Followers

Wednesday 14 January 2015

Cerita RM100

Sesi persekolahan bagi tahun 2015 sudah pun bermula walaupun masih ada lagi sekolah yang belum dibuka disebabkan bencana banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini.

Seperti biasa apabila tiba awal tahun baru , ramai di kalangan kita khususnya ibu-bapa akan sibuk untuk menguruskan kemasukan anak masing-masing ke sekolah.

Malah bagi mereka yang kali pertama menguruskan kemasukan anak ke tahun 1 sudah pasti akan menempuh satu pengalaman baru dan paling pasti sedikit perbelanjaan perlu di khususkan kepada anak-anak ini dari segi persiapan pakaian , pembelian buku dan lain-lain.

MMI yakin siapa jua ibu atau bapa itu tanpa mengambil kira kedudukan mereka PASTINYA sedar bahawa perbelanjaan itu penting untuk memastikan anak-anak kita mendapat pembelajaran yang sempurna.

Dalam pada itu kita juga seharusnya bersyukur kerana kerajaan turut memberikan bantuan persekolahan RM100 kepada semua pelajar bagi meringankan beban yang di tanggung oleh ibu dan bapa yang semestinya telah mengeluarkan perbelanjaan yang jauh lebih besar dari nilai RM100 itu.

Bantuan Persekolahan RM100

DUIT RM100 mungkin tiada apa nilainya sangat kepada mereka yang sudah biasa menghirup kopi di Starbucks atau menonton wayang di panggung bertaraf premier class atau gold class. 

Mungkin juga tiada banyak maknanya kepada yang seringkali membawa keluarga bercuti keluar negara pada setiap musim cuti persekolahan, paling dekat pun Singapura.

Namun kepada yang sudah biasa hidup susah, RM100 walaupun nilainya tidak sebesar mana, ia boleh menjadi ‘penyam­bung hidup’.

Kelmarin, apabila sekolah sesi persekolahan tahun ini bermula, ramai dalam kalangan anak-anak sudah menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100. Anak-anak ini girang membawa pulang duit itu. Bagi mereka yang masih kecil ini, RM100 sudah cukup besar. Tidak terkecuali anak bongsu saya. Dia menghantar gambarnya yang memegang dua keping wang RM50 melalui aplikasi WhatsApp selepas pulang dari sekolah kepada saya yang berada di pejabat.

Ini sudah masuk tahun keempat, bantuan RM100 itu diberikan. Tujuan utama bantuan RM100 ini adalah untuk me­ringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan anak ke sekolah pada awal tahun.

Pun begitu, sudah beberapa tahun berlalu, masih ramai yang memperlekehkan dengan mengatakan apa sangatlah yang dapat dibuat dengan duit RM100 itu? Ada yang lupa atau saja buat-buat lupa wujudnya bantuan tersebut. - Eh! ada ke? Lupalah. Kata seorang ahli dalam group WhatsApp yang tiba-tiba nombor telefon saya dimasukkan dalam group berkenaan.

Ahli-ahli group itu bersembang mengenai pemberian wang RM100 itu. “RM100 hendak beli apa? Tak kasi pun tak apalah,’’ kata dia lagi.

Mungkin yang berkata itu bergaji besar. Maka dia pun boleh bercakap besar. Atau mungkin juga sebenarnya dialah orangnya yang dalam diam akan beratur paling depan sekali apabila pihak sekolah meminta ibu bapa mengambil wang berkenaan. Kita bukan boleh percaya sangat cakap-cakap orang yang banyak ‘bunyi’ ini. Selalunya merekalah yang lebih.

Janganlah melihat kepada kemampuan diri sendiri. Hidup ini bukan sekadar untuk diri sendiri. Bukan semua orang hidup bernasib baik dan boleh menganggap RM100 itu tidak penting.

Bantuan untuk setiap seorang murid amat bermakna kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi yang mempunyai ramai anak yang bersekolah.

