlukan lonjakan luar biasa. Inilah masanya untuk menonjolkan pemimpin muda dan saya rasa Presiden mahu melakukan perkara itu, tetapi beliau berdepan halangan daripada sesetengah pihak yang tidak mahu memberi laluan.

S: Maksudnya, orang lama?

J: Bukan semua orang lama. Saya tak pernah kata kita perlu ganti semuanya. Maksudnya kita perlukan kombinasi yang hebat, orang lama dan baharu. Sekarang kita tiada kombinasi. Kita lihat jika Presiden diberi kuasa penuh dalam hal ini, beliau akan lakukan. Contohnya lantikan Ahli Majlis Tertinggi (MT), Presiden melantik tiga wakil orang muda ke dalam parti. Itu kuasa lantikan mutlak. Tetapi kini soalnya ialah ia di luar bidang kuasa Presiden kerana pemilihan adalah terbuka, bukan semua yang boleh dilantik Presiden.

S: Jadi, peringkat bawahan (pemimpin) tak bersedia menerima orang muda?

J: Saya tak nak buat kenyataan umum begitu kerana ramai pemimpin negeri, bahagian yang banyak bagi peluang kepada orang muda. Cuma sekarang ialah lebih banyak wujudkan persepsi seolah-olah perkara itu tidak mencukupi.

S: Adakah disebabkan wujud persepsi orang muda ini adalah ancaman kepada pemimpin lama?

J: Saya katakan, janganlah anggap orang muda sebagai ancaman, tetapi kena anggap sebagai harapan masa depan. Kita perlukan bimbingan orang lama. Lihat di bahagian saya sendiri, Ketua Bahagian adalah Menteri Besar Negeri Sembilan, (Datuk Seri Mohamad Hasan), beliau bawa saya daripada Ketua Pemuda Bahagian sehinggalah ke hari ini sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Menteri Kabinet dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Beliau tak pernah menyekat dan saya tahu beliau adalah bos saya, jadi kenapa nak cari pasal dengan bos. Itu kombinasi yang baik. Bagaimana saya sendiri ada pengalaman di mana saya mempunyai seorang ketua bahagian yang menjadi mentor dan menganggap saya sebagai harapan dan membimbing saya. Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana ada pemimpin lama yang sanggup membimbing dengan baik.

S: Jika perkara ini tak boleh diselesaikan, mungkin UMNO perlukan mekanisme baharu termasuk mengadakan had tempoh tertentu.

J: Saya pun tak tahu. Setiap bahagian ada cara masing-masing, cuma sebagai Ketua Pemuda, saya membuat penilaian umum apabila ditanya kenapa susah sangat orang muda nak sokong UMNO, saya jawab itu tidak betul. Ramai yang sokong cuma tidak sampai ke tahap memuaskan. Disebabkan apa, perkara seperti inilah. Bukan nak kata UMNO tak baik dan puji pembangkang, cuma kita perlukan perubahan. Lihat bagaimana DAP mengetengahkan calon muda, Dyana Sofya Mohd Daud untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan, Perak, itu satu perubahan besar. Disebabkan dia diangkat, tiba-tiba Dyana menjadi ikon dan kita juga boleh melakukan perkara sama. Kita perlu tambah calon muda untuk diketengahkan. Pembangkang tonjolkan ramai pemimpin muda, walaupun secara individu mereka tidak sehebat kita, tetapi sebagai satu kumpulan, nampak mereka ada generasi yang ditonjolkan.

S: Mungkin ada cara lain nak tonjolkan pemimpin muda selain jadi calon pilihan raya.

J: Boleh. Tak semestinya dipilih sebagai calon. Ketika sesi Town Hall (di PWTC), kita bangkitkan soal pelantikan ahli lembaga Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang banyak didominasi bekas penjawat awam, ahli politik dan lain-lain. Janganlah sampai semua jawatan dalam GLC dihadkan sebagai rumah orang pencen saja, kena bagi juga kepada generasi muda. Kena ada tempat bagi pendedahan kepada orang muda. Datuk Seri Najib pernah memberi peluang kepada saya sebagai pengerusi PUNB. Sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun itu, saya belajar sebelum dilantik sebagai Menteri Kabinet. Saya berpeluang masuk ke kementerian, jaga yang lebih besar, tidaklah terlalu kekok sangat. Inilah masanya. Takkan kita harap apabila dilantik sebagai calon, terus dia bersedia jadi pemimpin. Tentunya tidak kerana kita perlu bina keupayaannya. Inilah masanya, bagi sikit sebab banyak peluang yang ada.

S: Perbahasan Pemuda pada tahun lalu kurang menyengat dan tidak ramai yang menonjol. Mungkin kali ini berbeza?

