Siapa jua yang menyatakan sokongan terhadap DAP sudah tentu sokongan itu akan diterjemahkan dengan daya gerak yang cukup konsisten sampaikan Tun Mahathir yang dulunya musuh nombr satu DAP boleh dilenyapkan rekodnya.
Apa yang DAP tak pernah kata kepada Tun Mahathir dan begitu juga apa yang Tun Mahathir tak pernah kata pada DAP ! Kalau kita perhatikan DAP cukup membenci Tun Mahathir kerana beliau adalah orang Melayu yang bersama UMNO dan mengepalai pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri.
DAP sebenarnya cukup tidak senang dengan peranan orang-orang seperti ini kerana mereka tahu orang-orang ini adalah penghalang kepada niat dan agenda tersirat parti cauvinis tersebut.
Semua orang tahu dasar DAP , mereka hanya bermuka-muka dengan perkara-perkara tertentu khususnya yang melibatkan orang Melayu dan Islam tetapi secara diam-diam akan menepis dan menolak apa jua hasrat orang Melayu yang mahu melihat HAK mereka terus dipertahankan selain mengangkat kedudukan Islam untuk terus agung sebagai agama rasmi negara seterusnya menjadikan Islam punya kedudukan dan hak yang tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak sekalipun.
Walaupun begitu DAP beruntung kerana tahun-tahun sebelumnya parti cauvinis itu secara tiba-tiba mendapat peluang keemasan apabila PKR dan PAS begitu obses untuk bersama DAP.
Kehadiran kedua-dua parti yang mewakili sebahagian besar pimpinan-pimpinan Melayu sudah tentunya diterima dengan tangan yang terbuka oleh DAP kerana mereka tahu MELAYU sudah berpecah !
Perpecahan yang ditunggu-tunggu itu akhirnya telah memberikan DAP kejayaan untuk terus bertapak di Malaysia.
DAP berjaya menguasai Pulau Pinang selain Perak dan Selangor , walaupun Kelantan juga pada ketika itu dibawah payung pakatan pembangkang tetapi DAP tidak melihat negeri itu sebagai kelebihan pada mereka.
Secara senyap DAP membina kekuatan dalaman dan akhirnya tidak ada mana-mana pihak dari kalangan pakatan pembangkang yang berani menidakkan suara dari kalangan pemimpin tertinggi mereka.
Lebih dasyat lagi DAP menawan pemikiran pimpinan-pimpinan Melayu dalam PAS , PKR sehingga akhirnya PAS berpecah dengan kemunculan PAN.
Kesemua pimpinan-pimpinan ini yang MMI labelkan sebagai ZOMBIE DAP kemudiannya telah menjadi agen dan terus mempengaruhi orang Melayu lain untuk terus berpecah dengan bermodalkan FITNAH demi FITNAH.
Kerakusan zombie-zombie ini jelas dapat dilihat apabila satu persatu mereka langsung tidak berani menyanggah apa jua tindakan DAP termasuklah Tun Mahathir sendiri yang sanggup membisu tatkala DAP begitu ghairah menolak RUU355 dan yang terbaru apabila kerajaan DAP Pulau Pinang GAGAL mengurus tadbir negeri dengan baik khususnya dalam hal melibatkan banjir kilat.
Apakah kita punya keyakinan bahawa Guan Eng dan Kit Siang itu benar-benar menerima sepenuhnya Tun Mahathir atas prinsip permuafakatan ?
Atau mereka sebenarnya sedang sekali lagi melaksanakan operasi yang modus operandinya sama sewaktu PAS dan PKR bersama dalam Pakatan Rakyat sebelum ini ?
Apa jua yang berlaku sekalipun , MMI optimis DAP bukanlah seperti mana yang dipertontonkan kepada seluruh rakyat Malaysia.DAP hanya mengambil kesempatan diatas kelemahan yang ada dalam kerajaan BN selain adu domba fitnah yang disebarkan oleh konco-konco mereka yang MMI lihat berjaya mempengaruhi segelintir rakyat Malaysia.
Selebihnya DAP tidak pernah berjasa kepada negara ! Jika MMI silap sila nyatakan apa jasa DAP kepada Malaysia selama DAP wujud di negara kita ????
Yang pasti DAP hanya hadir di kalangan parti-parti pembangkang dan menjadikan hubungan itu sebagai penentu survival politik mereka dan ianya berjaya apabila mereka kini menguasai Pulau Pinang !
Apakah kita masih ada rasa bahawa DAP ....
Memahami MELAYU dan MENGHORMATI HAK MELAYU ?
Menerima ISLAM dan MENGHORMATI ISLAM ?
Artikel di bawah menjelaskan persoalan persoalan tersebut ....
HUJAN akan reda. Musim tengkujuh pasti berlalu. Bulan Mac tahun depan genaplah dua penggal Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dalam tempoh sepuluh tahun, sudah tentu beliau mempunyai masa yang sangat memadai dan cukup untuk melaksanakan apa juga program yang ada dalam benak kalbunya demi kemajuan dan kesejahteraan Pulau Pinang.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga telah meninggalkan jawatan selepas berada di White House selama dua penggal. Suka atau tidak. Sepatutnya sama tekad dan yang wajar dilakukan oleh Guan Eng.
Saya ulangi dalam tulisan ini, impian bahawa jawatan tertinggi seperti PM, MB dan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal adalah janji Pakatan Harapan sendiri. Bukan oleh BN.
DAP yang begitu kuat berkehendak mewujudkan Pakatan Harapan — sebuah gabungan parti pembangkang seperti sekarang sudah tentu lebih maklum akan perkara ini. Sejarah ketua menteri atau menteri besar yang berkuasa lama seperti yang menjadi tradisi kepada parti lain perlu dihentikan.
