Dulunya ramai yang tersenyum apabila Tun Abdullah didesak supaya meletakkan jawatan serta berundur sebagai Perdana Menteri Malaysia.Tanpa kita sedari keputusan itu sebenarnya adalah satu penolakan secara terang-terangan terhadap keputusan Tun Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab menamakan Tun Abdullah sebagai penggantinya.
Siapa lagi yang memilih Tun Abdullah kalau bukan Tun Mahathir ?
Berdasarkan keputusan itulah akhirnya Tun Mahathir sedar beliau sudah melakukan kesilapan bila mana kehadiran Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri selepas beliau dianggap sebagai dalang yang boleh merosakkan agenda peribadinya.
Ramai yang keliru sebenarnya , kehadiran Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri pada ketika itu merupakan satu titik tolak perubahan dalam parti UMNO malah kalau kita perhatikan berlaku anjakan dalam pentadbiran kerajaan apabila dasar Islam Hadhari dilaksanakan.
Strategi untuk terus mengukuhkan negara dijana dengan begitu baik melalui asas Islam dan perlaksanaan dasar-dasar Islam yang mahu dipupuk diperingkat akar umbi itu jika diteliti cukup hebat kerana ia diasaskan daripada tanggungjawab ketua keluarga di rumah sehinggalah ke peringkat tertinggi pucuk pimpinan negara melalui dasar-dasar kerajaan.
Dan ianya sudah pun dibuktikan melalui kajian mampu mendatangkan kebaikan kepada seluruh rakyat di Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
Namun kerana perlaksanaan Islam Hadhari itu masih diperingkat permulaan , ramai yang keliru dan mula menimbulkan pelbagai persepsi yang telah mengakibatkan dasar tersebut ditolak.Lebih menyedihkan lagi ada dikalangan orang Islam sendiri yang turut sama menolak konsep mahupun dasar Islam Hadhari.
10 Prinsip Islam Hadhari ialah:
1. Keimanan dan Ketaqwaan Kepada Allah/Tuhan
2. Kerajaan Yang Adil dan Amanah
3. Rakyat Berjiwa Merdeka
4. Penguasaan Ilmu Pengetahuan
5. Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif
6. Kehidupan Berkualiti
7. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
8. Keutuhan Budaya dan Moral
9. Pemeliharaan Alam Semulajadi
10. Kekuatan Pertahanan
Persoalannya kenapa ia ditolak ?
Apakah kerana ramai yang takut dengan Islam atau ada yang bimbang kerajaan UMNO dan BN akan dilihat lebih Islam daripada mereka ?
Bahkan kalau kita amati pada ketika itu suasananya hampir sama dengan apa yang sedang berlaku terhadap usaha untuk merealisasikan RUU355.
MMI kongsikan dengan semua satu artikel yang mengupas tentang Persepsi Orang Cina Terhadap Islam Hadhari baca artikel ini dan fahamkan , semestinya kita akan berasa betapa ruginya kerana dasar ini tidak dipertahankan.
Apa yang sebenarnya mahu MMI jelaskan adalah usaha semurni ini pun kita masih lagi gagal untuk faham malah ada dikalangan kita sendiri (Melayu yang mengaku Islam) menjadi sebahagian daripada kalangan mereka yang menolaknya.
Dan mengambil kira faktor tersebut MMI yakin Tun Mahathir dan Muhyiddin adalah dikalangan mereka yang menolak dasar Islam Hadhari apabila lantang mengkritik pentadbiran Tun Abdullah serta menjadi pelopor kepada gerakan supaya Tun Abdullah meletakkan jawatan.
Akibat daripada desakan tersebut dan kendiri yang begitu hebat dimiliki oleh Tun Abdullah berlakulah proses perletakan jawatan yang kemudiannya dipertanggungjawabkan kepada YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Namun semua yang berlaku itu tidak selesai , hari ini sekali lagi kita melihat episod yang sama berulang bahkan jauh lebih dasyat dari itu.Tun Mahathir dan Muhyiddin sekali lagi tampil sebagai pendesak supaya Najib meletakkan jawatan atau menyokong gerakan untuk menjatuhkan kepimpinannya.
Sampailah ke tahap membentuk parti PPBM serta mengesahkan parti itu akan bersama-sama dengan pembangkang DAP , PKR dan PAN bagi mencabar Barisan Nasional seterusnya menumbangkan kerajaan sedia ada.
Untuk apa semua ini dilakukan ?
Hilang percaya kepada pucuk pimpinan ?
Kita perlu ingat bahawa DEMOKRASI adalah sistem yang kita pilih sejak Tanah Melayu mencapai KEMERDEKAANnya.
Semua orang tahu termasuklah Tun Mahathir , Muhyiddin serta semua pimpinan pembangkang namun mereka sengaja menutup telinga dan mata hanya untuk memastikan agenda politik mereka tercapai.
Realitinya Najib tetap mendapat kepercayaan ahli-ahli UMNO untuk terus memimpin parti dan Najib mendapat sokongan yang jitu daripada parti-parti komponen Barisan Nasional untuk terus memimpin negara.
Dalam masa yang sama usaha Tun Mahathir dan Muhyiddin sebenarnya tidak relevan berdasarkan kepada sistem demokrasi yang kita pegang selama ini.Maka jelas usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri tanpa melalui proses yang sah adalah sama sekali menyimpang daripada sistem perundangan itu sendiri.