J: Saya harap perbahasan kali ini menarik. Saya sedang menulis ucapan saya sendiri yang menyentuh mengenai soal masa depan orang muda dan orang Melayu. Itu tema besar saya. Saya harap pembahas dapat mengupas isu yang akan dibangkitkan.

S: Mengenai isu orang muda, kerajaan dilihat banyak 'dibelasah' pembangkang. Kenapa pihak BN khasnya UMNO jarang menjadi jaguh dalam hal ini?

J: Kita banyak fokus isu harian. Pembangkang ini curi perhatian dengan banyak fokus kepada isu politik, sebab itu ia menjadi popular. Lebih banyak tuduhan, fitnah, rasuah dan bagi saya, perkara seperti itu tidak penting bagi orang muda kerana lebih baik cerita bagaimana kita nak selesaikan masalah seperti isu perumahan, penyelesaian hutang. Itu lebih bermakna bagi orang muda daripada menghasut orang luar, merempuh pagar dan sebagainya. Perkara itu kurang mendapat perhatian media kerana nilai beritanya tidak cukup kuat. Lebih baik kita hebahkan program Job Fair kita yang berjaya bagi peluang pekerjaan kepada 40,000 orang muda. Program Rumah Transit yang bakal diagihkan kepada 600 pasangan atau 1,200 orang muda dalam masa terdekat. Itu semua lebih baik daripada kita buat perarakan Rakyat Hakim Negara, itu cuma untuk membela seorang individu sahaja. Sedangkan kita bagi puluhan ribu peluang pekerjaan.

S: Bagaimana dengan pendekatan turun padang untuk mendekati kumpulan sasar?

J: Kita sudah memperbanyakkan program seperti itu. Pada peringkat negeri, saya sendiri galakkan pemimpin negeri dan bahagian buat program santai seperti sesi 'Bertanya Khabar'. Kita kurangkan majlis rasmi. Kita sudah praktikkan perkara itu. Impaknya sangat bagus. Lebih mendekati dan mudah didekati, kita dapat pandangan terus daripada rakyat tanpa tapisan, protokol. Itu satu perubahan yang sangat positif.

S: Tetapi masih timbul isu masih ramai rakyat tak kenal pemimpin tempatan.

J: Ia lebih kepada keberkesanan di kawasan masing-masing. Contohnya di Shah Alam, Ahli Parlimennya (PAS), ada kelebihan sikit nak jumpa rakyat sebab ramai sudah mengenalinya. Sedangkan Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, masih baharu. Mungkin beliau belum lagi dikenali masyarakat umum. Tetapi inilah contoh soalan yang terbaik yang mengatakan bahawa UMNO ini kawasan permainan kita bukannya di gelanggang sendiri, tetapi di gelanggang luar. Sekarang kita masih lagi berkonsepkan bahawa UMNO mesti beraksi di gelanggang sendiri sahaja. Itu harus dikikis segera. Kalau hanya mendekati ahli UMNO sahaja, orang tak akan kenal kita.

S: Adakah ini disebabkan masih wujud perasaan UMNO ini kelompok elit?

J: Kitaran aktiviti kita masih dalam kalangan orang yang sama. Saya biasa melihat di kawasan sendiri, juga berlaku masalah sama dan kita terpaksa ubah pemikiran dan bertindak di luar kotak. Kita pergi kepada rakyat, bukan menunggu rakyat datang kepada kita. Saya sendiri sebagai wakil rakyat banyak buat perkara pelik, pernah berdiri di pintu pagar sekolah jumpa ibu bapa yang hantar anak mereka ke sekolah. Kalau tak buat macam itu, mereka tak akan datang jumpa kita. Mereka orang biasa, mereka susah nak datang jumpa kita, tetapi itu tak bermakna mereka tak sokong. Mereka ada banyak kerja lain, jadi janganlah terlalu mengharapkan mereka akan datang ke setiap program UMNO. Tak guna mereka dipaksa datang ke program, dengar ucapan beberapa jam, tetapi apa yang mereka dapat. Lebih baik kita memperbanyakkan program kita pergi ke tempat mereka. Mesti tebalkan muka, kita mesti jumpa orang yang kita wakili, benda mudah dan tak babitkan kos tinggi. Lebih baik jumpa rakyat di kedai, masjid, tempat awam kerana itu lebih baik dan berkesan daripada buat program besar. Jika jumpa, kita boleh bagi terus beri penerangan kepada mereka mengenai sebarang isu berkaitan. Kita juga boleh sebarkan maklumat melalui media sosial, ia percuma dan mudah. Tak guna buat majlis besar jika orang yang datang adalah orang sama.

S: Selangor menjadi contoh bagaimana pendekatan UMNO tidak berhasil hinggakan presiden sendiri menegur sebagai lembab dalam pelbagai aspek.

