Followers

Wednesday, 31 December 2014

Kerajaan Terus Komited Bangunkan Pulau Pinang @dzainalabidin @NajibRazak


Perutusan Tahun Baru 2015

" Kerajaan Persekutuan terus komited untuk membangunkan negeri Pulau Pinang walaupun Barisan Nasional bukan kerajaan negeri di Pulau Pinang atas semangat sistem Persekutuan yang menjadi asas negara selama ini. Bagi tempoh 2001-2014 sejumlah RM 18 billion telah dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek-projek di Pulau Pinang.

" Ini terbukti bilamana Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM2.959 billion untuk RMK-8 (2001-2005) dan RM6.471 billion untuk RMK-9 (2006-2010) manakala untuk RMK-10 (2011-2015) sejumlah RM2.591 billion telah dibelanjakan sehingga penghujung 2014.

" Kita sedar bahawa penyediaan infrastruktur yang baik menjadi pemangkin utama kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri. Kemudahan perhubungan, jaringan jalanraya, lebuhraya, pelabuhan dan lapangan terbang menjadi tarikan kepada pelabur untuk melabur dalam negeri Pulau Pinang. Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM4.5 billion untuk pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'azam Shah, RM250 juta untuk projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang dan RM2.66 billion untuk Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar.

" Pada 2015, Kerajaan Persekutuan akan memulakan perlaksanaan projek-projek berikut; Loji Kumbahan Bayan Baru Fasa 2 (RM 353.1 juta), Multi Storey Block Hospital Seberang Jaya (RM 400 juta), Blok Kanak-Kanak Hospital Pulau Pinang (RM 250 juta), Naiktaraf Hospital Seberang Jaya dan Pulau Pinang (RM 38 juta), dan projek naiktaraf Jabatan Kecemasan Hospital Balik Pulau (RM 20 juta).

" Kemajuan Pulau Pinang sejak sekian lama adalah kerana kerjasama yang baik dan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Pengagihan sumber dan hasil negara dapat dibuat dengan teratur dan terancang untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia keseluruhannya.

" Di bawah kepimpinan BN sejak awal tahun 70an, ekonomi dan pembangunan Pulau Pinang telah berkembang dengan pesat. Mendiang Tun Dr Lim Chong Eu, Ketua Menteri Pulau Pinang kedua telah meletakkan asas-asas yang kukuh dan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri perindustrian sehingga menjadi negeri pengeluar dan pengeksport utama negara untuk produk Elektrikal dan Elektronik.

" Perkhidmatan dan bekalan air di Pulau Pinang adalah terbaik dengan tarif terendah dalam negara hasil perancangan, pengurusan dan pandangan jauh kerajaan negeri terdahulu. Dengan perlaksanaan WSIA oleh kerajaan Persekutuan perkhidmatan bekalan air negara akan bertambah baik dan efisien. Pada 2011 di bawah WSIA, Kerajaan Pulau Pinang telah menandatangani perjanjian dengan PAAB yang memperlihatkan hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM600 juta dihapuskira. 

" Kerajaan Persekutuan melalui agensi-agensinya tetap komited untuk menyediakan perumahan yang selesa dan mampu dimiliki oleh rakyat Pulau Pinang termasuk pembinaan Perumahan Kos Rendah. Ini kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih gagal untuk menyediakan perumahan Kos Rendah untuk rakyat Pulau Pinang dan tiada skim Perumahan Awam dibina oleh kerajaan negeri menggunakan dana kerajaan negeri sejak 2008.

" Pada penghujung tahun 2014, kita menyaksikan banjir besar melanda negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung. Penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah penting dalam memastikan bencana alam seperti banjir kilat tidak berlaku. Oleh itu pembangunan harus mengambil kira kesan kepada alam sekitar, juga kesan kepada keselesaan dan keselamatan rakyat. Sama-samalah kita mendoakan agar bencana seumpama ini tidak berlaku lagi pada tahun 2015.

" Saya turut merakamkan rasa simpati saya kepada penduduk-penduduk di Balik Pulau yang rumah mereka mengalami kerosakan akibat ribut kencang pada malam Isnin lalu. Bantuan awal telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan. Kita akan terus berusaha membantu mereka untuk membaiki rumah-rumah yang rosak dalam masa terdekat. 

" Saya mengharapkan agar Kerajaan Negeri akan bersama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha membangunkan negeri Pulau Pinang dan berganding bahu memelihara dan menghormati semangat Persekutuan sediada.

" Saya menyeru rakyat Pulau Pinang untuk terus mengamalkan toleransi dan perpaduan antara kaum dan agama. Elakkan perbalahan dan perselisihan yang boleh membawa kepada permusuhan dan persengketaan sesama rakyat. Perpaduan dan keamanan adalah asas utama kekuatan sesebuah negara. 

" Selamat Tahun Baru 2015 kepada semua rakyat Malaysia dan rakyat Pulau Pinang khususnya. Bersama kita memakmurkan negeri dan negara tercinta ini.

Terima kasih.

Dato' Zainal Abidin Osman 
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang 
31 Disember 2014

No comments:

Post a Comment

Labels