Followers

Wednesday, 25 March 2015

Perumahan Antara Agenda Terpenting DS @HishammuddinH2O Di @1MinDef @NajibRazak


Sekalung tahniah MMI ucapkan kepada Menteri Pertahanan Malaysia , Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana sekali lagi telah melaksanakan tanggungjawab serta kewajipan bagi pihak kerajaan khususnya dalam menyediakan prasarana terbaik kepada warga tentera yang selama ini telah banyak berkorban untuk negara.

Sejawarnya tindakan ini dilihat sebagai salah satu daripada kejayaan bersama pihak kerajaan dan Kementerian Pertahanan dalam mengotakan janji untuk menyediakan perumahan yang baik dan selesa kepada rakyat.

Mengambil kira anggota tentera juga adalah sebahagian daripada rakyat maka pembinaan rumah keluarga untuk angkatan tentera juga merupakan perkara penting dalam kita membina persekitaran sihat selain menjadi asas kepada kehidupan yang lebih baik.

Dalam masa yang sama keselesaan itu akan dapat meningkatkan moral di kalangan anggota tentera seterusnya menyumbang kepada kekuatan negara.

Berikut merupakan ucapan penuh YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein , Menteri Pertahanan Malaysia sewaktu majlis Perasmian Rumah Keluarga Angkatan Tentera bertempat di Desa Tentera Darat , Sungai Panching Kuantan Siang tadi.  

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdullilah, saya merafakkan  rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan di Majlis Perasmian Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Desa Tentera Darat, Sungai Panching, Kuantan pada hari ini.

Syabas, tahniah dan terima kasih kepada Bahagian Pembangunan Kementerian Pertahanan selaku pengurus projek perumahan ini, Tentera Darat, Markas 4 Briged Mekanis serta semua pihak yang telah merealisasikan satu lagi projek RKAT di Negeri Pahang.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih  dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor dan Panglima 4 Briged Mekanis, Brig Jen Dato’ Ahmad Tajuddin bin Abd Ghani serta seluruh warga tentera 4 Briged Mekanis yang telah bertungkus lumus menghulurkan bantuan semasa bencana banjir besar melanda Pantai Timur pada Disember lalu. Komitmen dan profesionalisme yang telah ditunjukkan oleh tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja dihargai oleh mangsa-mangsa banjir tetapi juga diiktiraf kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan. Terima kasih saya ucapkan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Aspek perumahan menjadi antara agenda terpenting saya di Kementerian Pertahanan khususnya dalam mempertingkatkan taraf hidup dan keselesaan warga tentera yang telah banyak berkorban mencurah bakti demi mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, pembinaan rumah keluarga seperti ini dilihat dapat memberi lebih keselesaan dan keselamatan kepada warga tentera dan keluarga. Ia juga dapat meningkatkan moral anggota-anggota untuk terus memberikan khidmat dengan lebih cemerlang dan komited serta dapat mencapai teras misi nasional dalam ‘membangunkan modal insan berkualiti’. Tambahan pula warga tentera kerap melaksanakan tugasan jauh daripada keluarga. Justeru, amat penting mereka merasa yakin keluarga yang ditinggalkan sentiasa terpelihara dari segi keselamatan dan kebajikan.  Kerana itu, kerajaan amat sedar betapa pentingnya rumah keluarga yang selesa dan selamat disediakan.

Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera Sungai Panching ini merupakan salah satu daripada projek pembangunan perumahan di Negeri Pahang yang dibina bagi menampung keperluan perumahan pegawai dan anggota yang bertugas di pasukan-pasukan sekitar Kuantan. Projek ini telah dimulakan pada tahun 2006 dengan kos sebanyak RM75 juta yang diterima dari Jabatan Perdana Menteri. Walaupun beberapa masalah terpaksa dihadapi namun projek ini diteruskan dan kini telah 98.90 peratus siap dan akan diambil alih secara separa (tidak sepenuhnya) oleh Tentera Darat. Baki projek sebanyak 1.10 peratus akan diteruskan dengan kerja-kerja peningkatan kestabilan cerun dan pembinaan penghadang untuk keselamatan kanak-kanak dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Kemudahan yang terdapat di Rumah Keluarga Angkatan Tentera Sungai Pancing termasuklah 1 unit Banglo Kelas B2, 1 unit Banglo Kelas C+, 1 Blok Apartment Kelas E yang mempunyai 16 unit, 6 Blok Apartment Kelas F yang mempunyai 96 unit, 14 Apartment Kelas G yang  mempunyai 224 unit, sebuah surau, sebuah taska, sebuah pusat komuniti, padang bola sepak, padang permainan kanak-kanak, rumah pengawal dan turut dikelilingi pagar keselamatan. Untuk permulaan seramai 300 anggota lain-lain pangkat terlibat untuk dipindahkan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera Sg Pancing iaitu 234 anggota yang kini mendiami Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Kem Batu 10, Kuantan dan 66  anggota yang sedang menyewa di luar ketika ini.