J: UMNO Selangor masih dalam proses kebangkitan. Tak boleh salahkan mereka sepenuhnya dan tidak adil kita menyalahkan mereka sepenuhnya. UMNO secara keseluruhan belum menjadi parti yang diterima keseluruhan terutama orang bandar. Ini bukan hanya masalah Selangor kerana di negeri itu, kita menang di kawasan luar bandar. Contohnya di Sabak Bernam dan Kuala Selangor, tetapi kita kalah di kawasan bandar. Kenapa? Sebab UMNO belum buat transformasi daripada politik yang berteraskan transaksi kepada model politik baharu iaitu kami bawa pembangunan, anda mesti sokong kami. Bina jalan, sekolah, rakyat mesti sokong UMNO, itu politik lama dan mungkin cuma boleh diterima pakai di kawasan yang mana isu pembangunan masih menjadi fokus. Di kawasan bandar, siapa yang nak dipilih. Mereka nak tengok parti yang mempraktikkan transaksi. Katakan kita berjanji dengan penduduk di kawasan rumah pangsa, jika menang, kita akan cat semula bangunan rumah mereka. Rakyat akan katakan, itu tanggungjawab kerajaan, duit rakyat. Modal lama mungkin kita akan dengar ucapan terima kasih kerana kerajaan bantu. Tetapi di bandar, rakyat akan kata mereka bayar cukai, ini duit kami, hak kami. Jadi, pendekatan mesti berubah dan kita mesti tawan politik baharu. Nak tengok orang yang rajin, tidak rasuah dan telus yang dapat menjuarai isu yang dekat di hati mereka. Mereka tak mahu melihat satu harapan timbal balas iaitu mesti menyokong pihak yang membantu. Kalau sudah jadi wakil rakyat, buatlah dengan baik. Jangan hanya ini dibuat untuk dapatkan sokongan. Bagi sayalah, pendekatan ini membuatkan ramai orang muda tak boleh terima. Kalau kita masuk universiti dan katakan kepada mahasiswa mereka patut berterima kasih kerana dapat bantuan pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), memang kita akan kena 'boo'.

S: Jadi, apa strategi yang sesuai?

J: UMNO mesti ada strategi di kawasan urban dan itu kita belum ada lagi. Pasaran tradisi di luar bandar makin mengecil kerana proses pembangunan. Lima tahun akan datang, 70 peratus rakyat Malaysia akan tinggal di kawasan bandar. Akan ramai penghuni bandar yang akan balik mengundi di kawasan luar bandar. Ini isyarat kepada UMNO bahawa pasaran kita semakin bocor, kubu kita semakin mengecil dan kumpulan yang tiada strategi ini perlu diselesaikan. Inilah dilema UMNO.

S: Bagaimana nak menjuarai isu rakyat?

J: Mereka nak tengok kita bagi maklum balas kepada isu secara profesional. Banyak tohmahan pembangkang dan kita jelaskan. Contohnya isu 1MDB, kita kena jelaskan. Sebab di bandar, ia lebih kepada penghujahan isu-isu nasional. Tidak bermaksud bahawa penduduk bandar tiada keperluan harian, tetapi ia berbeza dengan penduduk luar bandar. Di sini, ia lebih kepada polisi perumahan, peluang pekerjaan kerana mereka bukannya golongan miskin atau menganggur, tetapi mereka adalah golongan pertengahan. Mereka mahu lihat sejauh mana ekonomi akan maju supaya gaji akan naik. Kalau di luar bandar, jika bagi bantuan, sekurang-kurangnya mereka ada sesuatu. Tetapi di bandar, mereka juga terima bantuan, tetapi isunya berbeza.

S: Orang muda lebih percayakan isu yang disebarkan di alam maya, bagaimana Pemuda nak bertindak balas?

J: Mesti ada, tetapi dengan cara yang boleh diterima. Cara kita karang jawapan pun mestilah yang mudah difahami. Kadangkala tak menjawab isu yang ditanya. Kemahiran berkomunikasi mesti tinggi. Sesiapa sahaja pun boleh ada cybertrooper sendiri, laman Facebook, blog, Twitter, tetapi cara kita menjawab jika tak boleh diterima atau tak sampai kepada orang muda, itu pun tak guna. Sama juga kalau jawapan tiada isi. Kalau kalah dalam hujah, mulalah nak buat serangan peribadi, menghina orang. Kita kena menang hujah. Kalau percaya kita di pihak benar, mestilah cari fakta kebenaran dan berjuang. Contohnya penerangan mengenai tindakan nak senarai hitam peminjam PTPTN, ramai yang protes. Sebab mereka akan susah nak buat pinjaman bank lain. Jadi, saya tulis dalam Facebook, saya katakan kita kena tahu kenapa PTPTN buat perkara ini, ia cuma tindakan kepada peminjam yang tak pernah bayar. Tindakan cuma dikenakan kepada mereka yang langsung tak pernah bayar dalam tempoh tiga tahun. Jika bayar RM10 pun, nama mereka tidak akan disenaraihitamkan. Apabila keluar hujah seperti itu, ramai yang terima. Jika tak bayar, pelajar akan datang tak akan dapat pinjaman pelajaran.