Sangat tak munasabah bahawa manifesto sebegitu hanya terpakai kalau Pakatan Harapan menang di Putrajaya. Pakatan Harapan harus membuktikannya terlebih dahulu sama ada di Pulau Pinang dan Selangor: dua negeri yang sudah dimenangi sejak 2008 lagi. Kalau berdalih, maka di tangan rakyatlah hukumannya bakal kembali.
Dalam satu jawapan kepada Astro Awani hujung minggu lalu, tak semena-mena Guan Eng juga berkata beliau teguh menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon PM. Terima kasih diucapkan. Tapi entah apa kaitan antara gesaan untuk ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang dengan Anwar calon PM sangat tak jelas.
Apabila datang sesuatu gesaan, sikit-sikit petik nama Anwar. Sikit-sikit jual nama Anwar. Politik petik dan jual begini wajar dihentikan.
Anwar sudah cukup berkorban. Nama beliau sama sekali tak wajar digunakan untuk mengabsahkan sesiapa pun yang mahu duduk di puncak kuasa lebih dari tempoh yang sepatutnya. Dr Mahathir Mohamad sendiri pun tak boleh menggunakan nama Anwar kalau beliau masih mahu menjadi PM sekali lagi. Begitu juga jawatan di peringkat negeri.
Barang diingat menyokong Anwar sebagai calon PM belum tentu menjadikan Anwar sebagai PM. Semua orang tahu bahawa halangan perundangan telah menyulitkan usaha itu. Tentulah Guan Eng juga tahu! Walaupun sokongan seratus sepuluh peratus kepada Anwar menjadi PM, hal itu tidak lebih penting daripada komitmen Guan Eng untuk melepaskan jawatan selepas berkuasa dua penggal. Titik.
Apakah selama Anwar hidup, maka selama itulah ukuran seseorang boleh menjadi ketua menteri? Logik ini palsu sama sekali.
Rakyat juga tahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pernah menolak usul bagi pelaksanaan “ketua menteri dua penggal”. Menurut rekod dan laporan, usul yang dibentangkan oleh seorang wakil rakyat DAP ditolak tanpa hujah selain melibatkan apa yang disebut sebagai “masalah teknikal”.
Taktik menolak dengan “masalah teknikal” turut digunakan banyak kali di Dewan Rakyat. Tujuannya adalah untuk menghalang sesuatu cadangan daripada menyentuh kepentingan pemerintah atau pemimpin tertentu.
Terlepas daripada persoalan teknikal dalam sidang DUN, apa yang lebih mustahak ialah seseorang pemimpin wajib mempunyai tanggungjawab moral dan prinsip. Dalam politik — sama seperti dalam kehidupan seharian — tak semua hal perlu terbatas hanya kepada lunas undang-undang semata.
Tak jadi salahnya kalau selepas dua penggal seseorang itu melepaskan jawatan meskipun tak ada undang-undang yang menyekat beliau melakukan demikian. Dahulu pun, tak ada undang-undang yang menghalang Dr Mahathir letak jawatan selepas 22 tahun berkuasa. Dia sendiri yang mahu melepaskannya.
Selain itu Guan Eng turut menyelar bahawa gesaan melantik seorang ketua menteri Melayu sebagai bersifat “limpahan perkauman”. Di sini saya menjadi lebih tak mengerti, bagaimanakah dengan melantik seorang Melayu yang merit dan berwibawa boleh dikatakan bersifat perkauman?
Melayu bukan hanya ada dalam parti lain, tetapi digambarkan juga ramai dalam DAP. Kalau nama “Melayu” pun nampaknya tak boleh disebut, asal disebut maka terus dicop sebagai perkauman, saya tak faham mengapa DAP beriya-iya mahu memancing pemimpin Melayu menyertai parti itu?
Bayangkan ketika nasib anak Cina dan India yang bijak perlu diperjuangkan untuk diberikan biasiswa, misalnya, tetapi anak Melayu sebijak mana pun dia tetap tak layak hanya kerana ditakdirkan dia lahir sebagai Melayu!
Pemikiran begitu saya duga berputik daripada kebencian atau dendam kepada Umno yang telah melimpah-ruah ke atas semua kepala orang Melayu. Seseorang pemimpin yang tidak melampaui batas tentu boleh membezakan antara parti politik dengan Melayu; dan, antara seseorang yang jahat dengan seseorang yang baik tanpa mengira asal keturunannya. Di situlah antara inti penting perjuangan Reformasi.
Banyak sekali kejayaan di negara ini telah dilakukan oleh orang Melayu. Siapa boleh menafikan bahawa ramai kakitangan awam Melayu, misalnya, juga membantu membangunkan Pulau Pinang selama Guan Eng berkuasa? Apakah hanya kerana kakitangan itu keturunannya Melayu, maka mereka tak layak untuk kenaikan pangkat dan peluang apa pun?
Apa yang cuba digambarkan Guan Eng juga sesungguhnya jauh daripada apa yang ditunjukkan oleh Umar Abdul Aziz: pemimpin khalifah pada zaman Ummaiyyah. Umar jualah yang pernah dipetik oleh Guan Eng suatu saat dahulu bagi menunjukkan teladan pemerintahan. Umar itulah yang berkuasa tiga tahun sahaja.
Calon-calon ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang sudah wajar dinamakan. Sebelum hujan turun lagi. Sebelum banjir melanda kembali. – 26 September, 2017.
* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.
Yg paling TAK BOLEH di fahami...bila ada MELAYU dok sokong & brsama DAP...X pahammmmm...
ReplyDelete