Followers

Sunday, 12 November 2017

KP1M Pantau Kawasan Perlu Bantuan Sumbangan


Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) akan terus memantau kawasan di negeri ini yang masih memerlukan sumba­ngan berikutan kejadian banjir besar dan ribut walaupun misi bantuan yang bermula sejak lima hari lalu dijangka berakhir hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya bekerjasama de­ngan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mendapatkan laporan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua mangsa me­nerima bantuan sewajarnya.

Pada masa sama, menurutnya, gerak kerja KP1M perlu menunggu arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Penaung kelab itu untuk memastikan mereka tidak melangkaui bidang tugas pelbagai pihak lain yang turut menghulurkan bantuan.

“KP1M mempunyai 60 lori kontena dan akan menggerakkan 20 kenderaan itu dalam sesebuah misi, kita perlu mengelakkan pertembungan dengan pihak lain dalam usaha melancarkan ke­adaan trafik di jalan raya,” katanya selepas menyampaikan sumba­ngan kepada 200 keluarga di Astaka Kebun Lama di sini hari ini.

Beliau turut menyerahkan bantuan mesin basuh, peti sejuk dan tilam kepada Pertubuhan Kebajikan Agape Pulau Pinang di Jalan Taman Kuda Lumba sebelum meneruskan misi tersebut ke Bukit Gelugor, Jelutong, Bayan Lepas, Bayan Baru dan Balik Pulau.

Abdul Azeez menambah, misi KP1M dijangka berakhir malam ini dengan melibatkan daerah Timur Laut dan Barat Daya untuk menghulurkan bantuan tilam, bantal, bekalan makanan serta kit keselamatan kepada sekurang-kurangnya 5,000 keluarga.

“Empat hari sebelum ini ketika di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan, kita hulur bantuan ke pusat pemindahan banjir melibatkan 40 kontena tetapi di bahagian pulau kita menumpukan kawasan perumahan yang kapasiti penduduknya antara 300 hingga 1,000 orang.

“Kita juga akan pergi ke sekolah pondok, pusat tahfiz serta pusat kebajikan orang kurang upaya dan warga emas yang turut terjejas akibat bencana itu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Agape, M. Saroja berkata, bantuan KP1M dapat mengurangkan beban dan trauma yang dialami tujuh penghuni rumah kebajikan tersebut yang baru beroperasi April lalu.

“Air yang naik pukul 2.30 pagi Ahad lalu terlalu pantas tetapi nasib baik semua penghuni berada di tingkat atas cuma saya berada di bawah, keadaan itu bagaimanapun mencemaskan mereka,” katanya. - utusan 

Syabas Datuk Seri Abdul Azeez, teruskan usaha untuk membantu mangsa banjir yang sudah pasti terkesan dengan trauma dan kehilangan harta benda.

Simpati terhadap semua mangsa.

MMI

No comments:

Post a Comment

Labels