Dengan kos sara hidup yang kian meningkat, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan sedikit beban. Pengertian susah kini bukan hanya terhad kepada hidup yang bergelut dengan kemiskinan, tetapi juga kepada golongan yang punya banyak tanggungan lain dengan pendapatan yang sedikit.

Banyak cerita sedih di sebalik pemberian RM100 itu yang kita tidak tahu. sebab kita hidup penuh dengan bernasib baik.

Ini satu antaranya - Kata anak saya, kawan yang duduk di sebelahnya dalam kelas, mahu gunakan duit itu untuk membeli beras. Budak itu memberitahu, orang tuanya sudah berhabis duit untuk membeli kelengkapan sekolah adik-adiknya sampai makan pun terpaksa dicatu. Jika kita tidak punya perasaan belas, kita akan cakap pemberian RM100 itu sudah disalahguna.

Tetapi itulah kehidupan. Survival kehidupan masing-ma­sing berbeza. Ada yang kita nampak senang, tidak semestinya hidupnya senang. Dan yang kita nampak susah itu, selalunya sentiasa ringan tangan membantu dengan segala cara yang ada.

Contohnya, ada yang sanggup menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk membantu mangsa-mangsa banjir di sana. Mereka ini bukan punya banyak wang, tetapi atas dasar perikemanusiaan dan turut sama merasa kesengsaraan itu, mereka turun membantu walaupun tiada saudara-mara yang terlibat.

Maka, yang lebih mulianya, jika merasakan duit RM100 tersebut tidak memberi sebarang manfaat atau makna untuk anak-anak sendiri, adalah lebih baik ia disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Tidak payahlah membuat dosa bercakap besar. Pahala pun dapat.-UM 

Terima Kasih kerajaan dan Syukur kepada Allah dengan pemberian ini.

MMI

6 comments:

  1. KEPADA MEREKA-MEREKA YG BERKATA "RM100 NAK BELI APA & TAK KASI PUN TAK APA" ADALAH MANUSIA YG TIDAK TAHU BERSYUKUR YG MERASAKAN KEHIDUPAN MEREKA TERLALU SENANG TANPA MEMIKIRKAN KESUSAHAN ORANG LAIN.........

    ReplyDelete
  2. RM100 untuk seorang anak, kalau 5 orang anak yang bersekolah, berapa jumlah ibu bapa tersebut dapat? Tolong kirakan untuk saya....

    ReplyDelete
  3. Saya rasa inilah penulisan MMI yang benar-benar terkesan bagi saya. Mungkin kerana apa yang dituliskan diatas, sedang saya lalui ketika ini. Namun, disamping kita bersyukur kehadrat ilahi atas bantuan ini dan berterima kasih kepada kerajaan, masih banyak perkara yang perlu dilakukan bagi membantu kami golongan bawahan.

    Mungkin MMI boleh mengupas ketidak-perihatinan sesetengah pihak sekolah dimana, ketika Malaysia dilanda musibah, ketika ibu bapa telah banyak berbelanja untuk urusan persekolahan anak-anak, mereka dibebani pula dengan pelbagai permintaan dari pihak sekolah.
    Cuba bayangkan, ketika kita terpaksa mengikat perut untuk menyekolahkan anak-anak kita, tiba-tiba ketika pulang ke rumah, si anak memberitahu gurunya menyuruhnya membeli buku-buku kerja yang berharga RM50.00. Tanpa bertanya sekiranya murid tersebut mampu atau tidak, guru tersebut meletakan pula syarat bahawa buku-buku tersebut harus dibeli dalam minggu ini juga sedangkan semua sedia maklum bahawa sekolah dibuka pada 12hb Januari. Ini bermakna kita berada di tengah-tengah bulan. Bagaimana ibu-bapa dari golongan bawahan seperti saya mampu mencari RM50.00?
    Mengapa sekolah dan guru-guru ini tidak peka pada waktu dan keadaan sekeliling semasa membuat tindakan?
    Saya amat berharap MMI mampu mengupas sikap segelintir sekolah-sekolah sombong ini.

    ReplyDelete

  4. جزاكم الله خيرا

    ReplyDelete

Labels