S: Sejak kebelakangan ini, UMNO kerap menerima teguran bekas pemimpin. Sebagai Ketua Pemuda, bagaimana YB menerima situasi ini?

J: Kita terima dengan terbuka. UMNO parti demokratik dan terbuka. Kita sudah terima macam-macam kritikan dan pandangan. Semua kritikan dianggap dapat memberi kekuatan kepada kita. Tak semestinya kita setuju, tetapi mesti dengar pendapat orang lain, jangan cepat melenting. Mereka yang mengkritik ada perspektif masing-masing. Mungkin kita tak setuju sebab kita berada pada zaman berbeza. Saya sendiri katakan, saya tidak sama dengan Datuk Harun Idris (bekas Ketua Pemuda UMNO), beliau berada pada zaman pergolakan besar pada tahun 1969. Kita berada pada era aman damai dan kita pun tak mahu situasi itu berulang. Setiap pemimpin ada era masing-masing dan cabaran pun berbeza.

kredit BeritaHarian 

2 comments:

  1. S: Orang muda lebih percayakan isu yang disebarkan di alam maya, bagaimana Pemuda nak bertindak balas?

    J: Mesti ada, tetapi dengan cara yang boleh diterima. Cara kita karang jawapan pun mestilah yang mudah difahami. Kadangkala tak menjawab isu yang ditanya. Kemahiran berkomunikasi mesti tinggi. Sesiapa sahaja pun boleh ada cybertrooper sendiri, laman Facebook, blog, Twitter, tetapi cara kita menjawab jika tak boleh diterima atau tak sampai kepada orang muda, itu pun tak guna. Sama juga kalau jawapan tiada isi. Kalau kalah dalam hujah, mulalah nak buat serangan peribadi, menghina orang.

    Pada pendapat saya yg bernilai 2 sen ini ... KJ ialah ahli politik yg lebih kepada Elit Elit. Mmg KJ ini bijak terutama bila berdebat. Pada interview ini, saya nampak dengan jelas bahawa KJ tidak mempunyai agenda agama dalam perbahasan/pembentangan akan datang.

    Anak-anak muda Islam di Malaysia ketika ini sedang menghadapi berbagai masalah .. ia tidak berlaku pada anak2 muda bangsa kafir. Baik dari segi tingkah laku, tebiat dadah moden seperti pil kuda ..dan bagai .. penglibatan dalam mesin judi .. pembuangan masa di cyber cafe .. namun kelihatan KJ mengulas (fokus beliau) tidak nampak menyentuh kearah Pembangunan Modal Insan orang muda dalam konteks cabaran seperti LGBT ..

    Malah beliau cukup berani menyatakan isu 'Kalah Hujah buat Serangan peribadi dan Menghina Orang" ... begitu contradict dengan apa yg beliau LEBEL kan kepada JMM dalam isu LGBT 2 minggu lepas.

    Ketika KJ mula mengorak langkah bersama Bapa Mertuanya dalam UMNO dan BN .. KJ sudah memperlihatkan Kerakusan dan Ego ... yang menjurus kepada "perhubungan" beliau dengan orang LAMA UMNO ...

    Well KJ .. saya nak lihat bagaimana keikhlasan anda tanpa status YB atau Menteri ... @ be NGO ... and kita lihat bagaimana kepakaran anda maneuver dalam kancah penjuangan tanpa kepentingan ... and more .. penerimaan "Doktrin" anda oleh masyarakat berbilang budaya (umur).

    AG

    ReplyDelete
  2. khairy dilihat cuma suka cari populariti tapi gerak kejanya slalu gagal......pemuda cawanga selalu sejuk takda aktiviti, mesuarat selalu tak cukup ahli. tkda perancagan masa depan, lemah tk brdaya. kekuatan pemuda kalau ada duit , aktiviti hangat2 taik ayam...tikam belakang amalan biasa . janji cuma janji manis,, pnakut dan kaki bodek.....Prangai Pemuda umno tak kira mana2 cawangan sama rosak sbab tu pemimpin muda tak menonjol....nmpak khairy je,,,,tapi khairy sbgai menteri prestasinya disifatkan gagal.....contoh....target pingat sukan asia,sukan komenwel tak dpat.. padang bola bukit jalii memalukan,,,,kes chong wei,,suka brtekak dgan persatuan sukan dan macam2 lagilaah,,,,,,khairy kalau nk brjuang biar ikhlas....dtuk harun dengan anda.jangan bandinglah maluje..macam langit dgan bumi....tak trcapai punya

    ReplyDelete

Labels