Lanjutan daripada pemindahan anggota di Kem Batu 10 tersebut ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera Sungai Panching ini, maka sebanyak 8 Blok (setiap 1 blok mempunyai 24 unit rumah)  yang mengandungi 192 unit rumah keluarga Kelas G di Kem Batu 10 akan dikosongkan. Setiap unit Kelas G ini hanya mempunyai 2 bilik tidur dan keadaan ini tidak menepati kelayakan minimum iaitu 3 bilik tidur  bagi sebuah rumah yang selesa seperti ditetapkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Justeru, sebagai permulaan, saya ingin mengumumkan bahawa 2 blok yang mempunyai 48 unit rumah Kelas G di Kem Batu 10 akan dibuat peningkatan dari 2 bilik tidur kepada 3 bilik tidur. Projek ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.4 juta, menggunakan peruntukan Belanja Mengurus (OE) tahun 2015 Tentera Darat. Saya berharap projek peningkatan ini dapat diteruskan oleh Tentera Darat ke blok yang lain dengan menggunakan peruntukan Belanja Mengurus tahunan yang disediakan setiap tahun.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya menyedari bahawa kebanyakan rumah keluarga di Kem-kem Tentera Darat dibina pada tahun 70-an dan kebanyakannya berada dalam keadaan daif dan tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh kerajaan serta tidak sesuai untuk diduduki. Saya amat memahami situasi ini dan pada hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Kementerian Pertahanan telah menerima peruntukan khas daripada kerajaan berjumlah RM100 juta untuk tujuan membaik pulih dan menaik taraf rumah keluarga angkatan tentera, pada tahun ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM60 juta dikhaskan untuk keperluan Tentera Darat.

Selain itu, melalui program NBOS-MyBM (My Beautiful Malaysia) di bawah kelolaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tentera Darat juga telah memperoleh peruntukan khas berjumlah RM33 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan rumah keluarga tentera yang sedia ada. Tentera Darat turut menerima peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 juta melalui program ini bagi penyelenggaraan rumah keluarga kelas C dan Kelas G di Kuantan dan RM1.6 juta lagi diperuntukkan untuk penyelenggaraan rumah keluarga Kelas E dan F.

Saya berharap agar pihak JKR dan agensi pelaksana yang telah dilantik dapat menyegerakan kerja-kerja pembaikan agar peruntukan yang diperoleh pada tahun  ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan keluarga warga tentera. Saya juga berharap dengan terlaksananya program penyelenggaraan dan peningkatan ini, lebih ramai anggota Tentera Darat yang menyewa di luar dapat menduduki Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan menikmati kehidupan yang lebih kondusif, selesa dan terjamin keselamatannya terutamanya kepada keluarga yang terpaksa ditinggalkan kerana tugas.

Penyiapan projek Desa Tentera Darat Sungai Panching ini membuktikan komitmen kerajaan dan Kementerian Pertahanan dalam merealisasikan program-program peningkatan dan penyelenggaraan yang lain di Kuantan dan juga di seluruh negara bagi menjamin keselesaan hidup warga Angkatan Tentera Malaysia. Selain Rumah Keluarga Angkatan Tentera Sungai Panching ini, saya juga sedang memberi tumpuan kepada Rumah Keluarga Angkatan Tentera untuk tentera laut di Sepanggar dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera untuk tentera udara di Labuan. Semasa lawatan 3 hari saya ke Sabah bulan lalu, saya telah meninjau keadaan kedua-dua Rumah Keluarga Angkatan Tentera ini dan serentak itu, saya telah meminta pihak Kementerian Pertahanan (TKSU Pembangunan) untuk memberi tumpuan khusus kepada usaha menaik taraf kedua-dua Rumah Keluarga Angkatan Tentera ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Pada hari ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan sebanyak 10 projek pembinaan rumah keluarga baru di seluruh negara untuk Tentera Darat sama ada untuk menambah keperluan yang tidak mencukupi ataupun mengganti rumah keluarga yang telah usang dan tidak selamat diduduki.  Kem-kem yang terlibat dalam projek ini adalah:
Kem Oran, Kangar, Perlis.
Kem Tok Jalai, Alor Setar, Kedah.
Kem Bt Melintang, Jeli, Kelantan.
Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu, Kelantan.
Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
Kem Semenggo, Kuching, Sarawak.
Kem Pakit, Sri Aman, Sarawak.
Kem Bt 10, Sibu, Sarawak.
Kem Sri Miri, Miri, Sarawak.
Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah 

Setakat ini pihak kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah hampir RM1.1 bilion untuk pembinaan rumah keluarga baru ini. Justeru, marilah kita berdoa agar kesemua projek ini akan dapat disiapkan dalam masa 2 ke 3 tahun yang akan datang. Untuk itu saya menggesa Bahagian Pembangunan yang menguruskan projek ini bagi pihak Kementerian Pertahanan agar dapat menumpukan segala usaha untuk melaksanakan projek ini sehingga selesai.  Tidak lupa, agensi pelaksana projek seperti Jabatan Kerja Raya dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) supaya memastikan semua projek dapat disiapkan mengikut jadual, kos dan spesifikasi yang ditetapkan. Kejayaan pelaksanaan projek ini bergantung kepada kolaborasi dam kerjasama erat pelbagai agensi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Sebelum berundur, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat dan warga 4 Briged Mekanis kerana memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan Desa Tentera Darat Sg Panching ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan semua agensi dan Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang telah memberi kerjasama bagi melancarkan perjalanan majlis pada pagi ini.

Dengan kata-kata itu, serta dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan rasa sukacitanya merasmikan Desa Tentera Darat Sg Panching pada pagi ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Labels