Oleh kerana itulah akhirnya PPBM ditubuhkan dan mereka kini sedang membuat persiapan diseluruh negara bersama-sama dengan Pakatan Harapan untuk menentang Barisan Nasional secara sah iaitu melalui Pilihan Raya Umum.
Tak salah untuk bertanding dalam mana-mana PRU , bertandinglah ! Cuma rakyat perlu bijak dalam menilai kerana selain bersembunyi disebalik proses undang-undang , pembangkang bersama-sama PPBM dilihat lebih banyak menjadikan tuduhan berupa fitnah sebagai salah satu mekanisma untuk menagih undi rakyat.
Apa jua alasan yang digunakan oleh Tun Mahathir dan Muhyiddin , MMI percaya bahawa ada lagi alasan lain yang tidak didedahkan kepada umum !
Jika Tun Abdullah ditolak dengan alasan kononnya pentadbiran beliau lemah dan gerakan terancang untuk menjatuhkan Najib berdasarkan kepada kononnya Najib GAGAL memimpin Malaysia , MMI rasa ianya hanyalah sekadar alasan untuk menghalalkan cara.
Dari pemerhatian MMI , kedua-dua (Tun Abdullah & Najib) pemimpin UMNO ini sebenarnya punya pertalian dasar yang bertaut.Kedua mereka punya asas dan prinsip yang hampir sama malah Najib faham dan sedar betapa beliau perlu bertanggungjawab untuk memastikan kesilapan sebelumnya tidak berulang.
Jika Tun Abdullah di zamannya telah memperkenalkan Islam Hadhari , di era Najib beliau telah memperkenalkan Indeks Maqasid Syariah !
Sedarkah kita apa kaitan dan hubungan diantara Islam Hadhari dengan Maqasid Syariah ?
Perdana Menteri dalam ucapannya sewaktu majlis pelancaran pada awal 2015 yang lalu berkata Indeks Syariah Malaysia merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh.
Indeks pertama seumpamanya yang pernah dibangunkan di dunia itu akan menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah (dikehendaki oleh syarak) iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pemeliharaan akal, pemeliharaan keturunan dan pemeliharaan harta.
Najib berkata keunikan indeks itu adalah kerana pengukurannya yang lebih menyeluruh kerana pada fasa permulaan ia meliputi lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.
"Kita mengukur dan menyemak sama ada dasar dan program yang ditetapkan kerajaan melalui kementerian serta agensi berkaitan menepati atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah itu sendiri," katanya.
Dalam artikel yang MMI kongsikan diawal penulisan ini (Persepsi Orang Cina Terhadap Islam Hadhari) dalam perkara 5 jelas menyebut ;
Kesimpulan - Mencipta Kegemilangan
Oleh kerana Islam Hadhari telah menjadi satu dasar negara, maka mahu tidak mahu kesemua pihak perlu menerima. Sekiranya ada kelemahan dan kecacatan, maka adalah menjadi tanggungjawab semua pihak jua untuk memperbaikinya.
Jika benar 10 prinsip Islam Hadhari mahu dilaksanakan berlandaskan kepada maqasid syariah, maka sudah tiba masanya umat Islam perlu mencipta kegemilangan tersebut. Jangan biar fahaman sempit politik mengganggu perjalanan Islam Hadhari. Fahaman politik perlu diketepikan untuk mencapai matlamat yang lebih besar. Kalau orang bukan Islam boleh menerima kesemua prinsip Islam Hadhari itu, kenapa kita sebagai umat Islam masih mempertikaikannya.
Dalam mencipta kegemilangan, hendaklah pada masa yang sama mengurangkan orang-orang bebal (bebalisme) dan pandir . Istilah bebalisme dan pandir ini digunakan oleh Syed Hussein AlAtas merujuk kepada orang yang tidak mempunyai daya antisipasi dan biasanya mereka hanya bertindak balas terhadap peristiwa setelah kejadian – mereka akan membuka payung hanya sesudah hujan membasahi tubuhnya . Tidak menghormati ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah merupakan ciri utama bebalisme. Ciri utama yang menonjol adalah tidak adanya kehalusan pekerti. Dia tidak merasa malu dengan kesalahan yang dilakukan kerana kebodohannya. Dia tidak takut dengan kekurangan intelektualnya. Bila orang ini menonjol maka ia akan menjadi bahan rujukan dan ikutan sehingga akhirnya merosakkan nilai-nilai baik yang cuba dibawa oleh orang lain.
Maka jelas selain daripada isu melibatkan kepentingan politik tindakan Tun Mahathir dan Muhyiddin yang dapat kita lihat sejak dari era Tun Abdullah sehinggalah pada era Najib Razak ini punya kaitan.
Hakikatnya tanpa kita sedar Najib sedang memperkasakan usaha yang telah dimulakan oleh Tun Abdullah sebelum ini melalui Islam Hadhari yang disangka banyak pihak sebagai sudah hilang bersama pengunduran beliau.
Apabila Tun Mahathir dan Muhyiddin bersama DAP dan berusaha untuk menjatuhkan kepimpinan sedia ada maka secara tidak langsung mereka juga menolak sama sekali dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Najib Razak seperti mana gerakan terancang mereka menolak Tun Abdullah sebelum ini.
MMI tidak menuduh tetapi gerak dan tarinya hampir sama apatah lagi kini kedua-duanya (Tun Mahathir dan Muhyiddin) sudah pun mengaku DAP itu adalah sekutu mereka !
MMI
No comments:
Post a Comment